Muhyiddin patut meminta McKinsey & Co untuk menjawab persoalan bagaimana Malaysia hendak menjadi 'negara ajaib' dan membuat lonjakan berganda dari tahap sepertiga tercorot ke tahap sepertiga terbaik bagi PISA 2021 atau menuntut semula pembayaran sebanyak RM20 juta yang dibuat kepada perunding itu bagi penyiapan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia
Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Pendidikan Tan Sri Muhyiddin Yassin patut meminta McKinsey & Co untuk menjawab persoalan bagaimana Malaysia hendak menjadi "negara ajaib" dan membuat lonjakan berganda dari tahap sepertiga tercorot ke tahap sepertiga terbaik bagi PISA 2021 dalam tempoh empat ujian tiga tahunan PISA �C satu perkara yang tidak pernah dicapai oleh mana-mana negara dunia sejak tahun 2003 hingga 2012.
Jika Malaysia mampu membuat lonjakan berganda dalam tempoh empat ujian PISA, maka negara ini akan dicemburui dan dianggap sebagai negara mithali oleh semua negara dunia kerana berjaya melakukan transformasi pendidikan dari sebuah negara serba sederhana kepada semua negara cemerlang dalam tempoh yang singkat.
Malaysia pada masa ini terperangkap di tangga sepertiga terbawah dalam ujian PISA bagi ketiga-tiga subjek, iaitu 421 mata untuk matematik, 420 untuk sains, dan 398 untuk bacaan, sedangkan untuk menyertai kelompok menengah, Malaysia perlu mencatatkan 450 mata untuk matematik, 442 untuk sains dan 446 untuk bacaan. Untuk memasuki kelompok sepertiga teratas pula, Malaysia perlu mencatat 532 mata untuk matematik, 511 untuk sains dan 508 untuk bacaan.
Angka di atas berdasarkan PISA 2012. Bagaimanapun, bagi ujian tiga tahunan PISA 2003, 2006, 2009, dan 2012, nilai ambang bagi setiap penilaian meningkat, misalnya Hong Kong mencatatkan mata tertinggi bagi subjek matematik dengan 550 mata pada tahun 2003, tetapi dalam PISA 2012 angka tertinggi dicatatkan oleh Shanghai pada 613 mata.
Begitu juga bagi subjek sains, pada tahun 2003 Finland mencatat pencapaian terbaik dengan 548 mata, sedangkan bagi PISA 2012 Shanghai mencatatkan 580 mata. Bagi bacaan, pada tahun 2003 pencapaian terbaik dilakukan oleh Finland pada 543 mata, sedangkan bagi PISA 2012 pencapaian terbaik dicatat oleh Shanghai pada 570 mata.
Berdasarkan PISA 2012, tanpa mengambil kira kemungkinan nilai ambang akan meningkat setiap tiga tahun selama sepuluh tahun mendatang, Malaysia perlu mencatatkan peningkatan 111 mata untuk matematik, 91 mata untuk sains, dan 110 mata untuk bacaan di antara PISA 2012 hingga PISA 2021 untuk menduduki tangga sepertiga teratas.
Rakyat Malaysia menanti jawapan segera daripada Muhyiddin dan McKinsey memandangkan belum pernah ada negara mampu membuat lonjakan berganda dari tangga sepertiga tercorot ke tangga sepertiga teratas dalam ujian PISA dalam tempoh empat ujian tiga tahunan pada tahun 2003, 2006, 2009 dan 2012.
Brazil mencatatkan peningkatan terbesar sebanyak 35 mata dalam tempoh empat ujian PISA, iaitu dari tahun 2003 hingga 2012, apabila ia berjaya meningkatkan mata dari 356 kepada 391. Meski pun begitu, ia masih kekal dalam kelompok sepertiga tercorot.
Turki mencatatkan peningkatan terbesar bagi subjek sains dalam empat ujian PISA, iaitu peningkata sebanyak 29 mata, dari 434 mata pada tahun 2003 kepada 463 mata pada tahun 2012. Meski pun begitu ia hanya mampu melonjak dari kelompok sepertiga tercorot ke kelompok pertengahan - ia perlu menambah 48 mata lagi untuk menduduki tangga sepertiga teratas.
Bagi bacaan, Jepun mencatatkan peningkatan terbesar sebanyak 40 mata dalam tempoh empat ujian PISA dari tahun 2003 hingga 2012, namun ia masih kekad dalam kelompok pertengahan.
Bagaimana sebenarnya Malaysia hendak melakukan lonjakan berganda bagi ketiga-tiga subjek dalam tempoh empat ujian PISA sekiranya pencapaian sedemikian tidak pernah dicatat oleh mana-mana negara sekalipun?
Atau apakah sebenarnya matlamat untuk menduduki tangga sepertiga teratas dalam ujian penilaian antarabangsa menjelang tahun 2021 yang disebut-sebut itu tidak lain adalah angan-angan mat jenin yang dibina oleh McKinsey dengan menggunakan wang pembayar cukai Malaysia dan tidak lebih sebagai satu kerja membina "mahligai kayangan" oleh Timbalan Perdana Menteri/Menteri Pendidikan dan semua pemimpin dan ahli pendidikan Barisan Nasional?
Sejak minggu lalu, saya telah meminta Muhyiddin untuk menggariskan rancangan padu bagaimana pelajar berusia 15 tahun Malaysia boleh mencipta keajaiban dengan membuat lonjakan berganda dari tahap sepertiga terbawah ke tahap sepertiga teratas dalam penilaian pendidikan antarabangsa berkenaan empat ujian PISA dari sekarang sehingga menjelang tahun 2021, namun Muhyiddin dan birokrasi pendidikan kita yang berukuran gergasi dan menelan sebanyak RM54.6 bilion atau 21 peratus daripada peruntukan Belanjawan 2014 itu membisu seribu bahasa.
Saya dengan ini akan berhenti bertanya soalan kepada Muhyiddin atau birokrasi pendidikannya yang raksasa memandangkan semua mereka tidak tahu-menahu untuk memberi sebarang jawapan. Bagaimanapun rakyat Malaysia berhak untuk mendapat jawapan, maka siapa lagi yang lebih layak untuk menjawabnya kalau bukan perunding McKinsey & Co dari Amerika yang telah diupah oleh kerajaan untuk menyediakan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia pada kos sebesar RM20 juta!
Yuran perundingan yang dibayar kepada McKinsey & Co untuk menyiapkan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia itu telah menimbulkan komen menyindir daripada bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad yang mengatakan bahawa beliau juga mampu melakukannya.
Sebenarnya, perkara yang disentuh Mahathir itu amat berkaitan. Mungkin saya tersilap, namun seingat saya inilah kali pertama dalam sejarah negara kita rakyat Malaysia tidak mampu menyediakan laporan atau pelan induk pendidikan negara kita sendiri sehingga terpaksa meminta bantuan perunding asing.
Apakah tiada ahli atau pakar dalam Kementerian Pendidikan, yang membelanjakan lebih RM50 bilion wang rakyat, atau dalam universiti kita, sama ada Universiti Malaya, Universiti Kebangsaan Malaysia, Universiti Sains Malaysia, Universiti Putra Malaysia, atau Universiti Pendidikan Sultan Idris, yang boleh diamanahkan dengan tugas menyediakan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025 - atau apakah Kerajaan Malaysia sendiri telah hilang keyakinan terhadap keupayaan, kemampuan, profesionalisme dan kecemerlangan akademik universiti kita sendiri untuk menyediakan pelan induk pendidikan negara?
Bagaimanapun, memandangkan hanya McKinsey & Co yang tampaknya mampu menjawap persoalan yang timbul selepas pengumuman keputusan PISA 2012, iaitu bagaimana Malaysia hendak menjadi "negara ajaib" dan membuat lonjakan berganda dari tahap sepertiga tercorot ke tahap sepertiga terbaik bagi PISA 2021, maka Muhyiddin patut menghubungi segera dan menuntut jawapan daripada McKinsey dan setelah itu mendedahkan kepada awam jawapan mereka.
McKinsey, menerusi Muhyiddin, wajib memberi penjelasan kepada rakyat Malaysia kerana RM20 juta telah dibelanjakan untuk Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia. Jika tiada jawapan diterima, atau jawapannya tidak memuaskan, maka Muhyiddin perlu menuntut semula wang RM20 juta daripada McKinsey.