‘Pertempuran Gelang Patah’ bagi mencapai impian Malaysia ke arah Bangsa Malaysia yang majmuk dan bersatu padu melampaui semangat perkauman
‘Pertempuran Gelang Patah’ bukanlah sekadar sebuah pertempuran demi Lim Kit Siang, DAP atau Pakatan Rakyat.
Ia adalah sebuah pertempuran bagi semua rakyat Malaysia, negara dan juga generasi akan datang, dengan dua kepentingan yang sangat bermakna, yang tidak pernah berlaku sebelum ini.
Pertama sekali, Pertempuran Gelang Patah akan melancarkan tsunami politik dalam Pilihanraya Umum ke 13 dari arah Selatan yang bakal merebak ke seluruh negara, merentas Laut China Selatan ke Sabah dan Sarawak, bagi menyelesaikan ‘kerja tertangguh’ tsunami politik pilihanraya umum tahun 2008 yang menyaksikan kejatuhan UMNO/Barisan Nasional di lima buah negeri dan penafian majoriti dua-pertiga parlimen terhadap UMNO buat kali pertama dalam sejarah Malaysia.
Tsunami politik pada tahun 2008 bermula dari Utara, di Pulau Pinang, Kedah dan Kelantan dan menganjur Selatan ke Perak (walaupun kurang setahun kemudian terjadinya rampasan kuasa secara tidak demokratik, tidak sah dan melanggar undang-undang perlembagaan yang direncanakan oleh Datuk Seri Najib Razak; yang kini sedang menanti dikembalikan semula kepada Pakatan Rakyat dalam PRU13) serta Selangor, dan kemudian terhenti di Negeri Sembilan lantas meninggalkan tiga negeri deposit tetap Johor, Sabah dan Sarawak seakan tidak tersentuh.
Walau bagaimanapun, tsunami politik tahun 2008 telah membawa anjakan tektonik dalam lanskap politik negara, memandangkan hanya lima tahun sebelum itu hampir tidak tersangka dan tidak mungkin bagi sesiapa pun berharap dan mengimpikan bakal terjadinya perubahan di peringkat Kerajaan Persekutuan melalui peti undi.
Namun kini, perubahan kuasa demokratik untuk pertama kali dalam sejarah 56 tahun Malaysia bukan sahaja sesuatu yang boleh dirasakan mungkin terjadi, malah hampir pasti berlaku; itulah sebabnya Perdana Menteri datuk Seri Najib Razak begitu terseksa untuk mengumumkan pembubaran parlimen sepanjang empat tahun yang lalu bagi membuka jalan kepada berlangsungnya PRU ke 13, memandangkan untuk pertama kali dalam sejarah, UMNO/BN sebagai penyandang takhta kerajaan mungkin diundi keluar untuk digantikan dengan Pakatan Rakyat.
Namun sekiranya tsunami politik 2008 masih belum mencapai kapasiti maksima untuk berkemuncak dengan perubahan kerajaan persekutuan secara aman dan demokratik dalam PRu ke 13 ini, Pakatan Rakyat mestilah mencapai kejayaan yang signifikan di ketiga-tiga negeri deposit selamat BN, iaitu Johor, Sabah dan Sarawak yang memiliki sejumlah 83 kerusi parlimen dengan memenangi lebih daripada satu pertiga kerusi tersebut – atau lebih baik lagi, lebih kurang 40 peratus daripada jumlah jumlah kerusi parlimen di ketiga-tiga negeri, iaitu 33 kawasan parlimen.
Demikian barulah Pakatan Rakyat akan menempa jalan untuk membentuk kerajaan baru di Putrajaya dan melantik Perdana Menteri Malaysia ke tujuh, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Namun begitu ada satu lagu keunikan yang signifikan dalam Pertempuran Gelang Pata – merealisasikan Impian Malaysia.
Saya mempunyai ‘Impian Malaysia’ yang saya pasti turut dikongsi oleh ramai orang Malaysia tanpa mengira kaum, agama daerah dan zaman.
Impian Malaysia mengharapkan sebuah masyarakat majmuk di mana semua warganya bersatu sebagai satu bangsa, melampaui perbezaan etnik, agama, budaya dan bahasa, disebabkan oleh persamaan yang menyatukan mereka sebagai warganegara melebihi perbezaan etnik, agama, bahasa dan budaya yang memecahbelahkan mereka.
Dalam Impian Malaysia ini, kita semua menumpahkan taat setia kepada negara, kita berkongsi satu ibu pertiwi dan bersatu sebagai sebuah bangsa demi membangunkan kemegahan negara yang bersumberkan segala yang terbaik daripada kemajmukan kaum, agama dan budaya yang telah bertapak di Malaysia supaya negara ini boleh menjadi negara yang paling terkedepan di dunia dalam lapangan pencapaian manusia.
Impian Malaysia ini bukan baru muncul hari ini. Ia telah wujud lebih awal sebelum lahirnya Malaya dan Malaysia.
Biarlah Pertempuran Gelang Patah merealisasikan Impian Malaysia ke arah penyatuan bangsa Malaysia yang berbilang kaum dan melampaui sentimen perkauman sepertimana yang diimpikan oleh Pemimpin Agung Melayu Johor merangkap presiden pengasas UMNO, Datuk Onn Jaffar enam dekad yang lalu.
Meskipun Datuk Onn adalah presiden pengasas UMNO, beliau tidak menyenangi dasar-dasar perkauman UMNO, dan akhirnya menyeru supaya UMNO membuka keahliannya kepada semua warga Malaya pada tahun 1951 di samping mencadangkan supaya UMNO diubah namanya menjadi United Malayans National Organisation.
Apabila cadangan-cadangan beliau tidak dipedulikan, Onn Jaafar meninggalkan UMNO pada 26 Ogos 1951 bagi menubuhkan Parti Malaya Merdeka.
Anak Datuk Onn, Tun Hussein Onn, turut berkongsi Impian Malaysia ini, walaupun saya tidak pasti sama ada cucu Datuk Onn, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, Menteri Dalam Negeri sekarang, bersetuju dengan bapa dan datuknya tentang Impian Malaysia ini.
Enam puluh dua tahun selepas seruan Datuk Onn untuk membuka keahlian UMNO kepada orang bukan Melayu dan mengubah nama UMNO menjadi United Malayans National Organisation, maka sangat sesuailah sekiranya panji-panji Impian Malaysia yang dijulang sekalian patriot Malaysia zaman berzaman diangkat semula demi meraih sokongan dan persetujuan daripada rakyat Gelang Patah, Johor dan seterusnya Malaysia dalam Pilihan Raya Umum ke 13 ini.