Adakah kemarahan terhadap Hadi dibenarkan, bukan sahaja menurut agama Islam tetapi juga agama-agama lain di dunia, kerana beliau tidak berlaku jujur, tidak ikhlas dan khianat apabila terus menerus melanggar Dasar Bersama Pakatan Rakyat serta prinsip konsensus Pakatan Rakyat?

Saya terkejut dan tidak sangka Presiden PAS Datuk Seri Hadi Awang sanggup menggunakan alasan agama untuk mengatakan bahwa adalah menjadi tanggungjawab umat Islam untuk menyatakan kemarahan terhadap DAP kerana membantah pelaksanaan hudud di Kelantan.

Ini sangat berbahaya, memecahbelah dan merupakan satu langkah ke belakang yang hanya akan melemahkan proses pembinaan negara bagi membentuk sebuah masyarakat yang bersatu dan harmonis, meski berbilang kaum, agama dan budaya.

Adakah kemarahan terhadap Hadi dibenarkan, bukan sahaja menurut agama Islam tetapi juga agama-agama lain di dunia, kerana tidak berlaku jujur, tidak ikhlas dan khianat apabila terus menerus melanggar Dasar Bersama Pakatan Rakyat serta prinsip konsensus Pakatan Rakyat – yang menjadi sebab kenapa Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat berada dalam krisis dan tidak bermesyuarat lebih tiga bulan memandangkan Hadi secara unilateral dan sewenang-wenangnya mengabaikan keputusan Majlis Pimpinan, atau membatalkan pandangan pimpinan PAS yang hadir ke mesyuarat mewakili beliau, merebut kuasa veto ke atas Majlis Pimpinan?

Perbuatan tidak jujur Hadi berlaku buat kali pertama sewaktu Pilihanraya Umum Mei 2013 apabila beliau memberi kuasa kepada calon-calon PAS untuk bertanding di enam kerusi Dewan Undangan Negeri yang telah diperuntukkan kepada PKR, mengakibatkan pertembungan tiga penjuru serta kekalahan bagi Pakatan Rakyat di kerusi-kerusi ini.

Kali kedua Hadi membatalkan keputusan Majlis Pimpinan ialah pada 17 Ogos 2014, yang dihadiri oleh pimpinan utama DAP, PKR dan PAS (walaupun Hadi tidak hadir) bahawa Presiden PKR Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail akan dilantik ke jawatan Menteri Besar Selangor.

Kali ketiga ialah apabila Hadi memungkiri komitmen beliau sendiri kepada Majlis Pimpinan dalam mesyuarat pada 8 Februari 2015, bahawa sebarang pindaan kepada Enakmen Jenayah Syariah Kelantan 1995 dan sebarang rang undang-undang persendirian di Parlimen berkenaan pelaksanaan hudud mestilah terlebih dahulu dibentangkan kepada Majlis Pimpinan.

Kali keempat pula ialah ketika Enakmen Jenayah Syariah Kelantan 2015 dibentang dan diluluskan oleh Dewan Undangan Negeri Kelantan pada 19 Mac, tanpa merujuk kepada Majlis Pimpinan; dan kali kelima ialah apabila Hadi sendiri mengemukakan usul rang undang-undang persendirian di Parlimen berkenaan pelaksanaan hudud dalam sidang Mac/April, juga tanpa merujuk kepada Majlis Pimpinan.

Kali keenam pula ialah kemunculan semula rang undang-undang persendirian Hadi dalam sidang Parlimen Mei/Jun, sekali lagi tanpa merujuk kepada Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat.

Saya menjangka Hadi akan sekali lagi dipermainkan oleh kepimpinan Umno dan rang undang-undang persendiriannya akan berhadapan nasib yang sama dalam sidang kali ini sebagaimana nasibnya dalam sidang sebelum ini, apabila ia tidak diberi keutamaan untuk dibahas mahupun diundi.

Adakah Hadi akan membangkitkan kemurkaan Tuhan terhadap Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan seluruh kepimpinan Umno/BN kerana sekali lagi mempermainkan beliau dalam hal rang undang-undang persendiriannya di Parlimen?

Pakatan Rakyat berhadapan krisis bukan kerana hudud, tetapi kerana sama ada PAS pimpinan Hadi bersedia untuk berpegang kepada janji dan kekal komited kepada Dasar Bersama Pakatan Rakyat serta prinsip konsensus yang telah dipersetujui oleh ketiga-tiga parti komponen DAP, PKR dan PAS.

Sekiranya Dasar Bersama Pakatan Rakyat serta prinsip konsensus boleh dimusnahkan oleh mana-mana satu daripada tiga parti komponen Pakatan, maka asas untuk meneruskan Pakatan Rakyat sudah tidak lagi wujud.

Cabaran terbesar yang dihadapi Pakatan Rakyat hari ini bukanlah hudud tetapi sama ada Dasar Bersama dan prinsip konsensus ini boleh diselamatkan dan dipulihkan, atau Pakatan Rakyat hanya akan tinggal sejarah!

Hadi tidak jujur apabila menyatakan bahawa DAP telah bersetuju dengan pelaksanaan hudud di Kelantan.

Kenyataan bersama Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat pada 28 September 2011 berkenaan hudud dengan jelas bahawa sementera ketiga-tiga parti DAP, PKR dan PAS telah ‘bersetuju untuk tidak bersetuju’ dengan apa yang telah terjadi pada masa dahulu, merujuk secara spesifik kepada Enakmen Jenayah Syariah kelantan 1993 dan Enakmen Jenayah Syariah Terengganu 2003 yang diluluskan sebelum pembentukan Pakatan Rakyat, ketiga-tiga parti bersetuju bahawa pada masa akan datang, semua dasar dan pelaksanaan yang melibatkan Pakatan Rakyat mestilah mendapatkan persetujuan ketiga-tiga parti,

Hadi menyedari kepentingan kenyataan bersama Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat berkenaan hudud pada 28 September 2011 yang menjelaskan ucapannya di Hulu Terengganu pada bulan Mei 2012, serta di beberapa tempat lagi sebelum PRU ke-13 di mana beliau menyebut bahawa hudud bukan keutamaan PAS dan Pakatan Rakyat, kerana ia hanya boleh dilaksanakan sekiranya syarat-syarat tertentu dipatuhi.

Sekiranya saya salah dan Hadi tidak mempunyai angka sokongan yang cukup di Parlimen untuk meluluskan rang undang-undang persendirian kerana dipermainkan Umno, maka perpaduan, survival dan integriti Persekutuan Malaysia menanggung risiko apabila negara berhadapan krisis terbesar sejak ia ditubuhkan pada 1963, dengan Sarawak dan Sabah kedua-dua rasa dikhianati apabila syarat asas pembentukan Persekutuan Malaysia – bahawa ia menjadi sebuah negara sekular – dicabuli.

Lim Kit Siang Ketua Parlimen DAP & Ahli Parlimen Gelang Patah