red arrow http://limkitsiang.com 

 red arrow http://blog.limkitsiang.com 

 

Kenyataan media oleh Lim Kit Siang di Kuala Lumpur pada hari Rabu, 13hb Jun 2012: 

Rahsia sudah terbongkar - Tuduhan bahawa perhimpunan Bersih 3.0 adalah satu percubaan untuk menggulingkan kerajaan oleh Pakatan Rakyat tidak benar sama sekali

Soalan ke-4 semasa sesi soal jawab di Parlimen hari ini merupakan tumpuan utama kepada Perdana Menteri untuk mengesahkan dakwaan beliau lebih sebulan yang lepas bahawa perhimpunan Bersih 3.0 adalah satu percubaan oleh pihak pembangkang untuk menggulingkan kerajaan.

Ahli-ahli Parlimen daripada Barisan Nasional dan Pakatan Rakyat telah mengharapkan satu kejutan besar akan pendedahan dakwaan serius oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak di Gua Musang pada 4 Mei yang telah menerima sokongan padu ketiga-tiga bekas Ketua Polis Negara, Tun Hanif Omar, Tan Sri Rahim Noor dan Tan Sri Musa Hassan bahawa perhimpunan Bersih 3.0 adalah satu percubaan untuk merampas kuasa dan menggulingkan kerajaan Najib oleh Pakatan Rakyat pada 28 April.

Jawapan yang diberikan oleh Menteri dalam Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Nazri Aziz bagi pihak Najib, bagaimanapun mengecewakan apabila beliau tidak boleh memberi sekelumit pun bukti untuk mengesahkan dakwaan Najib dan menyimpang sama sekali mengenai Bersih dan Pakatan Rakyat.

Nazri berhak dengan pandangannya yang diracuni prasangka mengenai Bersih 3.0 dan Pakatan Rakyat tetapi ianya tidak memberi justifikasi bahawa perhimpunan Bersih 3.0 pada 28 April adalah satu percubaan oleh pihak pembangkang untuk merampas kuasa dan menggulingkan kerajaan Barisan Nasional pada 28 April.

Semasa saya membidas Nazri dalam soalan tambahan saya, ‘adakah kerajaan Najib begitu lemah sehinggakan “garam dan air berbotol” (yang dibawa oleh peserta Bersih 3.0 untuk melindungi diri mereka daripada gas pemedih mata dan semburan air yang dicampur dengan bahan kimia) dianggap sebagai ‘senjata’ untuk menggulingkan kerajaan ini?

Nazri amat serius dalam jawapan beliau apabila berkata “Jangan memandang rendah kepada garam dan air berbotol” dengan menggunakan contoh kerajaan di negara Tunisia digulingkan oleh telefon bimbit apabila tidak mendapat sambutan orang ramai.

Rahsia sudah terbongkar – Perdana Menteri dan tiga bekas Ketua Polis Negara tiada apa-apa bukti sama sekali untuk memberi justifikasi terhadap dakwaan perhimpunan Bersih 3.0 adalah satu percubaan untuk menggulingkan kerajaan tetapi kerajaan Najib dilihat sebagai benar-benar takut akan “garam dan air berbotol” kerana khuatir akan menyebabkan kejatuhan satu kerajaan yang telah hilang sokongan daripada rakyatnya.

Cabaran terbesar buat Najib adalah untuk mengkaji apakah sebab mengapa meskipun dengan semua program transformasi beliau dalam pelbagai aspek dalam tempoh tiga tahun ini, beliau dilihat sebagai kurang popular.

Seperi yang telah saya katakan di Parlimen pagi tadi, sikap prasangka dan pengendalian yang buruk terhadap Bersih 3.0 dan kempen fitnah yang masih berlanjutan terhadap penganjur Bersih 3.0 dan Pakatan Rakyat merupakan satu malapetaka persepsi awam terhadap kerajaan berhubung dengan cara pengendalian perhimpuan Bersih 2.0 pada 9 Julai 2011.

Sebagai permulaan, Najib dan tiga bekas Ketua Polis Negara Hanif, Rahim dan Musa patut memohon maaf untuk dakwaan yang tidak berasas perkenaan dengan perhimpunan Bersih 3.0 percubaan pihak pembangkang untuk merampas kuasa dan menggulingkan kerajaan.

Keduanya, kerajaan harus membubarkan “panel penyiasatan bebas” Hanif yang menyiasat keganasan dalam perhimpunan Bersih 3.0 melainkan panel ini mempunyai agenda tersendiri dan terma rujukan – untuk mengeluarkan satu keputusan bahawa perhimpunan Bersih 3.0 merupakan satu percubaan oleh pihak pembangkang untuk menggulingkan kerajaan ini.

Sebaliknya, kerajaan harus memberi sokongan penuh kepada siasatan Suhakam terhadap Bersih 3.0 untuk mengkaji apa yang benar-benar telah berlaku pada 28 April yang diakhiri dengan keganasan yang telah mencemarkan satu peristiwa bersejarah dimana ratusan ribu rakyat Malaysia telah berhimpun secara aman tanpa mengira kaum, agama, kelas, kawasan, umur dan jantina dalam satu suara untuk menuntut pilihanraya yang bersih!


*Lim Kit Siang, Ketua Parlimen DAP & Ahli Parlimen Kawasan Ipoh Timor

 

 

Valid HTML 4.0 Transitional