red arrow http://limkitsiang.com 

 red arrow http://blog.limkitsiang.com 

 

Kenyataan media oleh Lim Kit Siang di Kuala Lumpur pada hari Jumaat, 4hb Mei 2012: 

Bersih 3.0 adalah malapetaka perhubungan awam yang lebih teruk untuk Najib berbanding Bersih 2.0

Sepertimana yang telah saya katakan selepas perhimpunan Bersih 2.0 pada 9 Julai tahun lepas, memang terdapat banyak 'mangsa' terutamanya dari pihak Polis, petugas media arus perdana dan Suruhanjaya Pilihan Raya; tetapi tanpa sebarang keraguan, orang yang menanggung kekalahan paling teruk ialah Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Keadaan ini lebih kelihatan pasca “duduk bantah” Bersih 3.0 Sabtu lepas pada 28 April lalu, kerana Bersih 3.0 merupakan satu malapetaka perhubungan awam untuk Najib berbanding Bersih 2.0 – yang mana magnitud kerosakkan dan impaknya bertambah buruk apabila kisah ngeri kekejaman dan kezaliman Polis dibongkarkan oleh ratusan ribu rakyat Malaysia yang turun ke Kuala Lumpur dalam keadaan aman tetapi tidak pula dibenarkan pulang dan bersurai dalam keadaan aman.

Tiada seorang pun rakyat Malaysia yang waras dan boleh berfikir mungkin mudah terbeli dengan dakwaan Najib semalam bahawa penganjur Bersih 3.0 bertanggungjawab atas keganasan Sabtu lalu, khasnya amukan keganasan dan kekejaman Polis terhadap peserta perhimpunan aman dan petugas media.

Kuasa berlebihan, tidak bertempat dan tanpa berkecuali yang digunakan oleh polis, sama ada penembakan gas pemedih mata, tembakan meriam air mahupun keganasan dan kekejaman lainnya, tidak boleh dihalalkan atas alasan demonstran merempuh hadangan Dataran Merdeka Sabtu lepas.

Sebuah kritik terhadap salahtadbir kerajaan dalam menangani perhimpunan Bersih 2.0 untuk pilihanraya bebas dan adil pada Julai tahun lepas menggesa agar pentadbiran Najib untuk membuang mentaliti “Perang Dingin” dan memodenkan konsepnya dalam menangani isu keselamatan dalam negara dan isu-isu nasional lain.

Namun begitu, mentaliti “Perang Dingin” ini dilihat dominan dalam cara pengurusan salah acara “duduk bantah” Bersih 3.0 selepas 3 petang Sabtu lepas.

Pentadbiran Najib harus diingatkan semula bahawa “musuh”nya bukan lagi komunis yang mengangkat senjata dan berperang di dalam hutan belantara tetapi sebuah gerakan masyarakat yang terdiri daripada golongan pertengahan yang sudah celik politik yang turut berhubung dengan masyarakat dunia dan bergerak atas isu-isu yang sah berdasarkan Perlembagaan Persekutuan seperti pilihanraya yang bebas dan adil; hak asasi untuk berhimpun dan berpersatuan; pentadbiran berintegriti, baik, bersih dan tanpa rasuah!

Tentang salahurus kerajaan semasa perhimpunan Bersih 2.0, Najib mempunyai peluang untuk berhenti sejenak, berundur dan menyelamatkan situasi sebelum kerosakkan yang lebih parah berlaku – yang membawa kepada ucapan Hari Malaysia pada 16 September tentang Transformasi Politik besama janji-janji reformasi kebebasan demokrasi dan hak asasi.

Adakah Najib mampu merentasi kabut propaganda ciptaannya dan para penasihat beliau untuk menyedari bahawa Bersih 3.0 merupakan satu bencana yang lebih besar untuk beliau berbanding Bersih 2.0, yang turut membawa kepada “hari terburuk dalam sejarah media di Malaysia” di mana wartawan dan jurugambar sekaliannya telah protes pada Hari Kebebasan Media Sedunia semalam dengan memakai pakaian berwarna hitam bersama riben kuning. Dan profesionalisme polis mendapat lebam mata paling teruk dalam sejarah dengan amukkan keganasan dan kekejaman anggotanya terhadap peserta perhimpunan aman dan petugas media?

Adakah Najib menyedari bahawa Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishamudin Hussein, pernah menyatakan sebelum ini bahawa Bersih 3.0 bukanlah “ancaman keselamatan” kerana ia “tiada daya tarikan” dan juga amat pantas memuji “ketahanan diri dan profesionalisme polis” meski terpampang kes amukkan keganasan dan kekejaman polis paling teruk; beliau itu tidak boleh meyakinkan orang awam bahawa sebuah penyiasatan awam tanpa sebarang halangan akan menyiasat keganasan Bersih 3.0 tanpa mengira mangsa – sama ada polis, wartawan mahupun peserta perhimpunan aman?

Bolehkah Najib berhenti sejenak, melihat ke belakang, dan menyelamatkan keadaan sebelum lebih banyak binasa dilakukan terhadap pentadbirannya dan juga persepsi antarabangsa terhadap negara akibat salahurus yang lebih besar sewaktu “duduk bantah” Bersih 3.0 berbanding Bersih 2.0 Julai lalu?


*Lim Kit Siang, Ketua Parlimen DAP & Ahli Parlimen Kawasan Ipoh Timor

 

 

Valid HTML 4.0 Transitional