Tiga kemungkinan di Parlimen bagi rang undang-undang persendirian Hadi berkenaan pelaksanaan hudud

Terdapat tiga kemungkinan di Parlimen bagi rang undang-undang persendirian Presiden PAS merangkap Ahli Parlimen Marang Datuk Seri Hadi Awang berkenaan pelaksanaan hudud yang telah dikemukakan pada 18 Mac, yang sama sekali bertentangan dengan keputusan Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat pada 8 Februari, yang turut dihadiri Hadi, bahawa sebarang rang undang-undang persendirian berkenaan pelaksanaan hdud mestilah terlebih dahulu dikemukakan kepada Majlis Pimpinan untuk dibincangkan.

Sehingga kini, meski selepas 12 hari, Ahli-ahli Parlimen DAP dan PKR masih belum melihat atau mempunyai sebarang gambaran tentang rang undang-undang persendirian Hadi.

Tiga senario ini adalah seperti berikut:

Pertama, rang undang-undang persendirian Hadi akan ditolak kerana bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan dan tidak muncul dalam aturan mesyuarat Parlimen pada 2 April 2015, selepas memenuhi syarat 14 hari bagi rang undang-undang persendirian sepertimana yang diperuntukkan oleh Peraturan Mesyuarat.

Kedua, rang undang-undang persendirian Hadi akan muncul dalam aturan mesyuarat bermula 2 April sehingga mesyuarat ditangguh pada 9 April, tetapi tidak akan diberi masa pembahasan berikutan urusan-urusan rasmi beberapa rang undang-undang kerajaan, terutamanya enam rang undang-undang berkaitan pengganas i.e. Rang undang-undang Pencegahan Keganasan 2015, Rang undang-undang Langkah-langkah Khas Menentang Keganasan di Luar Negara 2015, Rang undang-undang Kanun Tatacara Jenayah (Pindaan) 2015, Rang undang-undang Pencegahan Jenayah (2105), Rang undang-undang Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah khas) (Pindaan) 2015, dan Rang undang-undang Kanun Keseksaan (Pindaan) 2015 akan memakan masa Parlimen sehingga 9 April.

Ketiga, berlangsungnya perbahasan dan pengundian bagi rang undang-undang persendirian Hadi.

Kalau pun berlangsung perbahasan dan rang undang-undang persendirian Hadi diluluskan, soal keperlembagaan Enakmen Jenayah Syariah Kelantan 2015 yang diluluskan oleh Dewan Undangan Negeri Kelantan pada 19 Mac serta rang undang-undang persendirian Hadi walaupun diluluskan dengan majoriti mudah di Parlimen, masih boleh dicabar di mahkamah kerana jelas bahawa pindaan Perlembagaan yang memerlukan majoriti dua-pertiga diperlukan sebelum sebarang undang-undang hudud boleh dilaksanakan di mana-mana negeri.

Saya tidak tahu yang mana satu daripada tiga senario di atas akan berlaku terhadap RUU peribadi Hadi.

Timbalan Menteri Besar PAS Kelantan Datuk Mohamad Amar Nik Abdullah telah berkata beberapa hari lalu bahawa DAP boleh kehilangan Pulau Pinang dalam PRU akan datang sekiranya PAS tidak lagi menjadi sekutunya dalam Pakatan Rakyat.

Apa yang wajar diresahkan oleh pimpinan PAS ialah kemungkinan parti itu kehilangan semua kerusi Parlimen dan DUNnya di luar negeri-negeri utara hasil daripada penggubalan semula Enakmen Jenayah Syariah Kelantan 1993 pada tahun ini, serta RUU persendirian Presiden PAS Datuk Seri Hadi Awang berkenaan pelaksanaan undang-undang hudud.

PAS menang 21 kerusi pada PRU ke-13, tujuh daripadanya berada di luar kubu utara Kedah, Kelantan dan Terengganu. Dalam pilihanraya yang sama, PAS memenangi 85 kerusi DUN, 29 daripadanya di luar Perlis, Kedah, Kelantan dan Terengganu.

Ramai pengundi bukan-Islam telah memberikan sokongan mereka kepada calon-calon PAS pada PRU ke-13 atas kehendak mereka menewaskan BN, kepercayaan mereka terhadap janji-janji Pakatan Rakyat dalam Dasar Bersama dan Manifesto Pakatan Rakyat, serta semangat persaudaraan yang wujud di kalangan pimpinan Pakatan.

Dengan penggubalan semula Enakmen Jenayah Syariah Kelantan 1993 dan RUU persendirian Hadi, kepercayaan orang bukan-Islam terhadap PAS hampir sahaja lenyap dan PAS boleh kehilangan 30-40 peratus sokongan bukan-Islam terhadapnya dalam PRU akan datang.

Apakah kesan politik yang paling mungkin sekiranya mereka kehilangan 30-40% undi bukan-Islam?

Dalam senario pertama, PAS akan kehilangan 7 kerusi Parlimen dan 29 kerusi DUN sekiranya ia kehilangan 30% undi bukan-Islam.

PAS akan hampir sahaja lenyap di Selangor. Ia akan kehilangan kesemua kerusi Parlimen di Selangor (Hulu Langat, Shah Alam, Kota Raja, Sepang) dan 14 daripada 15 kerusi DUN di Selangor.

Ia akan kehilangan keempat-empat kerusi DUN di Johor. Ia akan kehilangan lima kerusi DUN di Perak. Ia akan kehilangan dua daripada 3 kerusi DUN di Pahang. Ia akan kehilangan 4 daripada 9 kerusi DUN di Kedah.

Dalam Senario 1, kehilangan 30% undi bukan-Islam, PAS hanya akan tersisa dengan kerusi-kerusi Parlimen dan DUN di kubu-kubu negeri Utaranya. Ia akan mengekalkan 14 kerusi Parlimen (9 di Kelantan, 4 di Terengganu dan 1 di Perak). Ia akan mengekalkan 54 kerusi DUN, 51 daripadanya di Kedah (5), Kelantan (32) dan Terengganu (14), dan hanya 3 kerusi DUN di luar negeri-negeri ini – 1 di Pahang, 1 di Pulau Pinang dan 1 di Selangor.

Dalam Senario 2 di mana PAS akan kehilangan 40% undi bukan-Islam, ia akan kehilangan 8 kerusi Parlimen (termasuk Parit Buntar di Perak) dan tambahan 5 kerusi DUN (1 di Kedah, 1 di Kelantan, 1 di Terengganu, 1 di Pahang dan 1 di Selangor). PAS hanya akan memiliki 13 kerusi Parlimen (9 di Kelantan dan 4 di Terengganu).

Adakah PAS mahu kembali ke situasi pada tahun 2004 apabila ia hanya mempunyai beberapa kerusi Parlimen dan DUN sahaja di Kedah, Kelantan dan Terengganu dan kehilangan tapak-tapak yang telah ia usahakan di Pulau Pinang, Perak, Selangor dan Johor?

Tetapi ini barangkali bukanlah nasib yang paling teruk buat PAS dalam PRU akan datang.

Penggubalan semula Enakmen Jenayah Syariah Kelantan 1993 dilihat oleh strategis PAS sebagai formula kemenangan bagi PAS untuk terus menjadi kerajaan di negeri Kelantan.

Tetapi wujud bantahan yang menuding jari ke arah kekalahan PAS di Terengganu pada PRU 2004 dan Kedah pada tahun 2013 sebagai isyarat amaran supaya PAS memperkemas dirinya dari segi tadbir urus sekiranya ia ingin terus menang di Kelantan.

Siapa yang betul?

Lim Kit Siang Ketua Parlimen DAP & Ahli Parlimen Gelang Patah