Tindakan Najib untuk mengetepikan tiga isu besar dalam ucapan dasar Presiden UMNO mengesahkan perlunya perubahan politik pada PRU13

Rakyat Malaysia tidaklah terkejut apabila ucapan dasar Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Razak pada Perhimpunan Agung UMNO ke-66 pagi ini hanyalah laungan perang kepada pemimpin dan ahli UMNO untuk “berperang seperti Churchill” bagi mempertahankan kuasa politik UMNO di Putrajaya ketika Pilihan Raya Umum ke-13 yang saya jangka diadakan dalam tempoh empat bulan menjelang Mac tahun lepas.

Rakyat Malaysia tidaklah terkejut apabila pemimpin UMNO di dalam mana-mana Perhimpunan UMNO memberikan amaran bahawa kekalahan UMNO pada PRU13 akan menyebabkan orang Melayu di dalam negara ini kehilangan kuasa politik, walaupun rakyat Malaysia yang rasional boleh nampak ketempangan pembohongan mereka kerana yang kehilangan kuasa sekiranya Pakatan Rakyat yang terdiri daripada PKR, PAS dan DAP menggantikan Kerajaan Persekutuan UMNO/BN adalah pemimpin UMNO dan bukannya orang Melayu. Lagipun, ini bercanggahan dengan propaganda MCA bahawa orang Cina dan bukan Islam yang akan terjejas hak-hak politik, pendidikan, sosio-ekonomi dan kewarganegaraan sekiranya Pakatan Rakyat memerintah kelak.

Walaupun rakyat Malaysia marah, bukanlah di luar jangkaan mereka bahawa selain mengeksploitasi kaum dan agama pada Perhimpunan UMNO, pemimpin UMNO juga cuba menakut-nakutkan dengan memainkan isu 13 Mei – bukti bahawa pemimpin UMNO menghadapi “tekanan” yang hebat memandangkan mereka tahu PRU13 mengisyaratkan penamatnya penguasaan UMNO di Putrajaya meskipun pemimpin UMNO cuba menyatakan dengan berani yang UMNO/BN pasti akan kembali berkuasa selepas PRU13, malah memperoleh semula dua pertiga majoriti.

Akan tetapi apa yang memeranjatkan rakyat Malaysia adalah betapa kurangnya visi Najib di dalam ucapan dasarnya berkenaan negara Malaysia yang bagaimana mahu beliau bina pada separuh masa kedua kenegaraan Malaysia – selain klise “negara berpendapatan tinggi”.

Tidak ada yang lebih kosong dan hampa di dalam ucapan dasar Najib daripada laungan “1Malaysia” pada permulaan ucapannya, memandangkan konsep dan objektif 1Malaysia beliau untuk mewujudkan Malaysia yang mana setiap rakyatnya merasakan diri mereka sebagai rakyat Malaysia dahulu dan kemudianya barulah kaum, agama, kawasan dan status sosio-ekonomi merupakan satu kegagalan besar berbanding slogan-slogan Najib yang lain – sehingga slogan itu menjadi berulang-ulang, dikomersialkan dan murahan sekadar untuk memenangi undi bagi UMNO/BN pada PRU13.

Tindakan Najib untuk mengetepikan tiga isu besar di dalam ucapan dasarnya mengesahkan betapa perlunya perubahan politik pada PRU13 bagi membawa pembangunan nasional ke tahap seterusnya.

Tiga isu besar yang diketepikan Najib adalah:

  • Mengumumkan tiada toleransi terhadap rasuah dan komitmen penuh untuk membanteras rasuah dan menegakkan integriti baik di dalam UMNO mahupun di dalam negara.

  • Membuktikan keikhlasan Najib terhadap konsep 1Malaysia dengan mengumumkan bahawa Ketuanan Rakyat Malaysia dan bukannya Ketuanan Melayu adalah objektif UMNO.

  • Menunjukkan sifat demokratik dan kesetiaan pada objektif untuk menjadikan Malaysia “demokrasi terbaik dunia” dengan menyatakan kesanggupan UMNO untuk menghormati hak pengundi memilih kerajaan yang mereka mahu dan memberi jaminan penuh peralihan kuasa yang aman kepada Pakatan Rakyat sekiranya itulah keputusan pengundi pada PRU13.

Adakah Najib akan memasukkan semula ketiga-tiga perkara yang diketepikan itu pada ucapannya di penutup Perhimpunan Agung UMNO?

Lim Kit Siang Ketua Parlimen DAP & Ahli Parlimen Kawasan Ipoh Timur