Biro Undang-undang DAP perlu meneliti lebih 200 laporan Utusan yang menyerang DAP sejak Januari lalu untuk mengemukakan beberapa saman terhadap akhbar Umno itu
Biro Undang-undang DAP yang diketuai oleh Ahli Parlimen DAP untuk Puchong Gobind Singh Deo perlu meneliti lebih 200 laporan dan rencana dalam Utusan Malaysia yang menyerang DAP sejak Januari lalu untuk mengemukakan beberapa saman terhadap akhbar Umno itu.
Dalam laporan dan rencana yang diterbitkannya, Utusan Malaysia telah berulang-kali menyebarkan pembohongan dan kepalsuan tentang DAP dan pimpinan DAP, terutamanya berkenaan pemilihan Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) DAP semasa Kongres Kebangsaan DAP bulan Disember lalu, tanpa mempedulikan prinsip-prinsip asas kewartawanan yang berkaitan dengan etika, kejujuran dan kebenaran.
Serangan yang diarahkan oleh "war room" Umno/BN dengan tujuan memburuk-burukkan dan memusnahkan DAP ini mencapai kemuncaknya pada bulan April, sejurus sebelum Pilihanraya Umum ke-13, dan walaupun rentaknya menjadi perlahan selepas pilihanraya umum Mei lalu, momentumnya meningkat kembali pada bulan Jun dan Julai, sehinggalah Pendaftar Pertubuhan mengeluarkan arahan agar DAP mengadakan pemilihan semula CEC.
Walaupun Pendaftar Pertubuhan tidak mengemukakan sebarang alasan kepada DAP mengapa ia mahu pemilihan semula CEC diadakan, dua tuduhan palsu telah ditonjolkan dalam Utusan sejak enam bulan lalu untuk menghalalkan tindakan RoS:
- Bahawa 753 perwakilan DAP tidak diberikan notis tentang Kongres DAP dan dinafikan hak untuk memilih CEC baru.
- Bahawa Kongres DAP Disember lalu telah disertai oleh 547 perwakilan hantu yang sebahagian besarnya dari Pulau Pinang dan mengundi dalam kongres berkenaan.
Arahan RoS untuk mengadakan pemilihan semula CEC itu boleh difahami jika salah satu dari dua dakwaan itu adalah benar. Tetapi kedua-duanya adalah pembohongan yang nyata.
Ketua Pengarah RoS Datuk Abdul Rahman Othman secara terbuka telah menyebut pada awal tahun ini bahawa beliau hanya boleh mengarahkan supaya pemilihan semula CEC diadakan jika ada "bukti kukuh" tentang percanggahan dalam proses pemilihan.
Tuduhan liar "753" dan "547" itu terbukti sebagai pembohongan, maka apa "bukti kukuh" yang Pendaftar Pertubuhan miliki untuk menghalalkan arahannya supaya DAP mengadakan pemilihan semula CEC?