Kenyataan media oleh Lim Kit Siang in Kuala Lumpur pada hari Khamis, 24hb Mei 2012: Utusan Malaysia telah membuktikan bahawa UMNO/BN jelas menentang bermati-matian untuk menjalankan pilihanraya yang bersih, bebas dan adil Lidah rasmi UMNO, Utusan Malaysia, baru sahaja telah membuktikan bahawa UMNO/BN jelas bermati-matian menentang untuk menjalankan pilihanraya yang bersih, bebas dan adil, terutamanya untuk menunaikan salah satu tuntutan Bersih 2.0 untuk “Menghentikan Politik Kotor”. Seperti dalam “tweet” saya pagi tadi: “Apabila apa-apa DAP dipaparkan pada muka hadapan Utusan Malaysia, ianya pasti samada berita buruk/masalah politik kerana inilah gaya putarbelit yang digunakan oleh mereka”. “When DAP appears on Utusan Malaysia front-page, it is bad news/political trouble because distortion n unethical/dishonest journalism at play”. DAP sekali lagi dipaparkan di muka hadapan akhbar Utusan Malaysia hari ini, dengan tajuk utama: “Karpal perjuangkan PM bukan Melayu”, dengan memetik Pengerusi Kebangsaan DAP Karpal Singh: “Selagi saya hidup, saya akan berjuang untuk melihat seorang bukan Melayu menjadi Perdana Menteri”. Petikan ini adalah satu putar belit berkenaan dengan apa yang telah dikatakan oleh Karpal apabila memberitahu wartawan Utusan Malaysia yang dia hanya merujuk kepada Perlembagaan Malaysia yang menyatakan bahawa jawatan Perdana Menteri itu sebernarnya terbuka kepada semua warganegara Malaysia. Utusan Malaysia telah bertindak secara tidak beretika dan dengan tidak bertanggungjawab untuk mencipta isu yang tidak wujud (non-existing issue) dan “political mileage” dengan membuat dakwaan palsu bahawa agenda Karpal dan DAP adalah untuk melantik Perdana Menteri bukan Melayu yang akan dimasukkan dalam kempen untuk menakut-nakutkan orang ramai yang selama ini dipraktikkan oleh pemimpin-pemimpin yang tidak bertanggungjawab dan yang tidak beretika – seperti lemparan fitnah dari bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir minggu lepas bahawa sekiranya UMNO ditumpaskan dalam pilihanraya umum yang akan datang ini, Melayu akan kehilangan kuasa politik di Malaysia. Perlembagaan Malaysia menyatakan dengan jelas bahawa jawatan Perdana Menteri sememangnya terbuka kepada semua warga Malaysia tanpa mengira kaum, agama atau kawasan, tetapi kami menerima realiti politik selama saya dengan Karpal bergiat dalam bidang ini, Perdana Menteri Malaysia akan tetap seorang Melayu. Adakah Perdana Menteri dan Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Razak bersedia untuk memberi kerjasama penuh bersama Pakatan Rakyat untuk memberi jaminan yang rakyat Malaysia tidak akan menjadi saksi kepada pilihanraya umum paling kotor dalam sejarah tanahair ini – sekarang dan pada masa tempoh berkempen untuk pilihanraya umum yang akan datang? Adakah beliau bersedia untuk menghentikan kempen fitnah, pembohongan dan tohmahan yang paling “kotor” terhadap pemimpin Pakatan Rakyat untuk memulihkan kemuliaan dan adab dalam medan politik dan medan umum di Malaysia? *Lim Kit Siang, Ketua Parlimen DAP & Ahli Parlimen Kawasan Ipoh Timor
|