Presiden MCA Chua Soi Lek memainkan peranan merosakkan seperti Utusan Malaysia dalam cubaan menakut-nakutkan pengundi Cina

Presiden MCA Datuk Seri Dr. Chua Soi Lek memainkan peranan Utusan Malaysia yang merosakkan dalam cubaan menakut-nakutkan pengundi Cina dengan pembohongan dan penipuan sebagaimana Utusan menakut-nakutkan pengundi Melayu setiap hari dengan lambakan penipuan dan pembohongan.

Peranan Utusan Malaysia, lidah rasmi UMNO adalah untuk melanggar segala etika kewartawanan secara sistematik bagi mengadun dan melemparkan pembohongan dan penipuan tentang DAP serta Pakatan rakyat bertujuan mendesak pengundi Melayu untuk mengundi UMNO.

Contohnya, Utusan Malaysia terang-terangan menerbitkan pembohongan dan penipuan tentang DAP, menyebarkan tuduhan-tuduhan yang langsung tidak berasas bahawa DAP anti-Melayu, anti-Islam dan anti-Raja Melayu. Juga menuduh DAP mahu mewujudkan Malaysia yang Kristian bagi mengantikkan Islam sebagai agama rasmi, menuduh DAP mahu melantik Perdana Menteri Kristian, mendirikan Republik dan menghapuskan sistem monarki.

Adalah sangat jelas beberapa bulan kebelakangan ini, Presiden MCA memainkan peranan tidak bertanggung jawab dan memecah belah seperti Utusan Malaysia dengan menakut-nakutkan pengundi Cina melalui isu yang dipercayai muslihat paling berkesan oleh strategis MCA – isu negara Islam dan perlaksanaan hudud, supaya mereka mengundi MCA.

Pendirian DAP tentang Malaysia sebagai negara sekular sentiasa tetap dan konsisten.

Kami berpegang teguh kepada prinsip asas bahawa negara Islam dan hukum hudud tidak sesuai dan tidak cocok untuk Malaysia yang masyarakatnya majmuk.

Kami tidak menyembunyikan prinsip asas dan kepercayaan kami, baik daripada PAS ataupun mana-mana parti politik atau daripada rakyat Malaysia sendiri. Kami tahu pendirian PAS tentang negara Islam dan hukum hudud seperti mana PAS tahu perbezaan pendirian kami dalam kedua isu itu.

Walaupun DAP, PAS dan PKR mempunyai perbezaan, kepimpinan Pakatan Rakyat telah berulang kali menegaskan komitmen teguh kami terhadap dasar bersama yang telah dicapai ketiga-tiga parti komponen baik sebelum atau selepas Pilihan Raya ke-13, terhadap Kerangka Dasar Bersama PR pada 19 Disember 2009, Buku Jingga pada pada 20 Disember 2010 atau dokumen dan kenyataan Bersama Kepimpinan PR.

Kepimpinan PR juga telah berulang kali menegaskan prinsip iaitu mesti terdapatnya kesepakatan di antara tiga parti komponen PR sebelum boleh dilakukan sebarang perubahan pada dasar PR yang telah dipersetujui.

Kepimpinan PR juga telah berulang kali menekankan bahawa perlaksanaan hudud bukan sebahagian daripada Kerangka Dasar Bersama PR.

Ini bermakna jika Pakatan Rakyat memenangi Pilihan Raya ke-13 dan membentuk Kerajaan Persekutuan di Putrajaya, untuk lima tahun berikutnya dari 2012/2013 hingga 2017/8, perlaksanaan hudud tidak akan menjadi program atau dasar Kerajaan Persekutuan Pakatan Rakyat melainkan ketiga-tiga parti komponen boleh mencapai kesepakatan tentangnya.

Pendirian ini amat jelas, mudah dan tidak berbelit-belit tetapi Presiden MCA dengan politik terdesak, menakut-nakutkan dan tidak bertanggung jawab cuba untuk mewujudkan huru-hara dan ketakutan bagi meraih undi daripada pengundi Cina supaya mengundi MCA pada pilihan raya ke-13.

Salah satu muslihat kegemaran Chua adalah untuk menyebut bahawa Timbalan Presiden PAS Mohamad Sabu menyatakan PAS akan meminda Perlembagaan Persekutuan untuk melaksanakan hudud sekiranya Pakatan Rakyat berkuasa – mengabaikan langsung penafian Mohamad Sabu yang beliau tidak pernah mengeluarkan kenyataan sedemikian. Malah turut mengabaikan pengumuman dasar Majlis Kepimpinan Pakatan Rakyat bahawa perlaksaan hudud bukan sebahagian daripada dasar Pakatan Rakyat, pendirian dasar yang mengikat semua parti di dalam Pakatan Rakyat untuk empat hingga lima tahun lagi sehinggalah Pilihan Raya Umum ke-14.

Satu lagi muslihat kegemaran Chua adalah untuk melaungkan bahawa perlaksanaan hudud adalah pasti jika Pakatan Rakyat memenangi Pilihan Raya Umum ke-13 dengan mengatakan “melihat kepada 222 Ahli Parlimen yang kebanyakkannya adalah Muslim, PAS dengan mudah mampu memperolehi majoriti dua pertiga untuk melaksanakan hudud mereka”.

Chua telah menyatakan dengan terbuka: “Oleh itu, inilah realiti politik yang harus dihadapi oleh semua bukan-Muslim. Ini bukan ancaman. Ia adalah sesuatu yang kita semua mesti fikirkan.”

Ini betul-betul satu penipuan dan merepek. Ia menunjukkan dalam politik terdesak, Chua Soi Lek telah mengenepikan fakta, bilangan dan kebenaran.

Pertama, bilangan Ahli Parlimen Muslim masih kurang daripada majoriti dua pertiga yang diperlukan untuk meminda perlembagaan.

Selepas PRU 2008, di semenanjung Malaysia terdapat 107 orang Ahli Parlimen Muslim, contohnya 65 Ahli Parlimen daripada BN dan 42 Ahli Parlimen daripada PR – masih jauh daripada majoriti 148 Ahli Parlimen yang diperlukan untuk meminda perlembagaan.

Sekalipun selepas dimasukkan Sabah dan Sarawak (Sabah dan Sarawak mestilah dikira berasingan, kedudukan Malaysia sebagai negara sekular digariskan dengan terperinci dalam Perjanjian 20 Perkara Sabah dan Perjanjian 18 Perkara Sarawak dalam pembentukan Malaysia pada 1963), jumlah keseluruhan Ahli Parlimen Muslim masih tidak mencapai majoriti dua pertiga.

Termasuk Sabah dan Sarawak, 130 Ahli Parlimen Muslim daripada 222 Ahli Parlimen yang menang PRU 2008 atau 59%, masih kurang 18 Ahli Parlimen untuk membentuk dua pertiga – dengan 88 Ahli Parlimen Muslim daripada BN dan 42 Ahli Parlimen Muslim daripada PR. (Rujuk jadual di bawah)

Jadual 1: Ahli Parlimen Muslim dan Bukan-Muslim dari BN / PR dan mengikut Kawasan / Negeri selepas PRU2008

BN PR
Kawasan / Negeri Muslim Bukan Muslim Muslim Bukan Muslim
S.Malaysia 65 20 42 38
Sabah 9 21 - 1
Sarawak 14 11 - 1
Jumlah 88 52 42 40

Terlalu simplistik untuk menganggarkan yang Ahli Parlimen daripada BN di Malaysia Timur akan semberono menyokong usul yang mengisytiharkan Malaysia sebagai negara Islam lebih-lebih lagi apabila sesetengah Ahli Parlimen ini, seperti mereka daripada PBB di Sarawak, adalah dari parti yang mempunyai keahlian dan wakil bukan-Muslim bersama-sama mereka.

Jika kita mengambil kira Ahli Parlimen Muslim di Semenanjung Malaysia, mereka hanya terdiri daripada 107 orang Ahli Parlimen, kurang 50% daripada jumlah keseluruhan Ahli Parlimen di Malaysia, jauh daripada memiliki dua pertiga iaitu 66.7% yang diperlukan untuk pemindaan perlembagaan.

Jadual 2: Kerusi Majoriti Muslim dan Bukan-Muslim Mengikut Kawasan / Negeri

Kawasan / Negeri Majoriti Muslim Majoriti Bukan-Muslim Jumlah
S.Malaysia 113 52 165
Sabah 15 11 26
Sarawak 8 23 31
Jumlah 136 86 222

Sekalipun kita ambil bilangan majoriti Muslim dibandingkan dengan majoriti Bukan-Muslim, terdapat hanya 136 kerusi majoriti Muslim di seluruh negara (61%), masih kurang 12 kerusi untuk mendapat majoriti 148 kerusi.

Sekali lagi, berpegang kepada rasional yang Ahli Parlimen Muslim di Sabah dan Sarawak tidak semestinya menyokong usul itu.

Daripada jadual 1 dan 2, walau dalam keadaan paling ekstrim iaitu semua Ahli Parlimen kerusi yang majoriti Muslim mengundi untuk menyokong usul negara Islam, ia masih tidak mencukupi untuk mencapai majoriti dua pertiga.

Dua jadual itu telah membongkar penipuan bahawa pasti terdapat majoriti dua pertiga majoriti parlimen oleh Ahli Parlimen Muslim untuk menyokong pindaan perlembagaan bagi melaksanakan hudud sekiranya Pakatan Rakyat Berjaya merebut Putrajaya pada Pilihan Raya ke-13. Penipuan yang disebarkan ke seluruh negara oleh Presiden MCA.

Saya menasihatkan Presiden MCA untuk berhenti daripada politik yang menakut-nakutkan, terdesak dan tidak bertanggung jawab. Biarlah beliau bertindak dengan penuh tanggung jawab untuk perubahan dan lebih menghormati fakta, bilangan dan kebenaran.

Lim Kit Siang Ketua Parlimen DAP & Ahli Parlimen Kawasan Ipoh Timur