Bagaimana Najib, Nazri atau SPRM tahu sama ada wang “seludup” RM40 juta merupakan wang yang digubah secara haram atau tidak?

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak semalam menafikan bahawa terdapat sebarang cubaan menyeludup “sumbangan kepada Umno Sabah” yang berjumlah RM40 juta ke dalam negara.

Menjawab satu soalan dalam sidang media di ibu pejabat UMNO semalam, Najib mengatakan “Tidak” apabila ditanya apakah terdapat sebarang asas dalam dakwaan pembangkang bahawa dana yang diseludup atau digubah di Hong Kong dan beliau menambah: “Perkara itu sudah pun dijelaskan di Parlimen”.

Tidak terdapat sebarang penjelasan di Parlimen adakah matawang Singapura bernilai RM40 juta yang terdapat di dalam bagasi seorang pedagang balak Michael Chia sebelum menaiki kapal terbang ke Kuala Lumpur di Lapangan Terbang Antarabangsa Hong Kong pada 14 Ogos, 2008 dan ditahan kerana penyeludupan dan penggubahan wang haram itu sama ada “diseludup atau wang yang digubah”.

Apa yang diberitahu kepada Parlimen adalah Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Musa Aman telah dibersihkan daripada pertuduhan “rasuah” memandangkan RM40 juta itu hanyalah “sumbangan” kepada UMNO Sabah dan bukannya untuk kegunaan peribadi musa serta “elemen rasuah tidak dapat dibuktikan” – walaupun bertebaran di dalam laporan media bahawa ketika itu Chia memberitahu pihak berkuasa Hong Kong yang duit tersebut milik Musa.

Terdapat dua soalan di sini: pertama, adakah wang RM40 juta itu merupakan transaksi melibatkan kesalahan rasuah sama ada melibatkan Musa atau UMNO Sabah; dan kedua, adakah wang RM40 juta itu duit haram hasil rasuah dan/atau aktiviti-aktiviti haram sehinggakan perlu digubah secara haram atau diseludup masuk ke negara ini.

Nazri telah dilaporkan menarik balik apa yang beliau beritahu Parlimen pada hari Khamis dan menjelaskan bahawa SPRM yang membersihkan Musa daripada pertuduhan Rasuah bukannya Suruhanjaya Bebas Pencegahan Rasuah Hong Kong (ICAC) atas sebab wang RM40 juta itu adalah sumbangan kepada UMNO Sabah dan bukannya untuk kegunaan peribadi Musa.

Tetapi apabila Najib menafikan yang wang RM40 juta itu adalah duit “yang diseludup atau digubah”, menyatakan perkara itu telah pun dijelaskan di Parlimen, mengundang persoalan bagaimana Najib atau Nazri tahu bahawa wang bernilai RM40 juta dalam matawang Singapura yang menyebabkan Michael Chia ditangkap di Lapangan Terbang Antarabang HK pada 14 Ogos, 2008 kerana penyeludupan atau penggubahan wang haram BUKAN duit yang “diseludup atau digubah”?

Adakah SPRM juga telah membersihkan matawang Singapura bernilai RM40 juta milik Michael Chia sebagai wang bersih dan bukannya duit haram hasil rasuah atau penggubahan wang haram, dan jika begitu, SPRM sepatutnya menjelaskan bagaimana mereka sampai kepada penenumuan sedemikian atau berdepan risiko ditabalkan sebagai Suruhanjaya Bersubahat Rasuah Malaysia dan bukannya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia.

Lim Kit Siang Ketua Parlimen DAP & Ahli Parlimen Kawasan Ipoh Timur