Arul Kanda dan Shahrol Halmi tidak hadir perbicaraan PAC – beban terakhir skandal 1MDB; Kabinet mesti memecat seluruh Lembaga Pengarah 1MDB pada hari Rabu nanti, atau sebaliknya seluruh Kabinet mesti letak jawatan

Tindakan kedua-dua presiden merangkap pengarah eksekutif kumpulan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) Arul Kanda Kandasamy dan bekas CEO 1MDB Shahrol Halmi untuk tidak hadir perbicaraan Jawatankuasa Kira-kira Wang Awam esok adalah apa yang disebut pepatah Inggeris sebagai “last straw that breaks the camel’s back” dalam skandal RM42 bilion 1MDB.

Ia wajar menyedarkan rakyat Malaysia yang masih terlena dan merasakan seolah-olah tiada sebarang masalah dengan skandal 1MDB.

Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin telah memberitahu dalam sebuah rakaman ucapannya kepada empat Bahagian Umno minggu lalu bahawa skandal 1MDB adalah “last straw that breaks the camel’s back” dan akan menyebabkan kejatuhan kerajaan Umno/BN. Inilah sebabnya kenapa beliau mahu seluruh Lembaga Pengarah 1MDB dipecat, serta disiasat oleh pihak polis.

Rakaman ucapan Muhyiddin itu telah dimuatnaik ke YouTube menggunakan beberapa akaun dan telah ditonton hampir setengah juta kali dalam tempoh empat hari lalu.

Malangnya tiada tanda-tanda bahawa Lembaga Pengarah 1MDB akan dipecat atau disiasat oleh pihak polis.

Tidak dapat difikirkan bahawa Arul Kanda dan Shahrol tidak tahu bahawa ketidakhadiran mereka di perbicaraan PAC yang dijadual esok bagi menyelesaikan sama sekali semua persoalan dan keraguan tentang 1MDB, akan mengakibatkan kesan letupan dan bencana yang mengesahkan kesemua persoalan dan kebimbangan bahawa sememangnya ada sesuatu yang tidak kena dengan 1MDB.

Juga tidak dapat difikirkan bahawa Arul dan Shahrol berani ponteng daripada perbicaraan PAC tanpa lampu hijau daripada pihak berkuasa tertinggi, malah menjangkau kepada Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan, Datuk Seri Najib Razak yang kebetulan mempengerusikan Lembaga Penasihat 1MDB.

Saya bersetuju dengan pemimpin veteran Umno yang juga bekas Menteri Kewangan Tengku Razaleigh Hamzah bahawa seluruh anggota Kabinet mesti bertanggungjawab ke atas skandal 1MDB, memandangkan kesemua menteri mesti bertanggungjawab secara kolektif ke atasnya.

Muhyiddin telah berkata bahawa 1MDB ialah “last straw that breaks the camel’s back” yang akan mengakibatkan kejatuhan kerajaan Umno/BN.

Perbuatan mengelak perbicaraan PAC esok oleh Arul Kanda dan Shahrol Halmi adalah “last straw the breaks the camel’s back” dalam skandal 1MDB.

Pada hari Rabu nanti, Kabinet mesti memecat seluruh Lembaga Pengarah 1MDB, atau sebaliknya seluruh anggota Kabinet mesti meletakkan jawatan.

Lim Kit Siang Ketua Parlimen DAP & Ahli Parlimen Gelang Patah