Tanya Siasat Awam berkenaan pemilihan CEC DAP akan membuktikan bahawa beratus-ratus pembohongan dan pendustaan terhadap DAP telah disebarkan oleh media Umno/BN
Apakah Ketua Pengarah Pendaftar Pertubuhan Datuk Abdul Rahman Othman akan bersetuju untuk mengadakan tanya siasat awam berkenaan pemilihan Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) DAP di Pulau Pinang bulan Disember lalu untuk membuktikan bahawa ada asas yang munasabah bagi arahannya untuk DAP mengadakan pemilihan semula CEC?
Ketua Pengarah RoS perlu bersetuju jika beliau percaya pada prinsip kebertanggungjawaban, ketelusan, urus tadbir yang baik, kedaulatan undang-undang dan bahawa kakitangan awam tidak harus menyalahgunakan kuasa dengan bertindak secara sewenang-wenang. Selain itu, di peringkat pembangunan negara sekarang, beliau bertanggungjawab untuk memelihara keyakinan orang ramai terhadap kecekapan, kebebasan, kesaksamaan, serta profesionalisme institusi-institusi negara dan perkhidmatan awam.
Institusi-institusi negara dan perkhidmatan awam sedang berdepan dengan krisis keyakinan terburuk dalam sejarah negara ini apabila kecekapan, kebebasan, kesaksamaan, dan profesionalismenya telah digugat oleh campurtangan politik oleh penguasa, menghasilkan keputusan dan tindakan yang berat sebelah di pihaknya, sama ada dalam bentuk penangkapan, pendakwaan, dan beberapa bentuk penindasan lain yang dilakukan secara terpilih.
Apakah keyakinan umum tidak semakin terjejas apabila institusi-institusi negara dan perkhidmatan awam semakin digugat dalam soal pengendalian RoS ke atas pemilihan CEC DAP bulan Disember lalu, memandangkan Ketua Pengarah RoS telah membuat keputusan berasaskan pembohongan, pendustaan dan penipuan?
Tanya Siasat Awam berkenaan pemilihan CEC DAP akan membuktikan salah satu dari dua perkara:
- Sememangnya ada percanggahan dan penipuan dalam pemilihan CEC DAP Disember lalu; atau
- Semua dakwaan tentang percanggahan dan penipuan dalam pemilihan CEC DAP bulan Disember lalu itu bukan saja dilakukan dengan niat jahat dan tanpa asas, malah bahawa sejak tujuh bulan lalu beratus-ratus pembohongan dan pendustaan terhadap DAP telah disebarkan oleh media Umno/BN serta mencapai kemuncaknya dengan penerbitan risalah yang ditulis oleh penulis rekaan Father Augustus Chen.
Biar kebenaran muncul. DAP bersedia untuk berdepan dengan tanya siasat Awam untuk menegakkan kebenaran tentang pemilihan CEC DAP Disember lalu kerana tiada apa yang hendak disembunyikan oleh DAP.
Pihak sebenar yang ingin menyembunyikan perbuatan mereka adalah juru propaganda dan cybertrooper skuad DDD Umno/BN. Mereka sedar bahawa tanya siasat awam akan menyingkap perkara sebenar.
Tindakan RoS terhadap DAP berkenaan pemilihan CEC parti ini pada Disember lalu telah menempuh beberapa metamorfosis sejak tujuh bulan lalu.
Pertama, tindakan dibuat berasaskan gangguan komputer sewaktu pemilihan CEC DAP Disember lalu yang merupakan kesilapan yang tidak disengajakan dalam proses pemilihan yang demokratik dan telus, memandangkan tiada kesilapan dalam pengiraan atau pejumlahan undi, sebaliknya dalam pemindahan keputusan pemilihan yang membawa kepada kesilapan dalam pengumuman keputusan.
DAP telah memberi kerjasama penuh kepada RoS dengan menjelaskan bagaimana gangguan komputer itu boleh terjadi dan RoS boleh dianggap telah berpuas hati dengan penjelasan tersebut, memandangkan DAP tidak menerima sebarang pertanyaan lanjut tentang perkara tersebut. Selain itu, DAP juga tidak pernah menerima sebarang aduan daripada mana-mana perwakilan parti berkenaan pemilihan CEC.
Selepas dua bulan, kes gangguan komputer dalam pemilihan CEC DAP itu tidak lagi disebut, sebaliknya muncul pembohongan tentang "753 perwakilan DAP (sebahagian besarnya berketurunan India)" yang tidak diberikan notis untuk hadir dan mengundi dalam Kongres DAP walaupun mereka layak untuk mengundi dalam pemilihan CEC.
DAP telah membuktikan kepada pegawai RoS bahawa tuduhan KEDUA itu tidak berasas.
Selepas Pilihanraya Umum ke-13 pada 5 Mei 2013, pembohongan KETIGA telah muncul, menyebut bahawa "547 perwakilan hantu (sebahagian besar dari Pulau Pinang)" telah mengundi dalam Kongres DAP bulan Disember lalu, menjadikan pemilihan tersebut tidak sah-tuduhan ini tidak mengandungi kebenaran walau sekecil zarah, tetapi lebih parah lagi apabila RoS tidak sekali pun pernah meminta DAP memberi penjelasan tentang "perwakilan hantu" ini.
Mengapa Ketua Pengarah RoS bertindak berasaskan pembohongan tentang "547 perwakilan hantu" untuk menganggap pemilihan CEC DAP bulan Disember lalu sebagai tidak sah?
Tanya siasat awam berkenaan pemilihan CEC DAP bulan Disember lalu akan membuka peluang untuk menegakkan kebenaran tentang ketiga-tiga dakwaan yang boleh dijadikan asas untuk mengisytiharkan pemilihan CEC Disember lalu sebagai tidak sah-selain untuk mematahkan ratusan pembohongan yang telah disebarkan dan dikitar semula oleh juru propaganda dan cybertrooper skuad DDD Umno/BN sejak tujuh bulan lalu serta mencapai kemuncaknya dengan penerbitan risalah palsu oleh "Father Augustus Chen".