Ucapan oleh Lim Kit Siang dalam Bengkel Pilihanraya Sarawak di Kuching pada hari Sabtu, 19hb Mei 2012 pada jam 12 tengahari: Masa sememangnya menyebelahi Pakatan Rakyat – apa-apa kelewatan untuk mengadakan Pilihanraya Umum ke-13 akan memberi lebih peluang untuk memaparkan fitnah UMNO/BN Sehingga perhimpunan Bersih 3.0 yang diadakan pada 28 April, 2012, Pilihanraya Umum ke-13 dijangka dengan kepastian, akan diadakan pada bulan Jun tahun ini. Kepastian ini kini telah hilang kerana Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak telah diserang suatu episod dimana beliau tertegun-tegun dan berdolak-dalik melihat sokongan padu yang telah dipamerkan oleh rakyat Malaysia yang menuntut pilihanraya yang adil, bebas dan bersih, bukan sahaja di lokasi-lokasi yang berlainan di negara ini, bukan sahaja oleh anak-anak bangsa Malaysia seluruh dunia tetapi oleh ratusan ribu warga Malaysia tidak mengira kaum, agama, kelas, kawasan, jantina atau umur yang telah perhimpun secara aman di Kuala Lumpur untuk menyertai “duduk-bantah” Bersih 3.0 di Dataran Merdeka pada April 28. Ucapan Najib yang “lasak” dalam perhimpunan ulangtahun UMNO di Stadium Bukit Jalil pada 11 Mei dan dakwaan beliau lautan merah pada malam tersebut seolah-olah lebih besar daripada lautan kuning Bersih 3.0 pada April 28 sebenarnya mencerminkan keyakinan Najib yang semakain merosot dengan menetapkan bulan Jun untuk mengadakan pilihanraya. Dengan penderitaan Najib untuk memilih tarikh untuk membubarkan Parlimen supaya pilihanraya umum dapat diadakan, negara ini terus tercampak dalam “guessing game” samada Pilihanraya Umum Ke-13 masih akan diadakan dalam bulan Jun, atau dalam bulan Julai, September atau lebih lewat lagi. Ini jelas membayangkan realisasi Najib bahawa walaupun beliau dapat mengekalkan pungutan suara yang tinggi, kepopularan peribadinya tidak boleh diterjemahkan kepada sokongan undi UMNO dan Barisan Nasional dan pilihanraya umum yang akan datang adalah benar-benar satu perjuangan “hidup-mati” baginya, UMNO dan Barisan Nasional. Walaubagaimanapun, masa kini menyebelahi Pakatan Rakyat – apa-apa kelewatan untuk mengadakan Pilihanraya Umum ke-13 akan memberi lebih peluang untuk memaparkan fitnah UMNO/BN dan mendedahkan “pembohongan terbesar” dalam pimpinan 3 tahun Najib yang “Bersih 3.0 itu adalah Kotor” yang merupakan tajuk serong sebuah dokumentari 30 minit yang ditayangkan dalam saluran TV1 Ahad lepas dengan satu tujuan untuk meracuni pemikiran penonton mengenai Bersih 3.0. Tiada keraguan lagi, semenjak 28 April, beberapa pihak berkuasa sedang berusaha secara sistematik dan bersepadu untuk memburuk-burukkan dan memaparkan Bersih 3.0 sebagai satu konspirasi anti-nasionalisme, termasuklah percubaan untuk merampas kuasa dan menggulingkan kerajaan – satu dakwaan yang liar dan melulu yang tidak bertanggungjawab oleh Perdana Menteri sendiri. Ratusan ribu yang turun padang berhimpun secara aman di Kuala Lumpur pada 28 April sedar akan “pembohongan terbesar” pimpinan Najib adalah untuk memberi penggambaran Bersih 3.0 sebagai “Kotor”, anti-nasionalisme dan ketidaksetiaan apabila mereka berhimpun secara aman – dengan hanya ‘bersenjatakan’ dengan garam dan air berbotol untuk melindungi diri mereka dari tembakan gas pemedih mata dan semburan air – bukan untuk menggulingkan kerajaan tetapi untuk menyampaikan satu mesej yang jelas dan nyata kepada kerajaan Malaysia tanpa mengira kaum, agama, kelas, jantina mahupun umur bahawa apa yang dituntut adalah pilihanraya yang bersih untuk Malaysia yang bersih! Dalam akhbar hari ini, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein telah menyatakan bahawa rakyat Malaysia mestilah mengambil pandangan “dalam keadaan yang lebih rasional” bagi perhimpunan Bersih 3.0 – tetapi hakikatnya, Perdana Menteri, Menteri Dalam Negeri dan kerajaan UMNO/BNlah yang tidak mampu melihat perhimpunan Bersih 3.0 “dalam keadaan yang lebih rasional”, apabila mengeluarkan kenyataan fitnah bahawa perhimpunan tersebut dianjurkan untuk merampas kuasa dan menggulingkan kerajaan. Rakyat Malaysia yang tinggal di kawasan pedalaman yang bergantung kepada arus media perdana untuk maklumat berita dan informasi, malangnya akan menjadi mangsa kepada kempen fitnah dan pembohongan UMNO/Barisan Nasional, terutamanya mengenai perhimpunan Bersih 3.0. Tetapi, sekiranya pilihanraya umum tidak diadakan dalam bulan Jun atau Julai, bermaksud, anak-anak muda Melayu yang tinggal di bandar akan pulang ke kampung untuk berkongsi pengalaman dengan ibubapa dan saudara mara dan menceritakan apa yang sebenarnya berlaku pada 28 April – dan apabila kebenaran mengenai Bersih 3.0 mula digenggam dan difahami oleh rakyat Malaysia dari kawasan pedalaman yang mengundi, barulah negara ini benar-benar bersedia untuk memeluk perubahan ketara dari pilihanraya umum yang akan datang. *Lim Kit Siang, Ketua Parlimen DAP & Ahli Parlimen Kawasan Ipoh Timor
|