Slogan pilihan raya Barisan Nasional “Janji Ditepati” yang dijadikan tema Hari Kemerdekaan/Hari Malaysia paling teruk dimungkiri
Slogan pilihan raya Barisan Nasional “Janji Ditepati” yang dijadikan tema Hari Kemerdekaan/Hari Malaysia paling teruk dimungkiri dalam tempoh 17 hari di antara Hari Kemerdekaan ke-55 pada 31 Ogos hingga Hari Malaysia ke-49 pada 16 September.
Biar saya tunjukkan tiga “Janji Ditepati” yang telah dimungkiri BN dalam tempoh 17 hari:
Suruhanjaya Siasatan Diraja Siasat Pendatang Asing (RCIII) di Sabah
Saya ingin meluahkan rasa kecewa apabila Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak tidak menggunakan peluang sekurang-kurangnya ketika Hari Malaysia ke49 untuk mengumumkan bahawa Suruhanjaya Siasatan Diraja Siasat Pendatang Asing (RCIII) di Sabah telah mula menjalankan tugas.
Najib telah mengumumkan pada 11 Ogos bahawa RCIII akan diberikan masa 6 bulan untuk melengkapkan siasatan dan laporan, dan tempoh enam bulan itu bermula pada tarikh instrumen perlantikan dikeluarkan kepada pengerusi dan anggota-anggota RCIII.
Sejak tarikh Najib mengumumkannya pada 11 Ogos lalu, lima minggu telah berlalu dan tidak kedengaran apa-apa khabar lagi tentang RCIII, tiada sebarang tanda yang pengerusi dan anggota-anggota RCIII telah dilantik secara rasmi bagi membolehkan RCIII memulakan tugas enam bulan mereka untuk melihat masalah yang sudah berdekad lamanya terjadi di Sabah dan Malaysia.
Tiada pelanggaran yang lebih teruk terhadap slogan “Janji Ditepati” dan slogan Najib sebagai Perdana Menteri “Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan” dibandingkan dengan situasi mengarut dan penuh skandal apabila RCIII masih belum boleh beroperasi tujuh bulan selepas keputusan kabinet pada 8 Feb. Dan lebih dari 5 minggu selepas Najib mengumumkan bidang tugas dan keahliannya pada 11 Ogos.
Pengenalan slogan 1Malaysia Najib
Dua kali dalam tempoh 17 hari, Najib memungkiri dasar pengenalan 1Malaysianya sendiri yang mana “menjadikan Malaysia… sebuah negara yang hebat: sebuah negara yang diharapkan agar setiap warga Malaysia melihat dirinya terlebih dahulu sebagai rakyat Malaysia, dan kemudiannya barulah melihat dirinya berdasarkan bangsa, agama, kawasan geografi dan latar belakang sosial, dan juga sebuah negara yang diharapkan agar prinsip 1Malaysia dijalin dalam struktur ekonomi, politik dan sosial masyarakat.”
Kali pertama Najib memungkiri 1Malaysia “Janji Ditepati” adalah ketika beliau gagal untuk bertindak sebagai Perdana Menteri kepada semua rakyat Malaysia tetapi membuat seruan yang bersifat memecahbelahkan dengan meminta rakyat Malaysia untuk “mempertahankan kemerdekaan” daripada Pakatan Rakyat dalam ucapan penutupnya pada perhimpunan :Merdeka 55: Janji Ditepati” di Stadium Nasional Bukit Jalil pada 31 Ogos.
Kali kedua Najib memungkiri “Janji Ditepati” adalah pada malam Hari Malaysia, ketika Najib membuat ucapan yang mengapi-apikan dan bersifat memecah-belahkan tentang survival orang Melayu dan kedudukan UMNO sebagai tulang belakang BN, benar-benar bertentangan dengan dasar 1Malaysia beliau yang mahukan rakyat Malaysia meletakkan “Malaysia terlebih dahulu sebelum berdasarkan bangsa, agama atau kawasan”
Malaysia sebagai negara demokrasi terbaik di dunia
Najib mahu Malaysia untuk menjadi negara demokrasi terbaik – tetapi kerajaan BN adalah punca kebanyakkan contoh pelanggaran “Janji Ditepati”, sebagaimana terserlah oleh amalan berat sebelah yang diamalkan kerajaan BN, yang mana tindakan tegas dikenakan ke atas anak-anak muda yang menunjukkan punggung dan memijak gambar Perdana Menteri. Tetapi menutup sebelah mata apabila perbuatan yang sama dilakukan ke atas pemimpin Pakatan Rakyat seperti Datuk Seri Anwar Ibrahim, Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng, dan Menteri Besar dari PAS Datuk Nik Aziz Nik Mat dan pemimpin masyarakat sivil seperti Pegerusi Bersama Bersih Datuk S. Ambiga, baik yang dilakukan oleh UMNO sendiri atau aktivis yang ditaja UMNO.
Menambah kejelikan amalan berat sebelah yang sedia ada adalah kenyataan yang mengejutkan oleh Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein dua hari sebelum Hari Malaysia. Beliau mengatakan tiada jaminan keselamatan untuk jelajah Merdeka Rakyat PKR ketika meningkatnya ancaman samseng politik, jenayah dan keganasan yang didalangi unsure-unsur UMNO.
Adakah Najib bersedia untuk melakukan tinjauan umum melihat berapa banyak pelanggaran BN terhadap slogan pilihan raya mereka “Janji Ditepati” yang dijadikan tema Hari Kemerdekaan/Hari Malaysia?