Adakah Muhyiddin akan mencadangkan supaya Najib dipecat sebagai Perdana Menteri, sekiranya Najib lah yang bertanggungjawab penuh di sebalik kesemua keputusan besar lembaga pengarah 1MDB dalam skandal RM42 bilion ini?

Skandal RM42 bilion 1MDB dan Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin telah mencuri tumpuan daripada pembentangan Rancangan Malaysia ke-11 oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak apabila sebuah rakaman video ucapan Muhyiddin menyeru supaya lembaga pengarah 1MDB dipecat beredar di kalangan Ahli Parlimen sewaktu pembentangan RMK-11 oleh Najib di Palrimen pagi ini.

Selepas ucapan pembentangan RMK-11 Najib di Parlimen, Muhyiddin mempertahankan ucapannya dalam satu perjumpaan bersama pemimpin Umno Sabtu lalu, menggesa supaya lembaga pengarah 1MDB dipecat ekoran skandal RM42 bilion, jika tidak kerajaan Barisan Nasional akan rebah.

Rakaman tersebut menunjukkan Muhyiddin berkata seperti berikut, sebagai menasihati Perdana Menteri, sambil menambah bahawa beliau tidak menentang kepimpinan Najib.

Kata Muhyiddin dalam rakaman itu:

“Buanglah. CEO ni buang. Bukan buang sahaja, panggil polis siasat,”

“Saya beritahu perdana menteri, pecat semua ahli lembaga pengarah 1MDB. Dan kalau syarikat itu saya punya dan dilaporkan bahawa ada CEO pinjam sampai sepuluh bilion, lepas tu setiap bulan saya kena bayar interest RM100 dan RM200 juta, apa nak buat? Buanglah.”

Beliau berkata bahawa memecat lembaga pengarah 1MDB dapat memberi isyarat jelas bahawa Putrajaya memandang serius isu terbabit.

Dalam sidang medianya di Parlimen selepas pembentangan RMK-11 oleh Najib, Muhyiddin berkata bahawa beliau telah mengemukakan cadangan yang sama sebelum ini secara terbuka.

Beliau menegaskan bahawa pendapat tersebut adalah pendapat peribadi dan belum mendapat sebarang respon daripada Perdana Menteri mengenai hal tersebut.

Ini satu keadaan yang luarbiasa, di mana seorang Timbalan Perdana Menteri bertegas mahukan Lembaga Pengarah 1MDB dipecat dan disiasat polis, memandangkan tidak ada masa untuk menunggu Ketua Audit Negara ataupun Jawatankuasa Kira-kira Wang Awam apabila didepani skandal kewangan terbesar dalam sejarah negara; tetapi ia sekadar pandangan peribadi.

Adakah Muhyiddin telah menyatakan pendiriannya mengenai memecat Lembaga Pengarah 1MDB dengan jelas dalam Kabinet, dan bila pula beliau akan memutuskan untuk meletakkan jawatan sebagai Timbalan Perdana Menteri kecuali jika Lembaga Pengarah 1MDB dipecat dan pihak polis menyiasat skandal tersebut?

Selanjutnya, adakah Muhyiddin akan mencadangkan supaya Najib dipecat sebagai Perdana Menteri, sekiranya Najib lah yang bertanggungjawab penuh di sebalik kesemua keputusan besar lembaga pengarah 1MDB dalam skandal RM42 bilion ini?

Apakah pendirian majoriti anggota Menteri Kabinet – adakah mereka bersetuju dengan Muhyiddin dan menyatakan pendirian peribadi bahawa Lembaga Pengarah 1MDB mesti dipecat tetapi mengelak daripada menyatakan pendirian rasmi dalam Kabinet?

Keseluruhan situasi ini menjadi semakin lucu, namun hakikatnya ialah ia melibatkan sejumlah RM42 bilion wang pembayar cukai Malaysia.

Lim Kit Siang Ketua Parlimen DAP & Ahli Parlimen Gelang Patah