Kerajaan Malaysia sememangnya 'rosak' dan sebab itulah ia mesti 'dibaiki' pada PRU13
Pada hujung minggu, dalam ucapannya pada "Himpunan Barisan 1Malaysia" di Pusat Perdagangan Dunia Putra yang dianjurkan sebuah NGO yang ditaja oleh kerajaan, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak berkata:
"Kenapa nak baiki jika tidak ada yang rosak? Ia tidak rosak, malah jauh daripada rosak. Negara kita dicemburui oleh banyak negara lain."
Pada makan malam Himpunan Kebangkitan Rakyat di Kota Kinabalu pada Sabtu malam dan Perhimpunan Hijau Rakyat di Dataran Merdeka pagi ini yang merupakan penutup kepada protes berjalan kaki sejauh 300KM selama 14 hari dari Kuantan ke Kuala Lumpur, saya bertanyakan soalan adakah "kerajaan malaysia telah rosak dan perlu dibaiki?", dan ia disambut dengan gempita bahawa jawapannya adalah "perlu"!
Nasib baik, kerajaan Malaysia masih belum rosak sepenuhnya, maka sebab itulah ia perlu "dibaiki" segera sebelum tidak ada apa-apa yang boleh dilakukan lagi.
Terdapat senarai panjang mengapa kerajaan Malaysia yang diperintah oleh UMNO/BN selama 55 tahun telah "rosak" dan perlu "dibaiki", tetapi saya hanya akan merujuk kepada contoh-contoh berikut sahaja:
Badan kehakiman yang bebas dan kedaulatan hukum yang adil.
Malaysia masih belum memperoleh semula reputasi antarabangsa sebagai sebuah negara yang badan kehakimannya betul-betul bebas dan kedaulatan hukum yang adil.
Dua puluh empat tahun selepas serangan ke atas badan kehakiman pada 1988, hingga menyebabkan Ketua Hakim Negara Tun Salleh Abas dan dua hakim Mahkamah Agung, Tan Sri Wan Sulaiman dan Datuk George Seah dipecat, serta lebih daripada satu generasi hakim-hakim dicucuk hidung, keyakinan umum terhadap profesionalisme , kebebasan, kesaksamaan dan integriti badan kehakiman Malaysia masih belum dipulihkan.
Mempergunakan/Melemahkan institusi nasional yang utama.
Satu contoh besar "kerosakkan" kerajaan yang perlu "dibaiki" adalah tindakan mempergunakan/melemahkan kebebasan, kesaksamaan dan profesionalisme institusi-institusi negara yang utama, baik perkhidmatan awam, Jabatan Peguam Negara, Polis, Suruhanjaya Pilihan Raya atau Suruhanjaya Pencegahan Rasuah.
Sistem pendidikan terbaik dunia.
Timbalan perdana Menteri dan Menteri Pendidikan Tan Sri Muhyidin Yassin memperkatakan tentang memiliki sistem pendidikan terbaik dunia. Tetapi ini merupakan janji Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak 17 tahun lalu ketika beliau adalah Menteri Pendidikan dan memperkenalkan Akta Pendidikan 1996 untuk menggantikan Akta Pendidikan 1961.
Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025 bagaimanapun mengakui kegagalan Akta Pendidikan 1996 untuk memastikan Malaysia memiliki sistem pendidikan terbaik, berdasarkan jurang prestasi dan pencapaian pelajar sistem pendidikan Malaysia dengan negara lain.
Ketika Malaysia pertama kali menyertai Trends in International Mathematics and Science Study (TIMSS) pada 1999, mata purata pelajarnya adalah lebih tinggi daripada purata antarabangsa untuk Matematik dan Sains. Menjelang 2007, pada terbitan pusingan terkakhir keputusan, prestasi sistem Malaysia telah jatuh di bawah purata antarabangsa untuk Matematik dan Sains dengan kejatuhan yang setara pada kedudukannya. Secara kritisnya, 18% dan 20% pelajar Malaysia gagal untuk mencapai tahap kefasihan minimum untuk Matematik dan Sains pada 2007, dua atau empat kali ganda peningkatan berbanding 7% dan 5% pada 2003.
Keputusan untuk Programme for International Student Assessment (PISA) pada 2009 juga tidak menggalakkan, dengan Malaysia berada pada kedudukan tiga di bawah daripada 74 negara-negara yang menyertainya, di bawah purata antarabangsa dan OECD.
Satu perbandingan terhadap mata-mata itu menunjukkan pencapaian seseorang yang berusia 15 tahun di Singapura, Korea Selatan, Hong Kong dan Shanghai menunjukkan seolah-seolah mereka telah melalui tiga atau empat tahun lebih sesi persekolahan berbanding seorang yang berusia 15 tahun di Malaysia.
Antara universiti terunggul dunia.
Pada tahun enam puluhan, Universiti Malaya dikenali sebagai salah satu universiti terunggul dunia. Hari ini, kita terkial-kial cuba untuk memastikan satu universiti Malaysia diiktiraf sebagai salah satu daripada terunggul dunia untuk membaiki persepsi dan realiti bahawa "pendidikan terbaik hanya boleh diperolehi di luar negara".
Pencapaian ekonomi dan daya saing
Malaysia jatuh empat tempat dari 21 ke 25 daripada 144 negara dalam Laporan Daya Saing Global 2012-2013 Forum Ekonomi Dunia. Tetapi apa yang lebih membimbangkan adalah negara ini semakin tewas kepada banyak lagi negara walaupun negara ini merupakan negara yang paling membangun di Asia selepas Jepun apabila kita memperoleh kemerdekaan pada 1957, mengatasi Korea Selatan, Taiwan, Singapura dan Hong Kong akan tetapi kini berdepan risiko ditewaskan negara seperti Thailand, Vietnam malah Indonesia.
Jenayah dan keselamatan manusia serta harta semakin meruncing
Meskipun terdapat dakwaan bahawa Malaysia adalah negara paling selamat dalam rantau ini dan kebimbangan terhadap jenayah hanyalah masalah persepsi, hakikatnya kejadian jenayah semakin meningkat, kurangnya keselamatan peribadi dan harta benda telah menjadi masalah besar yang bukan sahaja melibatkan rakyat Malaysia tetapi juga pelabur dan pelancong.
Akibatnya, jenayah dan kebimbangan terhadap jenayah telah menjadi masalah besar dalam negara yang mana perkara ini belum lagi diberi tumpuan oleh pihak berkuasa secara serius.
Masalah rasuah paling teruk berbanding Perdana Menteri sebelumnya
Meskipun GTP dan NKRA meletakkan keutamaan membanteras rasuah, hari ini di bawah pemerintahan Datuk Seri Najib Razak rasuah masih dalam keadaan yang teruk berbanding mana-mana Perdana Menteri sebelumnya, sebagaimana yang dijelaskan dalam Indeks Persepsi Rasuah (CPI) Transparency International sejak 1995.
Malaysia berada pada kedudukan ke-23 daripada 41 negara pada 1995, tetapi telah jatuh ke tempat ke-60 daripada 183 negara pada 2011 dengan mata terendah 4.3 - berbeza dengan negara lain yang bertambah baik mata dan kedudukan mereka sama ada Asia Tenggara, Asia Pasifik atau negara-negara di dalam Pertubuhan Persidangan Islam (OIC).
Dua juta rakyat Malaysia yang bijak pandai berpindah ke luar negara sejak empat dekad lalu. "manusia secara kronik dan bertserusan meninggalkan negara" adalah tanda-tanda negara yang gagal. Akan terdapat perpindahan baru di kalangan rakyat Malaysia yang bijak pandai ke luar negara seiranya rakyat Malaysia gagal "membaiki" kerajaan yang "rosak" pada PRU13.
Hormat terhadap hak asasi manusia dan warisan alam sekitar/ekologi
Keengganan Perdana Menteri atau sesiapa sahaja daripada Barisan Nasional untuk terlibat dengan Himpunan Hijau di Dataran Merdeka pagi ini pada penutup kepada protes berjalan kaki sejauh 300KM selama 14 hari dari Kuantan ke Kuala Lumpur untuk menolak Lynas, menegaskan berterusannya pembangunan dan projek berbahaya seperti perlombongan emas di Bukit Koman, Pahang, menara elektrik di Rawang, Selangor, rojek Pembangunan Bersepadu Penapisan Minyak dan Petrokimia (RAPID) di Penggerang, Johor adalah bukti kukuh bahawa kerajaan telah "rosak" dan perlu "dibaiki".
Pilihan Raya bersih dan adil.
Adakah pemimpin Umno/BN bersedia untuk berjanji tidak akan melakukan kempen pilihan raya yang paling jijik pada PRU13 yang bakal menjelang?
Najib mengatakan "Malaysia dicemburui oleh banyak negara"!
Apakah yang boleh dibanggakan Malaysia adakah kita "dicemburui" oleh "negara gagal" antarabangsa seperti Somalia, Congo, Sudan, Chad, Zimbabwe, Afghanistan atau Haiti.
Malaysia hanya boleh berbangga sekiranya kita "dicemburui" negara membangun seperti negara Scandinavian, negara maju di Eropah atau negara lain seperti Australia, New Zealand, Amerika Syarikat dan Canada.
Najib mengatakan perubahan kerajaan adalah tidak perlu memandangkan kerajaan BN bersedia untuk berubah.
Biar Najib membuktikan kerajaan Umno/BN masih mampu untuk melakukan "perubahan besar" dengan memenuhi tiga cabaran ini dalam Amanat Presiden UMNO lewat minggu ini, untuk menunjukkan kerajaan tidaklah "rosak" hingga perlu "dibaiki", iaitu:
Pertama, isytiharkan yang rasuah adalah masalah nombor satu dalam UMNO dan negara serta perkenalkan Sistem Penguatkuasaan Automatik untuk membanteras rasuah besar dengan memastikan pemimpin politik yang memiliki kekayaan yang luar biasa dan tidak akauntabel dikira sebagai rasuah menurut undang-undang dan kekayaan yang diperoleh cara salah itu dirampas negara melainkan yang tertuduh boleh membuktikan kekayaan itu daripada hasil yang sah di mahkamah;
Kedua, buktikan keikhlasan Perdana Menteri terhadap konsep dan slogan 1Malaysia yang mana setiap rakyat Malaysia mendahulukan kedudukannya sebagai rakyat Malaysia dahulu dan kemudian barulah kaum, agama, status sosio-ekonomi dan kawasan dengan mengisytiharkan Ketuanan Rakyat Malaysia adalah objektif UMNO dan bukannya ketuanan Melayu; dan
Ketiga, tunjukkan sifat demokratik dan kesetiaan kepada objektif menjadikan Malaysia "demokrasi terbaik dunia" dengan mengisytiharkan UMNO menghormati hak pengundi untuk memilih mana-mana kerajaan yang mereka mahu dan komitmen penuh akan diberikan untuk memastikan peralihan kuasa berlaku dengan aman kepada Pakatan Rakyat sekiranya itulah kehendak para pengundi pada pilihan raya umum ke-13.