Sama ada Najib suka atau tidak, ‘countdown’ telah bermula untuk PRU13
Hampir dua tahun Malaysia telah menanti Pilihan Raya Umum ke-13 tetapi Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak sedang berlengah-lengah kerana beliau masih mencari masa yang paling sesuai untuk membubarkan Parlimen. Bukanlah kerana UMNO dan Barisan Nasional, tetapi untuk memastikan beliau dapat terus menghuni Sri Perdana selepas pilihan raya.
Sama ada Najib suka atau tidak, telah bermulanya ‘countdown’ untuk PRU13 memandangkan Parlimen ke-12 yang dipilih ketika tsunami politik 8 Mac 2008 hayatnya berbaki kurang daripada enam bulan sebelum ia terbubar secara automatik diikuti dengan “ibu segala pilihan raya” di Malaysia.
Hanya tinggal empat bulan lagi jika kita mengambil kira tarikh hari membuang undi pada 8 Mac 2008.
Walau bagaimanapun, Perkara 55 (3) menyatakan bahawa “Melainkan jika dibubarkan terlebih dahulu, Parlimen hendaklah terus berjalan selama lima tahun dari tarikh mesyuarat pertamanya dan selepas itu adalah terbubar”, tempoh buat Parlimen ke-12 hanya akan tamat pada 27 April 2013 kerana mesyuarat pertamanya diadakan pada 28 April 2008.
Najib telah pun mencipta dua “sejarah” – pertama, dengan menjadi Perdana Menteri paling lama tanpa mandat pilihanrayanya sendiri, jika dibandingkan dengan semua Perdana Menteri sebelumnya termasuklah bapanya, Tun Razak, dan begitu juga dengan tiga Perdana Menteri lain iaitu Tun Hussein, Tun Mahathir dan Tun Abdullah.
“Sejarah” keduanya pula adalah menjadi Perdana Menteri untuk Parlimen paling lama menanti dibubarkan, yang kini sudah masuk ke enam bulan terakhir tempoh sepatutnya.
Persoalannya sama ada Najib akan mencapai yang “ketiga” dalam melakar sejarah Malaysia – iaitu menjadi Perdana Menteri Malaysia yang terakhir daripada UMNO.
Disebabkan oleh ketakutan mencipta “tiga” sejarah inilah Najib terus berubah-ubah fikiran tentang bilakah waktu yang terbaik untuknya memanggil Pilihan Raya ke-13 sejak dua tahun lepas.
Ini juga penyebab mengapa UMNO dan Barisan Nasional di bawah beliau menjadi begitu terdesak sehingga sanggup mengamalkan politik yang tidak bertanggungjawab dan tidak berprinsip, menyebarkan pembohongan dan penipuan yang saling bercanggah ketika berkempen kepada kaum yang berbeza, punca UMNO dan BN hilang kewibawaan dan legitimasi moral untuk terus memerintah Malaysia selepas 55 tahun. Kepada kaum Melayu, pemimpin-pemimpin dan propagandis UMNO menyebarkan pembohongan dan penipuan dalam bentuk amaran bahawa DAP sebenarnya yang akan berkuasa sekiranya Pakatan Rakyat membentuk kerajaan persekutuan pada PRU13, Melayu akan kehilangan kuasa politik dan menjadi “pengemis di tanah sendiri”, kedudukan Islam sebagai agama rasmi negara akan digantikan dengan negara Kristian, pemansuhan sistem Raja-Raja dan Malaysia menjadi Republik.
Pemimpin-pemimpin MCA pun tidaklah percaya kepada pembohongan, penipuan dan muslihat UMNO terhadap DAP – sebagai contoh bukan Melayu yang kehilangan kuasa politik tetapi pemimpin UMNO – namun pemimpin MCA terus membisu kerana itu semua memenuhi objektif tersembunyi mereka menakut-nakutkan pengundi Melayu supaya tidak mengundi Pakatan Rakyat.
Kepada kaum Cina, pemimpin dan propagandis MCA menyebarkan pembohongan dan penipuan dengan memberi amaran bahawa PAS yang akan berkuasa sekiranya Pakatan Rakyat membentuk kerajaan persekutuan pada PRU13, kaum Cina dan bukan Islam akan kehilangan lebih banyak lagi hak politik, ekonomi, pendidikan, agama dan kewarganegaraan.
Pemimpin-pemimpin UMNO sudah tentu tidak percaya kepada pembohongan, penipuan dan muslihat namun sekali lagi mereka terus membisu kerana itu semua sebahagian daripada objektif tersembunyi mereka menakut-nakutkan pengundi Cina dan bukan Islam supaya tidak mengundi Pakatan Rakyat.
Tidak diragukan lagi, UMNO serta parti komponen Barisan Nasional sedang menyelam dalam politik yang paling tidak bertanggungjawab, tidak berprinsip dan anti-nasional, cuba untuk terus memecahbelahkan Malaysia mengikut garis kaum dan agama semata-mata untuk keuntungan jangka pendek pilihan raya. Dan mereka tidak peduli akan keburukan besar semua itu terhadap pembinaan bangsa.
Itulah yang membezakan Pakatan Rakyat daripada Barisan Nasional. Kita tidak memberikan mesej berbeza kepada kelompok rakyat Malaysia yang berbeza, baik kaum, agama ataupun kawasan.
Pakatan Rakyat dan parti komponen yang terdiri daripada DAP, PKR dan PAS hanya mempunyai satu mesej kepada semua rakyat Malaysia – mengembalikan keadilan, kebebasan, demokrasi dan tadbir urus yang baik serta menjunjung juzuk-juzuk utama Perlembagaan Malaysia.
Dalam meneruskan peranan memecah belah dan memusnah untuk mengekalkan taktik “pecah dan perintah”, UMNO dan Barisan Nasional menyulam politik kebencian dan konflik dengan mesej-mesej yang saling bercanggah kepada kelompok ektik dan agama yang berbeza di negara ini.
Bagaimana Barisan Nasional dapat menyelaraskan pembohongan, penipuan dan tipu daya yang disebarkan UMNO di kalangan Melayu dengan pembohongan, penipuan dan tipu daya yang disebarkan MCA di kalangan Cina?
Inilah sebabnya mengapa UMNO dan Barisan Nasional sepatutnya dikalahkan dan diganti dengan Pakatan Rakyat sebagai kerajaan persekutuan baru ni Putrajaya ketika PRU13 nanti memandangkan UMNO dan Barisan Nasional telah hilang kredibiliti, legitimasi dan kewibawaan moral untuk menjadi kerajaan nasional untuk Malaysia yang majmuk apabila mereka bersedia untuk bertindak dengan kelakuan yang tidak bertanggungjawab dan anti-nasional.