Suhakam perlu menggunakan kuasanya di bawah Akta Suhakam 1999 untuk melindungi Suaram

Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) perlu menggunakan kuasa dan fungsinya di bawah Akta Suhakam 1999 untuk melindungi Suaram daripada terus diganggu kerajaan dan pelanggaran hak asasi manusia.

Dua hari yang lalu, Suaram menyatakan yang Suhakam sepatutnya campur tangan dalam gangguan berterusan kerajaan ke atas syarikat induknya, Suara Inisiatif Sdn. Bhd memandangkan mereka berterusan dianiaya oleh kerajaan dan agensi-agensinya sejak Julai 2012.

Permintaan Suaram antaranya adalah supaya Suhakam membuat pendirian tegas terhadap kuasa keterlaluan Menteri dari Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Malaysia, Ismail Sabri Yaakob dalam mengganggu dan mempengaruhi siasatan oleh Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), dan bagi mengakui kebiasaan pendanaan asing terhadap pertubuhan-pertubuhan di Malaysia.

“Suaram amat bimbang dengan kuasa keterlaluan yang ditunjukkan oleh Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Ismail Sabri Yaakob ekoran campur tangan dan mempengaruhi siasatan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) terhadap Suaram,” kata Suaram.

Amnesty International (AI) yang merupakan sebuah pemantau hak-hak global telah membangkitkan kesangsian terhadap waktu Putrajaya tiba-tiba berminat terhadap operasi Suaram. Menyedari yang pihak berkuasa mula menyiasat NGO tersebut selepas ia mendedahkan orang yang rapat dengan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak telah menjual rahsia tentera laut Malaysia kepada Perancis.

AI berkata di dalam kenyataannya semalam: “ Amnesty bimbang apabila tindakan kerajaan terhadap SUARAM kelihatan berkait dengan tugas sah pertubuhan itu terutamanya melibatkan kes rasuah yang telah ia bawa ke mahkamah Perancis.”

“Kerajaan memulakan tindakan terhadap SUARAM empat minggu selepas pertubuhan itu mendedahkan maklumat baru daripada dokumen yang disediakan oleh pejabat pendakwa raya Perancis berkenaan penglibatan pegawai-pegawai di Malaysia dalam satu pertuduhan rasuah.”

NGO hak asasi manusia itu telah bergiat aktif menjejak skandal Scorpene di mahkamah Perancis dalam rangka kempennya untuk mendedahkan korupsi kerajaan dalam pembelian kapal selam berbilion-bilion ringgit yang turut berkemungkinan membuka semula kes pembunuhan Altantuyaa Shaariibuu, seorang model Mongolia yang mempunyai kaitan dengan perniagaan itu.

Amnesty mengatakan gangguan itu “nampaknya satu usaha bersepadu pelbagai jabatan kerajaan menentang SUARAM yang merupakan salah sebuah kumpulan hak asasi manusia terkemuka di Malaysia.”

“Kerajaan Malaysia sepatutnya menghormati hak SUARAM sebagai pertubuhan hak asasi manusia untuk mencari dan menerima dana dan bukannya menyalahgunakan kuasanya untuk menakut-nakutkan pejuang hak asasi manusia.”

Suhakam sepatutnya bertindak di bawah Seksyen 4(1)(4) Akta Suruhanjaya Hak Asasi Manusia 1999 yang memberikannya fungsi “untuk menyiasat aduan berkenaan dengan pelanggaran hak asasi manusia” dan Seksyen 4 (2)(3) memberikannya kuasa “untuk mengkaji dan menentusahkan apa-apa pelanggaran hak asasi manusia”.

Saya juga menyeru Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak untuk memberhentikan serangan UMNO/Barisan Nasional ke atas masyarakat sivil dan menamatkan semua gangguan dan pertuduhan bukan sahaja ke atas Suaram tetapi juga NGO-NGO bebas hak asasi manusia dan portal-portal berita, seperti Bersih dan Malaysiakini kerana ini benar-benar merosakkan kata-kata dan semangat “Transformasi Politik” beliau serta janji beliau untuk menjadikan Malaysia “demokrasi terbaik dunia”, dan ia juga asing bagi “politik baru” dukungan Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Saifuddin Abdullah yang membayangkan kerjasama positif antara kerajaan dengan perniagaan dan masyarakat sivil untuk membentuk satu kerangka baru pentadbiran.

Lim Kit Siang Ketua Parlimen DAP & Ahli Parlimen Kawasan Ipoh Timur