Keutamaan yang sangat mendesak bagi SPRM dan Jabatan Peguam Negara untuk menjalankan kursus berkenaan rasuah buat pemimpin dan pegawai tinggi kerajaan
Dalam perjalanan ke Yong Peng dari Kuala Lumpur tadi, saya terbaca satu berita bahawa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Jabatan Peguam Negara akan mengadakan kursus pencegahan rasuah kepada ahli-ahli parlimen tahun depan.
Pengarah Pemandu, D Ravindran yang bertanggungjawab terhadap bahagian anti-rasuah bagi Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA), berkata:
“Pelan Transformasi Kerajaan 2.0 (GTP 2.0) sebenarnya mempunyai komitmen oleh Ketua Pesuruhjaya SPRM Datuk Abu Kassim Mohamad dan AG (Tan Sri Abdul Gani Patail), di mana kedua-duanya akan mengadakan kursus untuk penggubal undang-undang kita.”
“Jadi, untuk pertamakalinya, kita akan mendidik ahli parlimen kita mengenai apa yang boleh diambil atau apa yang tidak boleh diambil,”
Bercakap di luar pelancaran Indeks Persepsi Rasuah (CPI) Transparency International (TI) 2012, Ravindran mengatakan kursus tersebut akan turut memberikan maklumat tentang apa yang menjadikan sesuatu itu rasuah, dan tatakelakuan serta amalan terbaik untuk mengelakkannya.
SPRM dan Jabatan Peguam Negara tidak sepatutnya mensasarkan kumpulan yang salah memandangkan mereka sepatutnya tahu di mana keutamaan dalam membanteras rasuah, terutamanya rasuah besar.
Biar saya beritahu SPRM dan Jabatan Peguam Negara bahawa keutamaan yang mendesak dalam membanteras rasuah di Malaysia adalah untuk SPRM dan Jabatan Peguam Negara menjalankan kursus berkenaan rasuah buat Perdana Menteri, Timbalan Perdana Menteri, Menteri Kabinet, Menteri Besar dan Ketua Menteri terutamanya di Sarawak dan Sabah serta pegawai tinggi kerajaan termasuk Peguam Negara sendiri sekiranya Malaysia benar-benar serius membanteras “rasuah besar”.
Kelihatan ramai di kalangan pemimpin tinggi politik dan kerajaan itu tidak tahu “yang mana betul dan yang mana salah untuk diambil”, yang menyebabkan banyak dakwaan penyalahgunaan kuasa, penyelewengan dan rasuah terhadap mereka yang belum lagi diberikan jawapan memuaskan, baik skandal “sumbangan politik kepada UMNO Sabah” berjumlah RM40 juta melibatkan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Musa Aman atau kekayaan luar biasa keluarga Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Taib Mahmud berjumlah RM64 bilion selepas 30 tahun menjadi Ketua Menteri Sarawak sepertimana yang didakwa oleh Bruno Manser Foundation baru-baru ini.
Adakah SPRM dan Jabatan Peguam Negara berani untuk menjalankan kursus bukan sahaja tentang bagaimana untuk mengelakkan rasuah kepada Perdana Menteri, Timbalan Perdana Menteri, Menteri Kabinet, Menteri Besar dan Ketua Menteri terutamanya di Sarawak dan Sabah serta pegawai tinggi kerajaan, tetapi juga tentang tanggungjawab mereka untuk menjelaskan dengan lengkap dan memuaskan apabila dakwaan rasuah yang serius dibuat secara terbuka ke atas mereka, termasuklah membersihkan nama mereka dan memulihkan reputasi mereka di mahkamah?