Pengundi Permatang Pauh mesti terus mengetuai perjuangan rakyat Malaysia untuk mencapai apa yang gagal dicapai dalam PRU ke-13 dua tahun lalu – membawa perubahan melalui Kerajaan Persekutuan baru yang Perdana Menterinya Anwar Ibrahim

Dua tahun lalu, impian dan harapan majoriti 11 juta pengundi rakyat Malaysia yang telah mengundi dalam PRU ke-13 bagi memilih sebuah Kerajaan Persekutuan yang baru, serta Perdana Menteri yang baru iaitu Datuk Seri Anwar Ibrahim, telah dikecewakan oleh sebuah sistem pilihanraya yang tidak demokratik dan berkesudahan dengan pelantikan Perdana Menteri ‘minoriti’ buat pertama kali dalam sejarah negara.

Pada hari Khamis, 7 Mei, di pilihanraya kecil Permatang Pauh, Pengundi Permatang Pauh mesti terus mengetuai perjuangan rakyat Malaysia untuk mencapai impian dan harapan yang gagal dicapai dalam PRU ke-13 dua tahun lalu – membawa perubahan melalui Kerajaan Persekutuan baru yang Perdana Menterinya Anwar Ibrahim pada PRU ke-14 nanti.

Malaysia tidak akan menjadi sebuah negara demokrasi yang normal kecuali jika kita mampu mewujudkan peralihan kuasa di peringkat persekutuan secara aman melalui proses pilihanraya, daripada menganggapnya sebagai satu masalah negara; dan tidak mungkin akan ada perubahan bermakna dari segi politik, sosio-ekonomi, pendidikan dan kesemua dasar pembinaan negara kecuali jika berlakunya perubahan politik.

Pergerakan ke arah perubahan mestilah berasaskan formula untuk menyatukan serta menggerakkan rakyat Malaysia, tanpa mengira kaum – Melayu, Cina, India, Kadazan dan Iban – dan tanpa mengira agama – Islam, Buddha, Kristian, Hindu, Sikh – kerana masa depan Malaysia hanya boleh dimajukan dengan kempen politik yang inklusif, yang mempunyai letak duduk bermaruah bagi semua rakyat Malaysia yang bernaung di bawah lembayung negara.

Pada hari penamaan calon sepuluh hari lalu, saya telah menampilkan lima isu utama bagi pilihanraya kecil ini, iaitu:

  1. Sebagai pungutan suara yang jelas dan tanpa sangsi bagi pihak 30 juta rakyat Malaysia, menentang penganiayaan berterusan terhadap Datuk Seri Anwar Ibrahim; justeru menjadi seruan lantang dan tegas supaya Anwar segera dibebaskan dari penjara.
  2. Menolak pelaksanaan cukai GST sejak 1 April.
  3. Mengecam skandal 1MDB yang bernilai RM42 bilion – menyatakan kekesalan ke atas kegagalan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak untuk turun ke Permatang Pauh bagi menjawab persoalan mengenai skandal tersebut yang telah dibangkitkan oleh pimpinan Pakatan Rakyat dan Umno, termasuk mantan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir.
  4. Mengundi untuk mengecam penindasan yang semakin menjadi-jadi di negara ini, terkini ialah penangkapan beramai-ramai selepas perhimpunan aman May Day anti-GST di Kuala Lumpur.
  5. Untuk ‘Selamatkan Malaysia’ daripada kegagalan dasar-dasar pembinaan negara Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak yang berkesudahan dengan polarisasi kaum dan agama yang paling buruk sepanjang tempoh perkhidmatan beliau.

Lima isu utama ini mesti menjadi pertimbangan paling penting bagi pengundi Permatang Pauh pada hari Khamis apabila mereka mengundi Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail di dalam pilihanraya kecil itu.

Lim Kit Siang Ketua Parlimen DAP & Ahli Parlimen Gelang Patah