Bolehkah peperiksaan percubaan SPM menanyakan soalan: Adakah wajar tindakan polis menggunakan gas pemedih mata, meriam air atau keganasan fizikal terhadap demonstran aman?
Sanggupkah Menteri Pendidikan Tan Sri Muhyiddin Yassin serta dua timbalannya, Puad Zarkashi dan Datuk Wee Ka Siong memberikan persetujuan atau menutup sebelah mata jika mana-mana soalan di bawah ini muncul dalam kertas Pendidikan Moral percubaan SPM:
Adakah wajar tindakan polis menggunakan gas pemedih mata, meriam air yang mengandungi bahan kimia atau keganasan fizikal terhadap demonstran aman terdiri daripada pelbagai kaum, agama, umur dan jantina yang hanya mahu menyampaikan mesej jelas kepada kerajaan bahawa mereka mahukan pilihan raya bersih dan adil?
Adakah wajar mana-mana kerajaan menyalahgunakan dana awam untuk tujuan parti politik lebih-lebih lagi apabila menjelangnya pilihan raya umum?
Adakah wajar mengundi gabungan politik yang bertanggungjawab menyebabkan Malaysia berada di kedudukan terendah iaitu tempat ke-60 di dalam Indeks Persepsi Rasuah Transparency International dan juga memperoleh mata CPI terendah iaitu 4.3 pada 2012?
Adakah wajar mana-mana Menteri atau Ahli Parlimen menyatakan dirinya Melayu dahulu dan kemudiannya barulah sebagai rakyat Malaysia, bertentangan dengan usaha perpaduan nasional yang seringkali dikaitkan dengan dasar 1Malaysia?
Sudah tentu tidak. Sekiranya soalan sedemikian muncul di dalam kertas perperiksaan percubaan mana-mana sekolah, sudah tentu pelbagai kecaman dan bantahan terancang memenuhi media perdana seperti Utusan Malaysia, New Straits Times, Berita Harian dan Star, juga daripada saluran-saluran radio dan televisyen kerajaan/Barisan nasional. Diikuti dengan pemburuan bagi mendedahkan, mendakwa dan menghukum pihak yang bertanggungjawab mencipta soalan itu.
Sudah tentu, Puad tidak akan mengatakan: “Selagi tak berunsur sensiviti kaum, agama, atau menghina individu, saya rasa (soalan) tak ada masalah…terpulang pada rakyat untuk menentukan”.
Itulah komentar Puad berkaitan soalan di dalam peperiksaan percubaan SPM untuk matapelajaran Pendidikan Moral di Johor Bahru, yang memaparkan dua foto perhimpunan Bersih 3.0 pada 28 April dan menanyakan soalan: “Adakah wajar atau tidak wajar bagi seseorang warganegara itu untuk menyertai perhimpunan haram?”
Foto kepada sebuah soalan perperiksaan percubaan SPM di Johor Bahru yang merujuk kepada perhimpunan Bersih 3.0 muncul di laman Facebook dengan menunjukkan jawapan yang diberikan oleh pelajar - “tidak wajar” dan ditandakan betul.
Adakah Muhyiddin, Puad dan Wee akan berpendirian tidak salah empat soalan yang disebutkan di atas diberikan kepada pelajar sebagaimana mereka berpendirian “tak ada masalah” terhadap soalan tentang Bersih yang ditanya di dalam perperiksaan percubaan SPM di Johor Bahru?
Di dalam perperiksaan percubaan Kertas Am STPM sebuah sekolah di Johor Bahru, terdapat sindiran bahawa sesiapa yang menyokong Pembangkang boleh tercabut kerakyatannya.
Adakah Muhyiddin, Puad dan Wee akan setuju dan meluluskan peperiksaan percubaan Kertas Am STPM yang mengandungi soalan - adakah seorang penyokong pemimpin politik yang korup telah gagal melaksanakan tanggung jawab sebagai warganegara?
Cubaan mempolitikkan pendidikan telah mencapai tahap yang paling rendah apabila Menteri Pendidikan dan dua orang timbalan Menterinya gagal untuk mengecam dengan keras soalan yang mengelirukan dan menimbulkan perbalahan itu. Ia juga tidak lebih sebagai satu cubaan tidak bertanggungjawab untuk mengindoktrinasi dan membasuh otak pelajar-pelajar sekolah agar menurut sahaja pandangan pemerintah.
Tindakan mempolitikkan pendidikan seperti itu telah menghilangkan keyakinan rakyat bahawa di bawah kerajaan UMNO/Barisan Nasional, sistem pendidikan mampu menyatukan dan bukannya memecahbelahkan rakyat Malaysia. Ia juga menghilangkan keyakinan rakyat terhadap Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013 – 2025 yang dilancarkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak kononya dikatakan mampu melakukan perubahan dasar kepada masalah pempolitikan dan kemerosotan taraf pendidikan di Malaysia.