Kenyataan media oleh Lim Kit Siang di Kuala Lumpur pada hari Khamis, 9hb Ogos 2012: Pendirian DAP bahawa Malaysia adalah negara secular dengan agama Islam sebagai agama rasmi tidak berbeza daripada pendirian tiga Perdana Menteri yang pertama Amat memeranjatkan untuk melihat akhbar rasmi UMNO, Utusan Malaysia yang masih kebal mengeluarkan kenyataan yang berbaur fitnah, hasutan dan berbisa dalam tajuk utama muka hadapan akhbarnya hari ini berikutan tajuk utama semalam “Haram sokong DAP” yang menjadi bukti pemimpin UMNO sudah hilang akal dan kian terdesak melihat kemampuan UMNO untuk menang dalam pilihanraya umum yang bersih dan bebas. Walaupun usaha Perdana Menteri Datu Seri Najib Tun Razak melalui polisi terkemuka 1Malaysianya untuk membentuk satu negara dimana semua rakyat Malaysia akan menganggap diri mereka sebagai warga Malaysia terlebih dahulu dan kemudian sahaja berdasarkan kaum, agama, negeri dan kelas, nampaknya pemimpin UMNO dan Barisan Nasional pula sedang berusaha untuk memecahbelahkan rakyat Malaysia melalui hasutan agama dan kaum. Sebagai contoh MCA telah bertungkus-lumus untuk menakut-nakutkan masyarakat Cina untuk menolak DAP diatas sebab DAP diperkudakan oleh PAS, pada masa yang sama UMNO menggesa pengundi Melayu untuk menolak PAS dan PKR kerana menjadi tunganggan DAP. Ianya jelas bahawa fitnah, kemunafikan dan pembohongan UMNO/BN tidak berhasil terutama sekali apabila semua rakyat Malaysia tanpa mengira kaum, agama, negeri, status, umur atau jantina sedang berarak memberi sokongan kepada Pakatan Rakyat yang mahukan perubahan untuk membentuk sebuah Malaysia yang progresif, berdemokrasi, adil, tidak korup, berdaya saing, bersih, maju dan makmur yang dimonopolikan oleh pemimpin UMNO dengan menggunakan taktik kotor dalam mengapi-apikan sentimen perkauman dan keagamaan dengan tajuk utama muka depan kempen “Haram sokong DAP” yang dipaparkan dalam dua hari yang berturut-turut ini. Semalam, “Haram sokong DAP” menjadi tajuk utama muka depan akhbar Utusan Malaysia. Hari ini pula tajuk utama muka depan adalah “Lagi Seruan Tolak DAP” dimana ulasan bahawa DAP adalah “kafir harbi” telahpun diberikan oleh seorang mufti negeri. Pendirian DAP tetap kukuh dan dari awal lagi, kami menerima dan menghormati peruntukan perlembagaan yang asas bahawa agama Islam adalah agama rasmi tetapi agama-agama lain boleh diamalkan dengan aman dan damai mana-mana di negara ini. Pendirian yang telah diambil oleh DAP bahawa negara Malaysia adalah negara sekular dengan agama Islam sebagai agam rasmi merupakan pendirian yang sama dan berkonsisten dengan yang diambil oleh tiga Perdana Menteri Malaysia yang pertama – Tunku Abdul Rahman, Tun Razak dan Tun Hussein. Adakah Utusan Malaysia, lidah rasmi UMNO kini memberi gambaran bahawa tiga Perdana Menteri Malaysia yang pertama adalah musuh Islam sehinggalah terma “kafir harbi” dipergunakan dalam kempen yang berbaur hasutan ini untuk memfitnah DAP sebagai anti-Islam? Biar saya mengingatkankepada pemimpin UMNO dan pengarang Utusan Malaysia apa yang telah dikatakan oleh Perdana Menteri Turki Recep Tayyip Erdogan tahun lepas di Kaherah: “Kepada semua rakyat Mesir yang menilai sekularisme sebagai satu uasaha untuk merobohkan institusi keagamaan atau penubuhan negeri yang kufur, anda sememangnya salah… Maksud sebenarnya adalah supaya semua agama dihormati bersama.” “To Egyptians who view secularism as removing religion from the state, or as an infidel state, I say you are mistaken…It means respect to all religions.” Kempen Utusan Malaysia terhadap DAP bukan sahaja bersifat menghasut dan mengapi-apikan ketegangan tetapi juga sebagai anti-nasional dan melakukan kesalahan menghasut apabila melemparkan dakwaan palsu bahawa DAP adalah musuh Islam dan pengengkaran Artikel 3 dalam Perlembagaan Persekutuan berhubung dengan agama Islam sebagai agama rasmi negara ini. Laporan polis telah dibuat di Pulau Pinang, Perak dan Negeri Sembilan hari ini terhadap Utusan Malaysia diatas kempen berbisa yang berunsur fitnah, khianat dan hasutan yang diarahkan untuk mengapi-apikan ketegangan dan sentiment perkauman serta menggugat perpaduan negara. Sekiranya barah ini dibiar merebak tanpa pengawasan, maka mangsa keadaan ini adalah polisi terkemuka 1Malaysia Najib dan sambutan Hari Kemerdekaan Ke-55/Hari Malaysia Ke-49 yang tidak akan membawa apa-apa maksud dan lebih teruk lagi, dicemari oleh puak-puak yang tidak bertanggungjawab. *Lim Kit Siang, DAP Parliamentary Leader & MP for Ipoh Timor
|