Mari merayakan Hari Kebangsaan ke-56 dalam perpaduan dan keharmonian

Ada sesuatu yang dirasakan amat tidak kena dalam kita menghampiri Hari Kebangsaan ke-56 Sabtu nanti.

Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek telah menimbang-nimbang idea untuk memperkenalkan undang-undang yang mewajibkan setiap premis mengibarkan Jalur Gemilang sepanjang bukan Merdeka, tetapi tiga hari kemudian hasratnya kendur setelah mengakui amat kecewa kerana mendapati ibu pejabat-ibu pejabat kerajaan di Putrajaya sendiri tidak menunjukkan contoh dengan mengibarkan bendera kebangsaan.

Beliau mengadu: "Mereka masih menunggu kerajaan memberikan mereka bendera."

Mengapa perkara ini terjadi sedemikian?

Dalam perhimpunan-perhimpunan raksasa Pakatan Rakyat sebelum dan selepas pilihanraya umum ke-13, rakyat Malaysia tidak mengira kaum, agama, daerah, usia, atau jantina telah berdiri dengan bangga menyanyikan lagu kebangsaan apabila lagu itu dimainkan-mempamerkan patriotisme dan kecintaan mereka terhadap negara.

Apakah patriotisme sebegitu lesap begitu saja?

Sudah tentu tidak.

Saya bersetuju dengan penulis Kee Thuan Chye bahawa "patriotisme adalah semangat yang kita sematkan dalam jiwa-kecintaan terhadap negara kita. Ia adalah semangat yang membuatkan kita memutuskan untuk mempertahankannya, barangkali juga untuk mati deminya."

Saya pernah mendapat kesempatan untuk menyebut di Parlimen bahawa disebabkan semangat patriotisme dan cinta saya terhadap negara, demi mengejar Impian Malaysia untuk mewujudkan sebuah negara yang lebih baik bagi semua rakyat Malaysia tanpa mengira kaum, agama, dan daerah, saya bersedia hilang kebebasan apabila ditahan sebanyak dua kali di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri.

Sebab itu saya curiga dengan "patriotisme" para pemimpin yang bersedia untuk memperkaya diri menerusi korupsi dan penyalahgunaan kuasa sehingga mengorbankan hak rakyat dan kepentingan negara.

Kalangan yang paling nyaring melaungkan "patriotisme" selalunya adalah penipu sebenar dalam negara. Ada benarnya ungkapan Dr. Samuel Johnson yang terkenal" "Patriotisme adalah jalan akhir bagi para bajingan."

Kembali melihat realiti di Malaysia hari ini.

Selepas lebih seratus hari setelah pilihanraya 5 Mei, majoriti rakyat Malaysia daripada semua kaum yang mengundi Pakatan Rakyat telah dipandang serong dan dijadikan sasaran fitnah. Selain menghentam kaum Cina dan India, Perdana Menteri dan kerajaannya telah gagal untuk membuktikan bahawa beliau dan kerajaannya berkhidmat untuk semua rakyat Malaysia.

Masih tidak terlambat untuk rakyat Malaysia merayakan Hari Kebangsaan ke-56 dalam perpaduan dan keharmonian-tetapi langkah sulung yang perlu diambil ialah mengakui dan menghormati patriotisme 51% rakyat Malaysia yang telah mengundi Pakatan Rakyat dan 47% rakyat Malaysia yang telah mengundi Barisan Nasional dalam Pilihanraya Umum ke-13.

Lim Kit Siang Ketua Parlimen DAP & Ahli Parlimen Gelang Patah