Saya akan bangkitkan isu Batu Sumpah Keningau di Parlimen bagi menyokong usul saya untuk tubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja

Pada Hari Malaysia ke-49 Ahad lalu, Biskop Katolik Datuk Conelius Piong dalam mesejnya mempersoal sama ada perjanjian 49 tahun yang tertanda pada Batu Sumpah Keningau, untuk mendukung kebebasan beragama, hak-hak rakyat Sabah dan adat setempat telah ditepati.

Piong berkata sebagai sebahagian daripada kempen untuk meyakikankan rakyat Sabah untuk bersatu membentuk Malaysia, bersama dengan Sarawak dan Singapura 49 tahun lalu, pemimpin dari Persekutuan Malaya berjanji kepada rakyat Sabah bahawa mereka akan maju bersama dan semua hak asasi mereka akan dilindungi.

Tiga janji utama yang dibangkitkan Piong adalah jaminan bahawa rakyat Sabah akan mendapat kebebasan beragama, tanah mereka akan dijaga oleh kerajaan negeri dam kerajaan persekutuan akan menghormati dan melindugi adat setempat.

“Adakah janji-janji ini masih dijunjung dan dihormati?” Tanya Piong di dalam mesej Hari Malaysia beliau.

Beliau berkata: “Perjanjian itu terukir di atas Batu Sumpah Peringatan yang masih boleh dibaca dan diingati.”

Pertama kali saya melawat pusat pentadbiran majlis daerah Keningau pada Mac 2010 bersama-sama Ahli Parlimen DAP Hiew King Cheu (Kota Kinabalu), Teo Nie Ching (Serdang), Lim Lip Eng (Segambut) dan Jimmy Wong (Ahli Dewan Undangan Negeri Sabah bagi Sri Tanjong), dan Batu Sumpah itu masih teguh berdiri dan di atas Batu Sumpah itu terukir perkataan ini:

“BATU SUMPAH MENGIKUT PERLEMBAGAAN

  1. Ugama Bebas dalam Sabah

  2. Tanah Tanah dalam Sabah di kuasai oleh Kerajaan Sabah

  3. Adat istiadat anak rayat Sabah dihormatkan dan dipelihara oleh Kerajaan.

    Sebalik pula rayat2 Sabah di dalam interior bersumpah taat setia kepada Kerajaan Malaysia.”

Selepas lawatan ke Batu Sumpah Keningau pada Mac 2010, saya telah bertanya: “Ini merupakan syarat-syarat kepada sumpah taat setia rakyat Sabah lima puluh tahun lalu sebagai ganti untuk penubuhan Malaysia. Adakah sumpah yang dilakar di atas Batu Sumpah Keningau ini sudah ditunaikan kedua-dua belah pihak?”

Dua minggu lalu, sebagai sebahagian daripada Perbicaraan Awam “Janji Ditepati” DAP di seluruh Sabah, saya kembali ke Keningau bersama Ahli Parlimen Tuaran, Datuk Seri Wilfred Bumburing, melawat kembali Batu Sumpah Kengingau yang bersejarah. Dan saya semakin yakin adalah releven dan berpatutan cadangan yang telah saya usulkan di Parlimen pada Mac 2010 selepas lawatan saya ke Batu Sumpah Keningau – untuk menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja bagi menilai sama ada harapan dan kehendak rakyat Sabah dan Sarawak dalam membentuk Malaysia telah dipenuhi atau dikhianati sepanjang lima puluh tahun yang berlalu.

Saya telah katakan pada 2010 bahawa Suruhanjaya Siasatan Diraja adalah cara yang paling bermakna dalam persediaan menyambut ulang tahun ke-50 Hari Malaysia pada 16 September 2013. Walaupun terdapat kurang daripada satu tahun menjelang ulangtahun ke-50 Hari Malaysia September akan datang, tujuan untuk Suruhanjaya Siasatan Diraja itu ditubuhkan tetap bermakna, sah dan bersangkutan.

Apabila Parlimen kembali bersidang minggu depan, Saya akan mengulang seruan saya untuk Suruhanjaya Siasatan Diraja menilai sama ada impian dan kehendak rakyat Sabah dan Sarawak dalam membentuk Malaysia telah dipenuhi atau dikhianati dalam tempoh lima puluh tahun. Dan saya akan bangkitkan tentang Batu Sumpah Keningau sebagai bahan utama hujah saya untuk penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja tersebut supaya semua Ahli parlimen, bukan sahaja dari Sabah, tetapi dari Sarawak dan Semenanjung Malaysia untuk belajar tentang Batu Sumpah Keningau yang bersejarah itu.

Sebuah penilaian ke atas perkembangan syarat-syarat tiga sumpah utama Batu Sumpah Keningau dan Perjanjian 20 Perkara Sabah akan menjadi sumbangan besar menjadikan ulang tahun sambutan Hari Malaysia ke-50 lebih bermakna.

Dalam ucapannya sebentar tadi, mantan Ahli Parlimen Tuaran Datuk Monggih Orow menyentuh tentang rintihan rakyat Sabah terutamanya mereka yang tidak mempunyai tanah.

Ini jelas satu pencabulan melampau, memeranjatkan dan benar-benar satu jenayah terhadap perjanjian “tanah” pada Batu Sumpah Keningau. Peminggiran sedemikian, kemiskinan dan keterbelakangan sosio-ekonomi tidak sepatutnya berlaku pada negeri kedua terbesar di Malaysia selepas Sarawak.

Izinkan saya respon kepada Monggoh Orow dan berjanji yang kerajaan Pakatan Rakyat akan segera melaksanakan dasar “Tanah bagi yang Tidak Bertanah” untuk rakyat asal Sabah yang mahu mengusahakan tanah dan kami akan membanteras penyalahgunaan kuasa yang menyebabkan sebahagian besar tanah dirampas oleh mereka yang berkuasa untuk kroni-kroni mereka.

Inilah contoh terperinci Tiga Sumpah Asas kepada Batu Sumpah Keningau tidak lagi dipenuhi. Oleh itu adalah sesuai, tepat pada masanya dan amat kena untuk membawa harapan dan kehendak rakyat Sabah seperti yang terkandung dalam Batu Sumpah Keningau di bawa kepada perhatian dewan politik tertinggi negara ini – Parlimen.

Lim Kit Siang Ketua Parlimen DAP & Ahli Parlimen Kawasan Ipoh Timur