Barisan Nasional telah hilang kredibiliti, legitimasi dan kewibawaan moral untuk terus memerintah di Malaysia

Laporan terkini yang datang daripada kem Barisan Nasional adalah pada Pilihan Raya ke-13 nanti, mereka menjangkakan akan memenangi lebih daripada 140 kerusi Parlimen yang pernah dimenangi pada Pilihan Raya 2008 dan kemungkinan paling buruk pun memenangi cuma 120 kerusi.

Tetapi ini hanyalah salah satu daripada sekian banyak anggaran tentang kemungkinan paling buruk untuk Barisan Nasional daripada yang paling teruk yakni hilang kuasa majoriti Parlimen hinggalah yang lebih menyedihkan seperti Barisan Nasional cuma berjaya memperolehi kurang daripada 100 kerusi.

Buat pertama kali dalam tempoh 55 tahun dan pada Pilihan Raya Umum ke-13, pengundi Malaysia memiliki kuasa di tangan mereka untuk membuat keputusan sama ada telah tiba masanya untuk perubahan kerajaan Persekutuan walaupun ini sangat bergantung kepada sejauh mana pilihan raya yang akan datang bebas, adil dan bersih.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak tidak yakin bahawa beliau akan selamat untuk terus menjadi Perdana Menteri keenam selepas PRU13, dan itulah sebabnya mengapa hampir dua tahun beliau asyik berbolak-balik bilakah masanya untuk mengumumkan tarikh pilihan raya sekalipun beliau tidak dapat lari daripada tekanan rasa malu menjadi Perdana Menteri tanpa mandat sendiri untuk tempoh yang paling lama.

Walau apapun keputusan PRU13, apa yang semakin terbukti adalah Barisan Nasional telah hilang kredibiliti, legitimasi dan kewibawaan moral untuk terus memerintah di Malaysia kerana mereka bersedia untuk menjejaskan pembinaan bangsa rakyat Malaysia dengan pembohongan bercanggahan, tipu daya dan kepura-puraan apabila berkempen kepada kumpulan etnik yang berlainan.

Kepada kaum Melayu, pemimpin-pemimpin dan propagandis UMNO menyebarkan pembohongan dan penipuan dalam bentuk amaran bahawa DAP sebenarnya yang akan berkuasa sekiranya Pakatan Rakyat membentuk kerajaan persekutuan pada PRU13, Melayu akan kehilangan kuasa politik dan menjadi “pengemis di tanah sendiri”, kedudukan Islam sebagai agama rasmi negara akan digantikan dengan negara Kristian, pemansuhan sistem Raja-Raja dan Malaysia menjadi Republik.

Kepada kaum Cina, pemimpin-pemimpin dan propagandis MCA akan menyebarkan pembohongan dan penipuan dalam bentuk amaran bahawa PAS sebenarnya yang akan berkuasa sekiranya Pakatan Rakyat membentuk kerajaan persekutuan pada PRU13, hukum hudud akan dilaksanakan menyebabkan hak dan kepentingan bukan Islam akan terjejas sementara wanita bukan Islam tidak mampu lagi berasa selamat kerana mereka akan diperkosa oleh umat Islam – mengingatkan kepada pembohongan dan penipuan MCA serta Gerakan pada 1999 bahawa mengundi DAP bermakna mengundi PAS dan Negara Islam yang mana tiada khinzir, alkohol, rumah ibadat agama lain, sekolah Cina, manakala wanita cantik akan sukar mendapat pekerjaan dan akan berleluasa pemotongan tangan dan kaki.

Pemimpin-pemimpin dan propagandis UMNO tidak percaya kepada pembohongan, penipuan dan tipu daya yang dilakukan MCA terhadap kaum Cina, sebagaimana pemimpin-pemimpin dan propagandis MCA tidak percaya kepada pembohongan, penipuan dan tipu daya UMNO terhadap kaum Melayu – tetapi mereka tidak bersedia untuk mendedahkan atau menafikan pembohongan dan penipuan itu memandangkan ia memenuhi matlamat untuk menakut-nakutkan kaum-kaum tersebut dan mendapatkan undi mereka untuk Barisan Nasional dalam PRU13.

Itulah yang membezakan Pakatan Rakyat daripada Barisan Nasional. Kita tidak memberikan mesej berbeza kepada kelompok rakyat Malaysia yang berbeza, baik kaum, agama ataupun kawasan.

Pakatan Rakyat dan parti komponen yang terdiri daripada DAP, PKR dan PAS hanya mempunyai satu mesej kepada semua rakyat Malaysia – mengembalikan keadilan, kebebasan, demokrasi dan tadbir urus yang baik serta menjunjung juzuk-juzuk utama Perlembagaan Malaysia.

Sebaliknya, Barisan Nasional terus dengan peranan memecah belah dan memusnah untuk mengekalkan taktik “pecah dan perintah”, menyulam politik kebencian dan konflik dengan mesej-mesej yang saling bercanggah kepada kelompok ektik dan agama yang berbeza di negara ini.

Bagaimana Barisan Nasional dapat menyelaraskan pembohongan, penipuan dan tipu daya yang disebarkan UMNO di kalangan Melayu dengan pembohongan, penipuan dan tipu daya yang disebarkan MCA di kalangan Cina?

Itulah sebabnya saya mengatakan bahawa Barisan Nasional telah hilang kredibiliti, legitimasi dan kewibawaan moral untuk terus memerintah di Malaysia kerana mereka bersedia untuk menjejaskan pembinaan bangsa rakyat Malaysia dengan pembohongan bercanggahan, tipu daya dan kepura-puraan apabila berkempen kepada kumpulan etnik yang berlainan – yang merobek-robek slogan dan dasar 1Malaysia yang Najib sanjung-sanjung!

Inilah sebabnya mengapa Barisan Nasional layak untuk ditewaskan dan diganti dengan Pakatan Rakyat sebagai kerajaan persekutuan baru di Putrajaya dalam PRU13.

Lim Kit Siang Ketua Parlimen DAP & Ahli Parlimen Kawasan Ipoh Timur