Perhimpunan Agung UMNO melakonkan semula 'drama' tahun lalu: Siapa berbohong - Najib/Muhyiddin, Chua Soi Lek atau ketiga-tiganya?
Perhimpunan Agung UMNO ke-66 sedang berlangsung dengan rancaknya tetapi perhimpunan itu hanyalah lakonan semula 'drama' Perhimpunan Agung UMNO ke-65 tahun lalu.
Pada penghujung Perhimpunan Agung UMNO ke-65 Disember tahun lalu, saya lontarkan persoalan: 'Siapa berbohong - Najib/Muhyiddin atau Chua Soi Lek? Atau ketiga-tiganya?'
Walaupun Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak hanya akan menyampaikan amanat Presiden UMNO esok dan ucapan penggulungannya pada hari Jumaat, seseorang tidak perlu menjadi ahli nujum untuk meramal bahawa adalah sesuai bagi bertanyakan soalan yang sama pada penghujung Perhimpunan Agung UMNO ke-66.
Timbalan Perdana Menteri yang juga Timbalan Presiden UMNO, Tan Sri Muhyiddin Yassin, telah pun memulakan lakonan semula 'drama' tahun lepas yang membuatkan kita bertanya 'Siapa berbohong - Najib/Muhyiddin atau Chua Soi Lek? Atau ketiga-tiganya?'
Ketika Perasmian Persidangan Pemuda, Puteri dan Wanita malam semalam Muhyiddin mengatakan matlamat Negara Islam PAS sebagai 'bermimpi di siang hari'.
Akan tetapi ini betul-betul bercanggahan dengan amaran Persiden MCA Datuk Seri Dr. Chua Soi Lek kepada orang Cina dan bukan Islam di seluruh negara bahawa agenda Negara Islam PAS pati terlaksana sekiranya Pakatan Rakyat memenangi Putrajaya pada pilihan raya umum ke-13!
Inilah yang mengesahkan pandangan saya bahawa perbezaan penting di antara Pakatan Rakyat dan Barisan Nasional adalah perikatan Pakatan Rakyat mengamalkan politik 'Bersatu dan Perintah' yang membezakan dengan tradisi dan amalan politik 'Pecah dan Perintah' UMNO/BN yang memecahbelahkan rakyat Malaysia melalui garis kaum dan agama bukannya mempersatukan.
Melalui politik pembohongan, penipuan dan momokan, parti UMNO/Barisan Nasional menyebarkan mesej yang berbeza dan bercanggah pada kelompok kaum dan agama yang berbeza, bagi menyemai benih-benih keraguan malah kebencian yang ternyata bertentangan dengan tugas pembangunan bangsa.
Dalam tempoh 48 jam terbukti Muhyiddin adalah merupakan sumpah-sumpah politik - dengan imej seorang yang sederhana pada malam Selasa sewaktu penutup Forum Antarabangsa 2012 berkenaan perperangan dan konflik bersempena Perhimpunan Agung UMNO ke-66, menyeru kepada 'kesederhanaan dan kesaksamaan kepada semua' tetapi bertukar kepada wajah perkauman 24 jam kemudian sewaktu merasmikan persidangan Pemuda, Puteri dan Wanita.
Rakyat Malaysia dapat melihat Muhyiddin tidak berlaku adil menyerang parti-parti Pakatan Rakyat, misalnya melabel DAP sebagai 'rasis' dan 'cauvanis' walhal pemimpin DAP secara terbuka menyatakan sokongan kepada konsep 1Malaysia yang mana rakyat Malaysia mestilah terlebih dahulu menganggap diri mereka rakyat Malaysia sebelum kaum, agama, kawasan dan status sosio-ekonomi sedangkan negara tidak pernah lupa Muhyiddin pernah mengisytiharkan dirinya 'Melayu dahulu, kemudian barulah rakyat Malaysia'!
Walaubagaimana pun, saya harus akui bahawa sehingga sekarang, Muhyiddin masih belum lagi mengatasi kerja nakalnya ketika Perhimpunan Agung UMNO tahun lepas sewaktu beliau mencipta sejarah sebagai satu-satunya Timbalan Perdana Menteri di dalam dunia yang terang-terangan menipu ketika memainkan isu perkauman apabila menuduh DAP sebagai anti-Melayu, anti-Islam dan anti-Raja-Raja Melayu, malah ke tahap menipu mengatakan agenda DAP adalah untuk mendirikan Republik.
Muhyiddin terus membisu apabila saya mencabarnya untuk membuktikan tuduhan-tuduhannya bahawa DAP mahu memansuhkan monarki berpelembagaan dan mendirikan republik.
Akan tetapi Perhimpunan Agung UMNO ke-66 masih diperingkat awal dan kita masih belum tahu pemimpin-pemimpin UMNO yang mana akan menyerlah dalam menjadikan DAP mangsa dengan segala macam pertuduhan dan hasutan yang tak berasas dan bersifat menipu terhadap DAP - kononnya DAP anti-Melayu, anti-Islam, anti-Raja-Raja Melayu dan 'agen mengkristiankan orang' bagi mendirikan 'Negara Kristian Malaysia'.
Najib selalu mengatakan bahawa UMNO mesti berubah atau UMNO akan diubah.
Adakah ucapan para pemimpin dan delegasi UMNO sewaktu Perhimpunan Agung UMNO ke-66 menunjukkan yang UMNO tidak dapat berubah dengan sendiri dan UMNO perlu diubah oleh para pengundi dengan memberikan UMNO peluang memainkan peranan sebagai Pembangkang di dalam Palimen Persekutuan selepas PRU13?