“Perjanjian Syaitan” UMNO/MCA disahkan oleh Mahathir dalam tempoh 24 jam
Semalam, saya secara terbuka mengatakan pemimpin MCA dan UMNO telah membuat “Perjanjian Syaitan” supaya masing-masing menyebarkan pembohongan dan penipuan untuk menakut-nakutkan pengundi Cina dan Melayu dengan keyakinan bahawa politik yang sedemikian satu-satunya cara untuk mendapatkan undi kaum Cina dan Melayu buat Barisan Nasional pada Pilihan Raya Umum ke-13.
Saya menjangkakan pemimpin UMNO dan MCA serta propagandis-propagandis mereka untuk memanjangkan polemik dengan menafikan kewujudan perjanjian jahat itu lalu cuba melarikan tumpuan daripada “Perjanjian Syaitan” tersebut.
Apa yang paling tidak saya jangkakan pendedahan saya tentang “Perjanjian Syaitan” di antara UMNO/MCA disahkan dalam tempoh 24 jam dengan gaya penuh wibawa dan cara yang benar-benar melondehkan hipokrasi dan muslihat UMNO serta MCA.
Hanya seorang sahaja mampu melakukan tindakan sedemikian iaitu Tun Dr. Mahathir dan itulah yang beliau lakukan semalam.
Pada sidang media semalam di simposium “Dialog Antara Peradaban Menuju Keamanan, Keharmonian Bersama dan Kelestarian” Universiti Malaya, Mahathir mengakui bahawa “pendirian tidak bertolak ansur” MCA terhadap hukum hudud pada Perhimpunan Agung MCA minggu lepas hanyalah bertujuan “menakut-nakutkan” komuniti Cina dan bukan ditujukan kepada kaum Melayu atau umat Islam.
Mahathir berkata:
“Dia (MCA) bertujuan untuk menakutkan orang Cina, bukan orang Melayu atau Islam ...Tujuan MCA nak takutkan orang Cina supaya tak sokong DAP”.
"Tapi dulu pun MCA tak pernah bantah bila kita isytihar negara ini negara Islam dan kita akan amal nilai-nilai dan ajaran Islam,"
Semalam, di dalam jawapan bertulis di Parlimen, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Senator Datuk Sri Jamil Khir Baharom mengatakan jika hukum hudud dilaksanakan di Malaysia, ia tidak akan mempunyai sebarang kesan ke atas bukan Islam.
Presiden MCA Datuk Seri Chua Soi Lek dan empat Menteri MCA sepatutnya menjelaskan sama ada jawapan Jamil mewakili pendirian MCA di dalam Kabinet dan Barisan Nasional, jika tidak, apa yang akan mereka lakukan tentangnya.
Pengesahan Mahathir terhadap “Perjanjian Syaitan” UMNO dan MCA supaya masing-masing menyebarkan pembohongan dan penipuan untuk menakut-nakutkan pengundi Cina dan Melayu bagi mendapatkan undi kaum Cina dan Melayu buat Barisan Nasional seharusnya diberi perhatian serius dan dikutuk sekeras-kerasnya oleh semua rakyat Malaysia.
Dalam “Perjanjian Syaitan” mereka, pemimpin UMNO akan terus membisu tidak kira apa juga pembohongan yang disebarkan MCA untuk “menakut-nakutkan orang Cina”, termasuklah penipuan yang pemimpin UMNO sendiri tahu ia tidak berasas seperti fitnah MCA bahawa PAS dan Islam membenarkan bukan Islam dirogol atau PAS dan Islam akan membawa Malaysia kembali ke “Zaman Gelap”.
Begitu juga pemimpin MCA akan terus membisu walaupun mereka tidak mempercayai pembohongan dan penipuan UMNO “untuk menakut-nakutkan kaum Melayu”, bahawa DAP mahu mendirikan Negara Kristian dan menghapuskan Raja-Raja Melayu serta mendirikan Republik!
Saya teringat kepada komenter di sebuah blog milik seorang pakar bedah semalam berkenaan Perhimpunan Agung MCA ke-59, beliau menyimpulkan:
“Perhimpunan Agung MCA telah memaku keranda mereka kerana bagi kebanyakkan rakyat Malaysia, MCA tidak lagi relevan, begitu juga Gerakan, MIC dan juga UMNO. Kematian parti berasaskan kaum ini mungkin ada hikmahnya kerana kita memerlukan parti berbilang kaum untuk maju di dalam dunia yang semakin global dan penuh persaingan.”
Ini merupakan cabaran terbesar buat semua rakyat Malaysia pada PRU13, sama ada kita mahu bergerak sebagai rakyat Malaysia dengan visi yang penuh harapan dan optimis bahawa Malaysia akan bersatu tanpa mengira kaum, agama, kelas atau kawasan sebagai jaminan terbaik supaya negara berdiri sama tinggi dengan negara-negara lain atau kita mahu membiarkan diri kita tersangkut di dalam politik yang korup dan kebencian antara agama dan antara kaum, melalui pembohongan dan penipuan yang hanya akan menjerumuskan negara kepada kemusnahan.
Pakatan Rakyat berjuang untuk meyatupadukan rakyat Malaysia bagi bergerak maju ke arah masa depan bersama sementara Barisan Nasional pula mahu terus berjuang dengan taktik “pecah dan perintah” di kalangan rakyat berbilang kaum dan agama supaya terus memperhambakan diri kepada kepentingan-kepentingan Umno-putra dan kroni-kroni mereka.
Biarlah parti-parti berasaskan kaum ini menemui ajal pada PRU13.
Pakatan Rakyat berjuang untuk masa depan manakala Barisan Nasional melambangkan masa lalu!