Persoalan semua rakyat Malaysia tentang belanjawan esok - adakah pemberian kedua BR1M dua kali ganda lebih banyak dan bermanfaat lebih ramai lagi?

Satu-satunya soalan yang menjadi tanda tanya rakyat Malaysia tentang Belanjawan 2013 yang akan dibentangkan esok oleh Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan, Datuk Seri Najib Razak bukan sama ada terdapat pemberian kedua BR1M (Bantuan Rakyat 1Malaysia) tetapi sama ada pemberian kedua BR1M akan dua kali ganda lebih banyak daripada RM500 bagi BR1M pertama.

Selain itu, juga persoalan sama ada pemberian BR1M kali kedua akan memberi manfaat kepada lebih ramai rakyat dan bukan sahaja 4.2 juta seisi rumah yang berpendapatan kurang daripada RM3,000 sebulan seperti yang dibentangkan dalam Belanjawan 2012. Contohnya, untuk mereka yang pendapatan seisi rumahnya mencecah Rm4,000 atau RM5,000 sebulan.

Melalui wakil daripada pelbagai peringkat di dalam negara, Barisan Nasional telah membuatkan rakyat Malaysia menjangkakan akan terdapat BR1M kedua daripada Belanjawan 2013 esok. Dan sekiranya pemberian BR1M kedua tidak melebihi dua kali ganda daripada pemberian BR1M pertama iaitu RM500 atau tidak memberi manfaat melebihi bilangan 4.2 juta seisi rumah yang berpendapatan kurang daripada RM3,000 sebulan, kerajaan Najib dan Umno/BN sepatutnya menjangkakan reaksi buruk daripada rakyat Malaysia.

Najib sepatutnya dipersalahkan kerana menjadikan pembentangan belanjawan tahunan acara Santa Claus. Semuanya berpunca daripada sikap Najib yang tidak tetap pendirian dan takut yang keterlaluan terhadap Pilihan Raya ke-13 menyebabkan beliau menjadikan tempoh 42 bulan sebagai Perdana Menteri kempen pilihan raya yang tiada penghujung.

Ketika Najib membentangkan Belanjawan 2012 pada 7hb Oktober tahun lalu dan memperuntukkan RM2.1 bilion untuk pemberian RM500 seisi rumah BR1M, beliau hanya berhasrat meggunakannya sebagai senjata utama bagi meraih undi dan mendapatkan mandat menjadi Perdana Menteri daripada Pilihan Raya Umum ke-13.

Malangnya, seperti kata bidalan, “Manusia merancang, Tuhan menentukan”, rancangan Najib menjadi kucar-kacir apabila terbongkar skandal “Lembu/Kondominium” selepas pembentangan Belanjawan 2012.

Penjadualan semula Pilihan Raya Umum ke-13 oleh Najib pada bulan Jun/Julai tahun ini juga terganggu selepas kerajaan/polis gagal menguruskan dengan baik perhimpunan Bersih 3.0 pada 28 April.

Akibatnya, rakyat Malaysia dapat lihat betapa terdesaknya Najib apabila Umno/BN terpaksa merampas sambutan Hari Kemerdekaan ke-55/Hari Malaysia ke-49 dengan memaksa penggunaan slogan kempen pilihan raya “Janji Ditepati” sebagai tema dua sambutan kebangsaan itu.

Tinjauan terkini oleh Pusat Kajian Demokrasi dan Pilihan Raya Universiti Malaysia (UMCEDEL) yang mendapati sokongan rakyat terhadap Perdana Menteri dalam tempoh lima bulan antara awal April dan awal September menurun tiga peratus menunjukkan merundumnya, walau sedikit, populariti Najib.

Tinjauan itu juga mendapati penurunan keyakinan bahawa BN yang dipimpin Najib akan terus menguasai Putrajaya selepas pilihan raya umum ke-13.

Tinjauan sebelumnya mendapati 49 peratus yakin BN mampu mempertahankan Putrajaya manakala tinjauan terkini mendapati angka itu telah menurun kepada 44 peratus.

Sementara itu pula, keyakinan rakyat bahawa Pakatan Rakyat akan menawan Putrajaya telah meningkat daripada 21 peratus pada bulan Mac kepada 30 peratus dalam tinjauan yang berakhir pada 15 September. Manakala bilangan yang belum pasti telah menurun kepada 26 peratus.

Tinjauan itu turut mendapati terdapat penurunan sambutan terhadap program transformasi Perdana menteri yang menumpukan kepada 3 reformasi utama – RM500 yang diberi kepada sesiapa yang berpendapatan kurang daripada RM3,000 (BR1M), Kedai Rakyat 1Malaysia (KR1M) dan juga Klinik 1Malaysia.

Sebagai contoh, untuk program BR1M, terdapat penurunan lima peratus sokongan daripada 66 peratus, sementara KR1M, yang mencatatkan 68 peratus sokongan dalam tinjauan sebelumnya, turun sehingga 56 peratus. Klinik 1Malaysia juga mencatatkan penurunan sokongan daripada 74 peratus kepada 65 peratus.

Bolehkah pemberian kedua BR1M yang melebihi dua kali ganda daripada RM500 BR1M pertama dan manfaat diberikan lebih daripada 4.2 juta seisi rumah, termasuk sebilangan besar pemberian kepada pelbagai sektor dalam Belanjawan 2013 mengembalikan populariti dan nasib yang baik Umno/Bn untuk pilihan raya umum ke-13?

Hanya keputusan pilihan raya umum seterusnya, sama ada diadakan pada hujung tahun atau awal tahun depan dapat memberikan jawapan.

Tidak diragukan lagi satu kemunduran untuk tadbir urus baik di Malaysia apabila persoalan utama yang ditanya tentang belanjawan tahunan bukan bagaimana negara mampu lebih berdaya saing dan cara terbaik untuk mencapai matlamat negara membangun dan berpendapatan tinggi, tetapi persoalan yang berlegar adalah apakah formula terbaik untuk mengukuhkan kedudukan UMNO dan Barisan Nasional pada pilihan raya umum seterusnya bagi memastikan Najib terus menjadi Perdana Menteri!

Lim Kit Siang Ketua Parlimen DAP & Ahli Parlimen Kawasan Ipoh Timur