Peguam telah diarahkan untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap Utusan Malaysia
Saya telah mengarahkan peguam saya untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap Utusan Malaysia kerana menerbitkan semula pembohongan yang terkandung dalam risalah "The Equity Report (CEC Election Fraud)" yang ditulis oleh penulis rekaan "Father Augustus Chen".
Dalam sebuah kenyataan yang dikeluarkan pada 5 Ogos 2013, saya menyebut:
- "Father Augustus Chen" yang dikatakan menulis sebuah risalah yang menjelaskan tentang percanggahan dalam pemilihan parti DAP tahun lepas adalah semata-mata imaginasi "war room" Umno/BN dalam kempen menentang DAP sebelum dan selepas Pilihanraya Umum ke-13.
- Tuduhan tentang percanggahan dalam pemilihan DAP oleh "Father Augustus Chen" ini tidak lain adalah salah satu serpihan daripada sekian banyak pembohongan dan tuduhan tidak berasas yang telah diterbitkan menerusi sekitar 400 laporan dan tulisan tentang DAP dalam media di bawah kawalan Umno/BN sejak Januari, khususnya dalam Utusan Malaysia dan New Straits Times.
- Kemunculan risalah pembohongan yang dikarang oleh watak rekaan "Father Augustus Chen" pada bulan lepas ialah untuk memberi semacam justifikasi kepada tindakan Umno/BN dan RoS ke atas DAP.
Dalam kenyataan media dua hari selepas itu saya telah menyifatkan "Father Augustus Chen" sebagai "evil genius" kerana berjaya menyumbat sehingga sekitar 100 pembohongan dan kepalsuan dalam risalah setebal 12 halaman, dan saya telah memberikannya masa tujuh hari untuk menampilkan diri dan membuktikan bahawa dia benar-benar wujud.
Tempoh tujuh hari itu telah lama berlalu dan tiada orang bernama "Father Augustus Chen" tampil ke depan.
Tiada siapa menjangkakan "Father Augustus Chen" akan muncul kerana jika dia berani tampil ke depan untuk mengaku sebagai penulis risalah "The Equity Report", dia pasti perlu sanggup untuk berdepan dengan sejumlah saman fitnah dan juga perbicaraan jenayah berikutan sekian banyak pembohongan dan fitnah yang telah diterbitkan dalam risalah tersebut.
Walaupun DAP telah berulang-kali menafikan segala dakwaan dalam risalah oleh "Father Augustus Chen" itu, Mingguan Malaysia kelmarin menerbitkan laporan oleh pemberitanya, Kasthuri Jeevendran, yang mengitar semula pembohongan dan kepalsuan yang ditulis oleh "Father Augutus Chen".
Antara pembohongan yang dibuat oleh "Father Augutus Chen" dan menjadi alasan untuk menghalalkan tindakan RoS dan kerajaan Umno/BN terhadap DAP ialah bahawa "753 perwakilan tidak hadir (kebanyakannya berketurunan India)" kerana tidak diberikan notis untuk hadir dan mengundi di Kongres DAP di Pulau Pinang Disember lalu dan "547 perwakilan hantu (kebanyakan dari Pulau Pinang)" telah mengundi dalam kongres tersebut, selain beberapa tuduhan berkenaan pemimpin-pemimpin DAP.
Tiada kebenaran walau sebesar zarah sekalipun dalam semua tuduhan yang ditujukan terhadap DAP dan para pemimpinnya itu.
Saya dengan itu telah meminta para peguam saya untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap Utusan Malaysia kerana menerbitkan semula pembohongan yang terkandung dalam risalah "The Equity Report (CEC Election Fraud)" yang ditulis oleh penulis rekaan "Father Augustus Chen".