Menuntut AES untuk memerangi “rasuah besar” di Malaysia
Semenjak Datuk Seri Najib Razak menjadi Perdana Menteri lebih kurang 44 bulan lalu, salah satu tema kegemaran beliau adalah “era kerajaan tahu segalanya telah berakhir.”
Akan tetapi itulah salah satu ikrar beliau yang seringkali dikhianati dan contoh terkini adalah kedegilan kerajaan Barisan Nasional untuk melaksanakan AES (Sistem Penguatkuasaan Automatik) untuk kesalahan trafik. Sekalipun semakin banyak, jelas dan lantang tuntutan untuk menangguhkan perlaksanaan AES sehingga terdapat kajian yang sewajarnya serta rundingan awam sepenuhnya. Bantahan ini dikukuhkan lagi dengan keputusan empat kerajaan negeri Pakatan Rakyat di Pulau Pinang, Selangor, Kedah dan Kelantan untuk menangguh perlaksanaan AES di negeri-negeri mereka.
Namun terdapat satu AES yang patut diperkenalkan dan dilaksanakan segera – dan ia adalah untuk melawan dan membasmi “rasuah besar” oleh pemimpin tertinggi politik dan kerajaan dengan menjadikan kekayaan yang luar biasa kesalahan rasuah secara automatik!
Tidak diragui lagi bahawa salah satu kegagalan Najib sebagai Perdana Menteri, Program Transformasi Kerajaan (GTP) dan Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) adalah berkenaan perang ke atas rasuah.
Inilah sebabnya mengapa Malaysia di bawah Najib lebih korup berbanding Perdana Menteri sebelumnya sebagaimana yang digambarkan pada kedudukan dan mata teruk Malaysia dalam Indeks Persepsi Rasuah (CPI) Transparency International (TI) bagi 2011jika dibandingkan dengan CPI TI sejak 17 tahun lalu.
Malaysia pernah berada pada kedudukan ke-23 pada 1995 dan mata terbaik 5.32 pada 1996, tetapi kita jatuh pada kedudukan ke-60 dengan mata terburuk 4.3 sewaktu negara-negara lain sama ada di dalam ASEAN, Asia-Pasifik atau OIC semakin bertambah baik dalam kempen-kempen menentang rasuah mereka.
Jika Najib serius memberi keutamaan untuk memerangi rasuah, beliau sepatutnya memperkenalkan dan melaksanakan AES bagi melawan “rasuah besar” dengan menjadikan kekayaan yang luar biasa sebagai kesalahan rasuah secara automatik, seperti mana yang boleh ditemui di Hong Kong dan negara-negara lain yang serius memerangi rasuah.
Malaysia baru-baru ini diingatkan yang meskipun terdapat cakap-cakap GTP dan NKRA memberikan keutamaan untuk memerangi rasuah, dan dana, pengambilan kakitangan serta kuasa ditambah buat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), hakikatnya tidak terdapat kesungguhan politik untuk memerangi rasuah terutamanya “rasuah besar” melibatkan mereka yang berjawatan besar di dalam kerajaan.
Contohnya, terdapat keraguan terhadap sikap cuai pentadbiran Najib cuba menutup skandal “sumbangan kepada UMNO Sabah” berjumlah RM40 juta yang digubah dan diseludup masuk ke negara ini dari Hong Kong oleh seorang ahli perniagaan balak Sabah Michael Chia empat tahun lalu.
Terdapat keraguan yang lebih besar apabila Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Nazri Aziz, yang secara terbuka membersihkan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Musa Aman dan Michael Chia dari kesalahan rasuah melibatkan skandal RM40 juta terus menyatakan tidak salah anaknya diberikan sebuah SUV Hummer mewah, dengan harga jualan lebih RM459,000 oleh Chia, menunjukkan percanggahan kepentingan yang serius.
Baru-baru ini, sebuah NGO berpengkalan di Switzerland Bruno Manser Fund (BMF) mengeluarkan satu laporan yang menggemparkan yang menganggarkan aset keluarga Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Taib Mahmud berjumlah US$21 bilion (RM64 bilion) dengan kekayaan Taib sendiri berjumlah US$15 bilion (RM46 bilion) namun tiada sebarang respon atau tindakan daripada SPRM terhadap pendedahan BMF ke atas kekayaan luar biasa Taib Mahmud selama tiga dekad sebagai Ketua Menteri Sarawak.
Sekiranya terdapat AES yang menjadikan kekayaan luar biasa sebagai kesalahan rasuah secara automatik, sudah tentu tindakan segera memerangi rasuah akan diambil ke atas kedua-dua kes Sabah dan Sarawak itu. Malaysia akan memulakan usaha membersihkan rasuah dan melaksanakan tadbir urus baik yang mana tidak bertoleransi terhadap rasuah mereka yang berada pada tampuk kekuasaan dan tertanamnya rasa “benci terhadap rasuah yang semula jadi”.
Adakah Najib bersedia untuk memperkenalkan AES dalam usaha memerangi rasuah dengan memperkenalkan undang-undang untuk menjadikan kesalahan rasuah secara automatik bagi pegawai awam yang memiliki kekayaan luar biasa, dengan mempunyai taraf hidup yang lebih tinggi atau memiliki sumber atau hartanah yang tidak seimbang dan tidak setimpal dengan gajinya, melainkan terdapat penjelasan memuaskan terhadap kekayaan yang luar biasa itu?