Tahun depan merupakan tahun petaka untuk CPI TI Malaysia
Untuk empat tahun berturut-turut, sepanjang tempoh Najib menjadi Perdana Menteri (2009-2012) telah mencatatkan kedudukan rendah di dalam Indeks Persepsi Rasuah (CPI) Transparency International (TI) 2012 berbanding dua Perdana Menteri sebelumnya iaitu Tun Mahathir dan Tun Abdullah.
Di tahun pertama CPI TI pada 1995, Malaysia berada pada kedudukan ke-23 daripada 41 negara, menjunam ke tempat ke-37 pada 2003 ketika Mahathir meletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri pada hujung tahun itu.
Meskipun berdegar-degar Abdullah dikaitkan dengan imej “Mr. Clean” dan”Hakim Bao Zaman Moden”, “pencegahan rasuah secara menyeluruh” dan “penahanan 18 ‘ikan besar”, CPI TI Malaysia masih berterusan menjunam dalam tempoh lima tahun Abdullah menjadi Perdana Menteri, jatuh ke tempat 47 pada tahun 2008.
Akan tetapi empat tahun Najib memegang jawatan Perdana Menteri memperlihatkan CPI TI Malaysia menjunam ke paras yang lebih rendah – No.56 pada tahun 2009 dan 2010, No. 60 pada 2011 dan No. 54 pada 2012.
Kesannya, sepanjang tempoh Najib memegang jawatan Perdana Menteri beliau mempunyai rekod buruk menjadi lebih korup berbanding lima Perdana Menteri sebelumya, memandangkan tiada yang menyatakan rasuah di bawah tiga Perdana Menteri awal iaitu Tunku Abdul Rahman, Tun Razak dan Tun Hussein lebih serius berbanding pengganti mereka.
Sehingga tahun tujuh puluhan, skandal terbesar di Parlimen adalah skandal RM65 juta Bank Rakyat yang saya bahaskan di Parlimen pada tahun 1979.
Sejak tahun lapan puluhan, skandal rasuah dan kewangan meningkat dengan mendadak daripada skandal RM2.5 bilion Bumiputra Malaysia Finance (BMF), skandal RM600 juta Maminco untuk menguasai pasaran timah dan skandal dkoperasi kewangan RM1.5 bilion pada 80-an, sehinggalah skandal pertukaran asing RM30 bilion Bank Negara dan skandal RM11 bilion Perwaja pada 90-an, dan terkini adalah skandal berbilion ringgit Scorpene dan perolehan pertahanan dan skandal RM12.5 bilion Zon Perdagangan Bebas Pelabuhan Kelang.
Dengan perubahan pada metodologi dalam CPI TI terbaru, tidak boleh membandingkan CPI TI 2012 dengan CPI TI sebelumnya sepanjang 17 tahun daripada 1995-2011.
Kesannya, tiada siapa berhak mendakwa Malaysia telah menunjukkan kemajuan pada usaha pencegahan rasuah daridapa CPI TI 2012, walaupun itulah apa yang pemimpin UMNO/BN sedang lakukan.
Walau bagaimanapun, seperti yang dianalisa lebih awal, apa yang tidak dapat dipertikaikan dan tidak dapat dinafikan adalah rasuah di bawah pemerintahan Najib selama empat tahun lebih teruk daripada tempoh 51 tahun Malaysia berada di bawah lima Perdana Menteri sebelum ini.
Apa yang sepatutnya menjadi kebimbangan besar seluruh rakyat adalah tahun depan merupakan tahun yang buruk buat Malaysia untuk CPI TI kerana tahun depan UMNO/BN tentu akan membelanjakan berbilion ringgit untuk cuba mengekalkan kuasa dalamPRU13 - membawa politik wang ke satu paras baru sejarah negara.
Saya tahu bahawa CPI 2012 merangkumi data terkumpul di antara Disember 2011 dan September 2012, yang bermakna kedudukan Malaysia akan lebih buruk jika rasuah yang didedahkan pada Oktober dan November 2012 juga diambil kira – terutamanya skandal “sumbangan politik kepada UMNO Sabah” RM40 juta melibatkan Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Musa Aman dan ahli perniagaan balak Sabah Michael Chia serta pendedahan kekayaan luar biasa yang berjumlah RM64 bilion keluarga Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Taib Mahmud (dan hampir RM46 untuk dirinya seorang) sepanjang 30 tahun menjadi Ketua Menteri Sarawak oleh yayasan Bruno Manser.
Pada perhimpunan Agung UMNO, sesetengah perwakilan UMNO Sabah telah memberitahu portal berita atas talian bahawa meskipun mereka menyokong sepenuhnya Musa Aman, mereka samar-samar tentang “sumbangan politik” RM40 juta kepada UMNO Sabah dan mereka menuntut Musa menjelaskan isu tersebut sendiri.
Dalam tempoh lima hari Perhimpunan Agung UMNO, Musa berjaya mengelak daripada media dan sehingga hari ini masih belum memberikan sebarang penjelasan memuaskan berkenaan “sumbangan politik kepada UMNO Sabah” sebanyak RM40 juta.
Bagaimanapun, terdapat juga perwakilan UMNO yang menolak kontroversi itu dengan alasan bahawa sumbangan RM40 juta adalah sedikit berbanding berjuta-juta yang UMNO taburkan ketika pilihan raya – dengan pendedahan seorang perwakilan UMNO Sabah bahawa di kawasan Putatan, UMNO akan berbelanja sehingga RM6 juta ketika pilihan raya.
Dengan 26 kawasan parlimen di Sabah (dan Labuan) dan dengan purata RM6 juta untuk setiap kawasan, jumlah belanja pilihan raya keseluruhannya akan melebihi RM150 juta pada peringkat perlimen – yang mana akan meningkat dua kali ganda apabila perbelanjaan pilihan raya di kawasan dewan undangan negeri diambil kira.
Dengan UMNO/BN membelanjakan sekurang-kurangnya RM300 juta di Sabah, dan RM300 juta di Sarawak, dan belanja pilihan raya yang sama untuk 165 kerusi Parlimen dan 441 kerusi Dewan Undangan Negeri dalam kesemua sebelas negeri di Semenanjung Malaysia, kita melihat UMNO/BN membelanjakan berbilion ringgit untuk kekal berkuasa dan mendapatkan semula majoriti dua pertiga parlimen pada peringkat persekutuan, untuk menawan semula negeri-negeri Pakatan Rakyat yang terdiri daripada Pulau Pinang, Kelantan, Selangor dan kedah serta mengekalkan pemerintahan tidak mengikut perlembagaan di Perak dan mengekalkan kuasa di negeri lain.
Berbilion ringgit yang dibelanjakan UMNO/BN pada PRU13 akan menjadi akar masalah rasuah yang berleluasa pada lima tahun akan datang selepas PRU13 sekiranya UMNO/BN kekal di Putrajaya, memandangkan mereka yang menyumbangkan berbilion ringgit kepada perbelanjaan pilihan raya UMNO/BN mengharapkan balasan selepas PRU13, sepuluh kali ganda kalau tidak seratus kali ganda pun.
Inilah sebabnya mengapa saya katakan tahun depan akan menjadi tahun petaka buat CPI TI Malaysia.
Tidak hairanlah mengapa kerajaan Najib tidak bersedia untuk menyambut Hari Anti-Rasuah Antarabangsa semalam yang telah ditentukan oleh Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu sejak sembilan tahun lalu!