Malaysia perlukan reaksi yang inovatif bagi memastikan tahap kebertanggungjawaban yang lebih tinggi dan bukannya jawapan basi bagi persoalan kemerosoton tahap pendidikan
Isu kemerosotan tahap pendidikan Malaysia kini menjadi subjek yang tabu bagi Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pendidikan Tan Sri Muhyiddin Yassin yang tidak mahu bercakap atau ditanya tentangnya, khususnya rentetan dua peristiwa dalam Disember yang menonjolkan hakikat menyedihkan bahawa sistem pendidikan Malaysia sedang berdepan dengan krisis keyakinan dan tidak mampu mencapai mutu pendidikan yang diperlukan untuk memupuk pekerja yang berkemahiran, mempunyai semangat untuk menambah ilmu, dan berdaya cipta bagi membolehkan Malaysia keluar daripada perangkap pendapatan sederhana dan mencapai cita-cita menjadi negara berpendapatan tinggi.
Dua peristiwa yang dimaksudkan adalah pengumuman keputusan PISA 2012 (Programme for International Student Assessment) pada 3 Disember, di awal minggu berlangsungnya Perhimpunan Agung Umno, dan pelancaran rasmi laporan Malaysian Economic Monitor yang diterbitkan oleh Bank Dunia dengan tema "High-Performing Education".
Muhyiddin sepatutnya merasmikan sendiri pelancaran laporan "Malaysia Economic Monitor: High-Performing Education" itu yang menekankan kepentingan membentuk sebuah sistem pendidikan berprestasi tinggi untuk mengubah Malaysia menjadi sebuah ekonomi berpendapatan tinggi, lestari, dan inklusif, bukannya menyerahkan tugas itu kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Abdul Wahid Omar.
Hakikatnya, laporan Bank Dunia itu bukannya tentang "pendidikan berprestasi tinggi" Malaysia, sebaliknya tentang bagaimana Malaysia gagal untuk membentuk sebuah sistem pendidikan berprestasi tinggi berasaskan pencapaian buruk Malaysia dalam dua ujian penilaian pendidikan antarabangsa, iaitu Trends in International Mathematics and Science Study (TIMSS) 2011 di mana Malaysia mencatatkan mata jauh lebih rendah daripada yang diperolehinya pada tahun 2003 dan 2007 bagi subjek Matematik dan Sains, dan PISA 2012 di mana mata untuk Sains dan Bacaan merosot berbanding tahun 2010 walaupun ada peningkatan mata bagi subjek Matematik.
Seperti disebut dalam laporan Bank Dunia tersebut: "Di kalangan negara Asia Timur yang ikut serta dalam PISA 2012, pelajar Malaysia hanya mengatasi pelajar Indonesia dan ketinggalan berbanding negara berpendapatan rendah (termasuk Vietnam, dengan perbezaan mata yang besar)."
Prestasi Malaysia menurut penanda aras pendidikan antarabangsa ini mengaibkan jika diambil kira tahap pendapatan per kapitanya atau kadar perbelanjaan untuk pendidikannya, apatahlagi kerana prestasi Malaysia lebih buruk daripada negara-negara berpendapatan tinggi yang kita anggap sebagai pesaing dalam usaha menarik masuk pelaburan berasaskan inovasi dan pengetahuan.
Memandangkan Muhyiddin gagal sama sekali untuk menyentuh tentang prestasi buruk Malaysia dalam PISA 2012 sewaktu Perhimpunan Agung Umno, sama ada dalam ucapan pembukaan untuk Perhimpunan Agung Pemuda, Wanita, dan Puteri Umno pada malam 3 Disember atau dalam ucapan penggulungan dewaktu Perhimpunan Agung Umno pada hari Sabtu berikutnya, Muhyiddin sepatutnya mengambil peluang sewaktu perasmian laporan "Malaysia Economic Monitor: High-Performing Education" oleh Bank Dunia di Kuala Lumpur kelmarin untuk meyakinkan rakyat Malaysia bahawa Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia adalah satu usaha serius dan bukti komitmen kerajaan untuk menjadikan sistem pendidikan Malaysia sebagai sistem pendidikan bertaraf dunia menjelang tahun 2021.
Sebaliknya Muhyiddin melepaskan peluang untuk meyakinkan rakyat Malaysia bahawa walaupun prestasi Malaysia dalam ujian PISA 2012 - bukan saja di bawah tahap purata antarabangsa, malah mereka ketinggalan empat atau lima tahun di belakang rakan-rakan mereka yang seusia dari negara-negara berprestasi tinggi seperti Shanghai, Singapura, Korea Selatan, Hong Kong dan Taiwan - impian Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia untuk menjadikan negara ini sebagai pusat pendidikan bertaraf dunia bukan angan-angan Mat Jenin.
Walaupun begitu, kritikan bertalu-talu terhadap Muhyiddin dan Kementerian Pendidikan berikutan prestasi buruk Malaysia dalam PISA 2012 sejak keputusan ujian berkenaan diumumkan pada 3 Disember membuahkan sedikit hasil apabila pengumuman dibuat kelmarin menerusi media bahawa Kementerian Pendidikan telah membentuk sebuah jawatankuasa khas bagi meningkatkan tahap pelajar Malaysia dalam PISA.
Luahan perasaan hampa boleh didengar di seluruh negara berikutan pengumuman itu kerana Malaysia tidak perlukan jawapan basi seperti pembentukan jawatankuasa yang tidak bertaring bagi persoalan kemerosoton tahap pendidikan, sebaliknya negara ini perlukan reaksi yang inovatif, terutamanya bagi memastikan tahap kebertanggungjawaban yang lebih tinggi seperti mengumumkan secara terbuka markah lulus peperiksaan awam dan seterusnya membenarkan ibu-bapa untuk lebih terlibat dalam pembentukan sistem pendidikan kebangsaan, antaranya membiarkan mereka sendiri memutuskan sama ada hendak menerima atau menolak PPSMI.
Sebagai respons kepada keputusan PISA 2012, Kementerian Pendidikan menyebut dalam kenyataannya: "Walaupun keputusan PISA 2012 tidak begitu memberansangkan, kementerian percaya bahawa Malaysia mampu memperbaiki kedudukan dalam PISA 2015 menerusi penerapan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia yang telah dilancarkan pada 6 September."
Jelas bahawa pihak yang bertanggungjawab mengeluarkan kenyataan di atas tidak tahu kandungan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia, kerana yang hendak dicapai bukan "memperbaiki kedudukan dalam PISA 2015" tetapi untuk keluar dari kelompok sepertiga tercorot serta mencapai tahap purata antarabangsa dalam PISA 2015 dan 2018 dan seterusnya menduduki tangga sepertiga teratas dalam PISA 2021.
Dalam ungkapan lain, mampukah Malaysia menjadi "negara ajaib" untuk mencapai sasaran yang tidak pernah sama sekali berjaya dicapai oleh negara lain dalam tempoh empat ujian PISA - lonjakan berganda dari tahap sepertiga tercorot ke tahap sepertiga teratas dalam ujian PISA?
Apakah sasaran untuk subjek matematik, sains, dan bacaan dalam PISA 2015, 2018, dan 2021 masih sama setelah mendapat keputusan yang buruk dalam PISA 2012 dan setelah Malaysia mendapat laporan tidak baik dalam "High Performing Education" terbitan Bank Dunia?