Biar Kongres Kebangsaan DAP ke-16 hujung minggu ini menjadi pembuka bersejarah kepada kempen “Seratus Hari ke Putrajaya”
Semua mata tertumpu kepada Kongres Kebangsaan DAP ke-16 hujung minggu ini bukan sahaja kerana kongres kali ini merupakan kongres kebangsaan terakhir untuk parti politik di Malaysia tahun ini, tetapi juga kerana kongres kali ini melaungkan ketibaan seratus hari terakhir sebelum berlangsungnya Pilihan Raya Umum ke-13 yang sudah lama tertangguh/dinanti-nanti.
Biar Kongres Kebangsaan DAP ke-16 hujung minggu ini menjadi pembuka bersejarah kepada kempen “Seratus Hari ke Putrajaya” untuk rakyat Malaysia mencipta sejarah dan membawa Malaysia yang baru, benar-benar bersatu, demokratik dan makmur di bawah kerajaan Malaysia Pakatan Rakyat dalam Pilihan Raya ke-13.
Biar Kongres Kebangsaan DAP ke-16 menghantar mesej yang jelas dan terang kepada semua rakyat Malaysia seluruh negara – pemimpin, perwakilan dan ahli DAP mempunyai visi, iltizam, tanggungjawab dan disiplin yang kuat bagi mencapai misi dan objektif bersejarah kempen “Seratus Hari ke Putrajaya” untuk rakyat Malaysia, sama ada Melayu, Cina, India, Orang Asal, Kadazan atau Iban; sama ada umat Islam, penganut ajaran Buddha, Kristian, Hindu, Tao atau Sikh; sama ada di Semenanjung Malaysia, Sabah atau Sarawak, bersatu sebagai satu masyarakat bagi memulihkan kembali kehebatan Malaysia sebagai model masyarakat majmuk yang harmoni yang mana terdapatnya toleransi, kebebasan, keadilan, hak asasi manusia, kemapanan pembangunan, kemakmuran, tadbir urus yang baik dan kerajaan yang tidak korup dan bersih.
Di saat-saat menjelangnya Kongres Kebangsaan DAP ke-16 dan ketika kempen “Seratus Hari ke Putrajaya”, propagandis dan kaki putar UMNO/Barisan Nasional akan memacu lebih laju dengan politik bohong, kebencian dan menakut-nakutkan bukan sahaja untuk memburuk-burukkan DAP dan mencipta perpecahan besar dan kerosakan di dalam parti tetapi juga dalam perhubungan DAP dengan parti-parti Pakatan Rakyat, PKR dan PAS.
Matlamatnya adalah jelas. Meskipun terzahir keyakinan selepas Perhimpunan Agung UMNO ke-66 dengan Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Razak mengisytiharkan bahawa UMNO/BN akan mendapatkan semula dua pertiga majoriti Parlimen, namun keadaan masih lagi “50-50” dengan keputusan PRU13 dengan BN dan PR kedua-duanya mempunyai peluang yang sama – dengan perkembangan ketika “Seratus Hari ke Putrajaya” dan terutamanya kempen pilihan raya umum merupakan penentu arah kepada keputusan akhir.
Di dalam analisis akhir, keputusan berkemungkinan sama ada UMNO/BN memperoleh kembali majoriti dua pertiga sekurang-kurangnya 74 kerusi di dalam Dewan Rakyat, atau PR memenangi 125 kerusi dengan majoriti 28 kerusi mengatasi UMNO/BN di Parlimen.
Di dalam senario yang terkemudian dengan PR memenangi Putrajaya dengan 125 kerusi parlimen, kemungkinan pembahagian kerusi PR adalah PKR dengan 45 kerusi dan DAP serta PAS masing-masing 40 kerusi.
PR akan menjadi perikatan sama rata dengan tiada parti politik mengamalkan dominasi kuasa politik seperti mana di dalam perikatan Barisan Nasional.
Di dalam politik pembohongan, benci dan menakut-nakutkan, pemimpin serta propagandis UMNO dan MCA telah cuba menanam kebencian dan ketakutan dengan menyebarkan mesej yang tidak bertanggungjawab dan saling bercanggah kepada orang Melayu dan Cina sekiranya PR berjaya menawan Putrajaya, orang Melayu diberi amaran yang mereka akan ditindas memandangkan DAP akan menguasai kerajaan PR sementara orang Cina diberitahu mereka akan ditindas memandangkan PAS menguasai kerajaan PR.
Adalah satu penipuan bahawa pemimpin DAP takutkan pemimpin PAS dan satu penipuan juga bahawa pemimpin PAS takutkan pemimpin DAP. Juga satu penipuan bahawa orang Melayu atau orang Cina akan ditindas di bawah kerajaan PR, kerana parti-parti PR terdiri daripada PKR, PAS dan DAP komited berkhidmat demi kepentingan semua rakyat Malaysia tanpa mengira kaum, agama atau kawasan.
Hubungan kami di PR, bersama PKR, adalah sama setara yang mana kami menghormati pandangan dan perbezaan antara satu sama lain.
Ini amat berbeza dengan hubungan sebenar di dalam Barisan Nasional yang disebabkan penguasaan politik UMNO, hanya terdapat “satu jalan sahaja” dengan MCA, Gerakan, MIC, dan parti komponen Sabah dan Sarawak kerana semua takut dan tunduk kepada penguasaan politik UMNO!
Sama ada sejarah akan tercipta dalam PRU13 dengan perubahan kerajaan di Putrajaya bergantung kepada kemampuan Pakatan Rakyat untuk meyakinkan 13 juta pengundi Malaysia, terutamanya empat juta pengundi atas pagar terdiri daripada tiga juta pengundi baru dan satu juta daripada pilihan raya umum ke-12, juga bergantung kepada sama ada PR boleh dipercayai berpegang teguh dengan Kerangka Dasar Bersama PR, Buku Jingga dan deklarasi dasar bersama PR yang lain juga persetujuan asas bahawa mana-mana dasar baru atau perubahan dasar memerlukan kesepakatan ketiga-tiga parti PR.
Biar Kongres Kebangsaan DAP ke-16 melaungkan seruan terakhir bersiap sedia untuk PRU13 merealisasikan program dasar bersama Pakatan Rakyat untuk Malaysia yang baru, benar-benar bersatu, demokratik, adil dan makmur di bawah kerajaan Malaysia Pakatan Rakyat.