Aung San Suu Kyi mesti berhenti membisu, beliau mesti bersuara demi keadilan dan hak asasi manusia masyarakat Rohingya dan melindungi mereka daripada pembersihan etnik

Sepanjang tempoh 15 dan 21 tahun sepanjang 1989 ke 2010 ketika beliau merupakan salah seorang tahanan politik paling terkemuka di dunia, saya mengeluarkan kenyataan media yang tidak terkira banyaknya, menyokong pembebasannya serta perjuangannya demi demokrasi dan hak asasi manusia di Myanmar.

Adalah amat mengecewakan bagi saya untuk melihat beliau terus membisu dan tidak bersuara bagi menghentikan keganasan dan pelanggaran hak asasi manusia yang berlaku ke atas masyarakat minoriti Rohingnya di Myanmar.

Saya menyokong penuh seruan seorang lagi pemenang anugerah keamanan Nobel, Desmond Tutu yang kembali dari persaraan untuk mengutus surat yang begitu menyentuh hati kepada Aung San Suu Kyi, menyeru beliau untuk menghentikan keganasan yang sedang terjadi ke atas minoriti muslim Rohingnya di Myanmar.

Aktivis anti-apartheid berusia 85 tahun itu berkata:

“Saya sudah berusia, kian menua dan telah dengan rasminya bersara; namun terpaksa melanggar janji untuk terus bersunyi daripada hal ehwal awam akibat rasa sedih yang bersangatan.

“Bertahun lamanya, ada sekeping gambar saudari di atas meja saya sebagai ingatan terhadap kezaliman dan pengorbanan yang saudari lalui demi rasa kasih dan cinta kepada rakyat Myanmar. Saudari menjadi simbol kebenaran.

“Tampilnya saudari ke lapangan khalayak mendamaikan kebimbangan kami tentang keganasan ke atas anggota kaum Rohingnya. Tetapi apa yang disebut orang sebagai ‘pembersihan etnik’ dan ‘pembunuhan beramai-ramai’ oleh yang lainnya, tetap berterusan - dan akhir-akhir ini kian menjadi-jadi.

“Adalah tidak sepadan bagi seorang simbol kebenaran, mengetuai negara sedemikian.

“Sekiranya harga yang dibayar oleh saudari untuk duduk di pejabat paling tinggi di Myanmar ialah supaya terus membisu, saya kira harga itu adalah terlalu mahal.”

Aung San Suu Kyi mesti berhenti membisu, beliau mesti bersuara demi keadilan dan hak asasi manusia dan menghentikan pembersihan etnik Rohingya di Myanmar.

Lim Kit Siang Ketua Parlimen DAP & Ahli Parlimen Gelang Patah