Pertukaran kerajaan diperlukan bagi merungkai semua kesan buruk 25 tahun Operasi Lalang terhadap demokrasi, hak asasi manusia dan institusi-institusi negara
Esok merupakan ulang tahun ke-25 Operasi Lalang yang menjadi titik hitam kepada sejarah demokrasi dan hak asasi manusia negara.
Ketika itu bukan sahaja penahanan 106 rakyat Malaysia, termasuklah pemimpin-pemimpin pembangkang – 16 darinya adalah dari DAP terdiri daripada Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri – ahli-ahli kesatuan sekerja, aktivis sosial, kumpulan pencinta alam, pejuang pendidikan Cina dan pekerja bidang agama, tetapi juga terdapat serangan besar-besaran ke atas kebebasan akhbar dengan penutupan tiga suratkhabar, serangan tanpa belas terhadap kebebasan badan kehakiman dan kedaulatan hukum menyebabkan pemecatan Ketua Hakim Negara dan dua Hakim Mahkamah Agung serta beberapa penggubalan undang-undang yang tidak demokratik hingga menyebabkan perubahan besar kepada lanskap politik negara, meletakkan cabang kehakiman dan legislatif di bawah Eksekutif atau lebih tepat di dalam cengkaman seorang saja, Perdana Menteri waktu itu.
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak telah berjanji melalui Program Transformasi Kerajaan akan menjadikan Malaysia “demokrasi terbaik dunia”, tetapi selepas lebih 42 bulan menjadi Perdana Menteri, Malaysia masih ketinggalan daripada menjadi “demokrasi normal” apatah lagi “demokrasi terbaik dunia”, seperti yang digambarkan apabila beliau dan perikatan pemerintah UMNO/BN menolak untuk menyatakan secara terbuka komitmen bahawa mereka akan menerima apa yang ditentukan pengundi pada Pilihan Raya Umum ke-13 dan akan memastikan peralihan aman dan lancar pentadbiran Persekutuan kepada Pakatan Rakyat sekiranya itulah ketentuan pengundi Malaysia di peti undi.
Jelas pertukaran kerajaan di peringkat nasional untuk pertama kalinya dalam tempoh 55 tahun amatlah diperlukan untuk merungkai segala kemusnahan dan keburukan 25 tahun Operasi Lalang terhadap demokrasi, hak asasi manusia dan institusi negara – baik melalui pemulihan sistem kehakiman yang benar-benar bebas dan kedaulatan hukum yang adil; meleraikan rampasan oleh Eksekutif terhadap kuasa Parlimen dan badan Kehakiman; berkembangnya media yang bebas dan bertanggungjawab serta hak-hak fundemental kebebasan bersuara, ekspresi dan maklumat; mekanisme semak dan imbang yang wajar untuk menghapuskan rasuah dan penyalahgunaan kuasa; dan memulihkan kesaksamaan, kemandirian dan profesionalisme semua institusi negara.
Bersempena ulang tahun ke-25 Operasi Lalang, biarlah semua rakyat Malaysia menyatakan kembali secara tegas untuk merungkai kesemua kemusnahan berpunca daripada malapetaka Operasi Lalang pada 1987 dengan bersatu untuk memperkukuhkan demokrasi, hak asasi manusia dan institusi negara dengan memilih untuk perubahan pentadbiran peringkat nasional pada pilihan raya umum supaya tidak berulang lagi Operasi Lalang pada masa hadapan.