Pelan tindakan lapan tahun ‘Selamatkan Pakatan Rakyat’ dengan memperkukuh Dasar Bersama yang telah berjaya mendapat sokongan 52% daripada jumlah pengundi

Pakatan Rakyat sudah tidak ada masa. Dalam masa dua minggu lagi, Pakatan Rakyat mungkin sahaja tidak wujud lagi.

Ini suatu perkembangan politik yang sangat lucu.

Umno dan Barisan Nasional (BN) sedang berada pada tahap paling lemah dalam sejarah, berpaut kepada kuasa sebagai kerajaan minoriti pertama dalam sejarah Malaysia.

Perdana Menteri yang juga Presiden Umno, Datuk Seri Najib Razak telah terpaksa menjelajah ke seluruh negara untuk meraih sokongan orang ramai lantaran skandal kewangan dan pecah belah di dalam Umno yang semakin menjadi-jadi, serta demi melengahkan kempen dahagi yang sedang dikepalai oleh mantan Perdana Menteri dan Presiden Umno yang paling lama, untuk mendesak Perdana Menteri meletakkan jawatan. Sementara itu Ahli-ahli Parlimen BN dari Sabah dan Sarawak serta parti-parti komponen mereka (yang bertanggungjawab meletakkan Najib di kerusi Perdana Menteri) sedang memantau dengan sangat teliti sama ada Najib akan mengkhianati kontrak sosial dan Perjanjian Malaysia 1963 hanya demi memastikan survival politiknya sendiri.

Ini merupakan peluang terbesar buat Pakatan Rakyat, yang ditubuhkan tujuh tahun lalu selepas tsunami politik PRU tahun 2008 yang berjaya menafikan majoriti dua-pertiga gabungan Umno/BN di Parlimen, serta menyaksikan tertubuhnya lima kerajaan Pakatan Rakyat di Pulau Pinang, Kedah, Perak, Selangor dan Kelantan.

Harapan dan jangkaan orang ramai untuk melihat perubahan Kerajaan Persekutuan dan juga seorang Perdana Menteri baru iaitu Datuk Seri Anwar Ibrahim selepas PRU ke-13 pada 5 Mei 2013 dikecewakan oleh sebuah sistem pilihanraya yang tidak demokratik, yang membolehkan Umno/BN merampas kemenangan daripada Pakatan Rakyat melalui bilangan majoriti kerusi Parlimen, walaupun mendapat undi minoriti dan terus berkuasa di Putrajaya.

Perubahan bersejarah Kerajaan Persekutuan Malaysia tertangguh daripada PRU13 ke PRU14, yang mesti berlangsung menjelang 2018.

Semua syarat bagi perubahan bersejarah ini sudah pun tersedia, cumanya pada ketika ini, Pakatan Rakyat sendiri berada di jurang kehancuran.

Hanya ada satu cara untuk menyelamatkan Pakatan Rakyat daripada hancur berkecai, lantaran ia merupakan manifestasi harapan terbaik rakyat Malaysia ke arah perubahan dan penambahbaikan kualiti hidup seluruh rakyat Malaysia.

Cara ini ialah dengan menjalankan suatu pelan tindakan lapan tahun bagi Pakatan Rakyat, dengan komitmen semula oleh ketiga-tiga parti DAP, PKR dan PAS untuk memperkukuh dua prinsip asas yang menjadi rahsia kejayaan Pakatan Rakyat sejak ia ditubuhkan – kepatuhan terhadap Dasar Bersama Pakatan Rakyat yang telah menjadi batu asas prinsip-prinsip bersama ketiga-tiga parti gabungan, dan prinsip konsensus dalam Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat, sebagai badan pembuat dasar tertinggi.

Seandainya kita bersetia kepada kedua-dua prinsip asas ini, saya yakin bahawa Pakatan Rakyat akan semakin kuat demi merealisasikan impian rakyat Malaysia ke arah perubahan dan keagungan, dan membawa Pakatan Rakyat ke Putrajaya bagi membentuk sebuah kerajaan Malaysia yang baru pada PRU ke-14 nanti.

Di saat dan ketika ini lah kebijaksanaan dan wawasan Almarhum Tok Guru Nik Aziz Nik Mat benar-benar dirindukan.

Tidak ada walau sekelumit sangsi bahawa sekiranya bekas Mursyidul-Am PAS yang juga mantan Menteri Besar Kelantan itu masih hidup, beliau tidak akan membenarkan Pakatan Rakyat berhadapan sebuah krisis antara hidup dan mati. Ini kerana beliau akan memastikan PAS terus yakin dan percaya kepada kedua-dua warga Islam dan bukan-Islam di Malaysia dengan agenda ‘PAS for all’ dan menolak sebarang usaha baru untuk menubuhkan Kerajaan Perpaduan antara PAS dan Umno.

Bekas pimpinan PAS telah secara terbuka telah menegaskan bahawa idea kerajaan UG ini telah mendapat restu Presiden PAS Datuk Seri Hadi Awang tetapi terhalang akibat tentangan keras Nik Aziz.

Para penyokong konsep UG ini telah mengambil peluang di atas kematian Nik Aziz, yakin bahawa mereka akan berjaya mencapai sesuatu daripada konspirasi politik tujuh tahun mereka, memandangkan komplot ini bermula sebaik sahaja selesai PRU ke-12 pada tahun 2008.

Komplot UG Umno sejak awal lagi telah melibatkan pimpinan Umno peringkat tertinggi – seperti Presiden Umno yang juga Perdana Menteri sekarang – dan mesyuarat peringkat tinggi turut diadakan dalam masa beberapa bulan selepas PRU ke-12 namun mereka nampaknya gagal.

Para konspirator UG mendapati bahwa halangan yang ada agak susah untuk ditembusi, terutamanya pada bantahan tegas dan berprinsip mantan Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Pimpinan PAS dan Pakatan Rakyat serta para penyokongnya pasti tidak akan melupakan kritikan pedas Nik Aziz pada bulan Jun 2009 apabila Mursyidul-Am itu secara terbuka memberitahu Timbalan Presiden PAS Nasharuddin Mat Isa untuk meninggalkan PAS dan menyertai Umno sekiranya beliau terus berdegil dengan agenda UG.

Ini sebabnya kenapa kita terkejut baru-baru ini apabila Hadi mendakwa bahawa cadangan kerajaan UG, ketika ia mula timbul selepas PRU tahun 2008, telah mendapat persetujuan Nik Aziz dan Anwar Ibrahim, serta dimaklumkan kepada DAP.

DAP tidak pernah dimaklumkan oleh Hadi tentang idea UG tersebut.

Presiden PKR Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail dan juga Setiausaha Agungnya Rafizi Ramli telah menafikan bahawa Anwar ada bersetuju dengan konsep UG.

Nik Aziz tidak mungkin telah bersetuju dengan konsep UG; jika tidak beliau pastinya tidak akan menegur Nasharuddin secara terbuka pada Jun 2009 dan menyuruhnya meletakkan jawatan sebagai Timbalan Presiden PAS dan juga Ahli Parlimen Bachok serta menyuruhnya menyertai Umno sekiranya beliau berdegil juga dengan agenda UG.

Malah sebenarnya amat tidak masuk akal bagi mana-mana parti Pakatan Rakyat untuk bersetuju dengan konsep UG kerana ia didasarkan konsep Kerajaan Perpaduan antara parti-parti politik Melayu, sedangkan Pakatan Rakyat memperjuangkan nasib semua rakyat Malaysia, tanpa mengira kaum, agama atau daerah.

Pakatan Rakyat pastinya sedang amat merindukan Nik Aziz.

Pertama sekali, di atas bantahan tegasnya terhadap idea UG yang menjadi penyebab konsep tersebut gagal ketika beliau masih hidup.

Kedua, Nik Aziz mampu melihat gambaran yang lebih besar terhadap keperluan untuk menyokong pelan tindakan lapan tahun Pakatan Rakyat bagi memastikan survival dan kejayaan Pakatan Rakyat dalam PRU ke-14.

Tiada sesiapa yang sangsi bahawa Nik Aziz sendiri mahu melihat pelaksanaan segera undang-undang hudud, namun beliau cukup realisitik untuk menyedari bahawa hudud bukanlah sebahagian daripada Dasar Bersama Pakatan Rakyat dan sebarang desakan tanpa konsensus untuk melaksanakannya akan mengakibatkan Pakatan Rakyat berpecah.

Nik Aziz pastinya memahami hujah-hujah bahawa pelaksanaan hudud bukanlah isu utama berbanding memastikan survival dan kejayaan Pakatan Rakyat, menewaskan Umno/BN serta menawan Kerajaan Persekutuan Putrajaya dalam PRU ke-14 bagi melaksanakan dasar-dasar yang akan memulihkan kebebasan, keadilan, maruah rakyat dan urustadbir yang baik di Malaysia.

Nik Aziz telah memberi sokongan hebat ke arah pembentukan dan pengukuhan Pakatan Rakyat, walaupun hudud bukanlah sebahagian daripada Dasar Bersama.

Ini sebabnya kenapa saya tidak percaya hujah bahawa tidak melaksanakan hudud adalah bertentangan dengan prinsip Islam, kerana ini bermakna Nik Aziz dan semua pimpinan serta ahli PAS telah mengkhianati prinsip Islam selama enam tahun sejak PRU ke-12 hingga ke-13 apabila isu pelaksanaan hudud tidak dikemukakan sebagai prinsip teras Pakatan Rakyat pada PRU ke-13.

Cadangan pelan tindakan lapan tahun komitmen oleh ketiga-tiga parti komponen Pakatan Rakyat untuk terus menjunjung dua prinsip asas iaitu Dasar Bersama dan mekanisme konsensus ialah supaya Pakatan Rakyat kembali ke asasnya, dan mengenepikan apa sahaja perbezaan sepanjang lapan tahun akan datang, sepertimana yang telah dilakukan sepanjang enam tahun pertama dahulu.

Bilangan lapan tahun ini adalah berasaskan tempoh tiga tahun menuju PRU ke-14 mulai sekarang, dan lima tahun pasca PRU ke-14; memandangkan Pakatan Rakyat mesti menyatakan komitmen kepada rakyat Malaysia berkaitan dasar-dasar yang ingin dilaksanakan sekiranya Pakatan Rakyat mendapatkan kuasa di Putrajaya selepas PRU ke-14.

Amat malang sekali saya tidak berkesempatan berbincang dengan Nik Aziz tentang cadangan pelan tindakan lapan tahun ini demi menyelamatkan Pakatan Rakyat .

Saya bagaimanapun yakin bahawa Nik Aziz, sebagai arkitek Pakatan Rakyat, yang sokongan kuatnya menjadi antara faktor kejayaan besar Pakatan Rakyat pada pilihanraya 2008 dan 2013, akan memberi sokongan penuh kepada pelan tindakan ini, walaupun beliau mungkin mempunyai sedikit keberatan tentang syarat supaya parti-parti komponen mengenepikan perbezaan dasar dan isu yang tidak disepakati dalam Dasar Bersama sehingga selepas 2023.

Soalnya sekarang ialah sama ada parti-parti komponen Pakatan Rakyat boleh bersetuju untuk menyelamatkan Pakatan Rakyat dengan pelan tindakan lapan tahun ini.

Lim Kit Siang Ketua Parlimen DAP & Ahli Parlimen Gelang Patah