Jawatankuasa Keistimewaan patut memanggil Ketua Polis Negara berikutan pelanggaran pihak polis terhadap keistimewaan Parlimen dan menahan Nurul Izzah secara salah, serta memutuskan bagaimana pasukan polis boleh membersihkan dirinya setelah menghina institusi Parlimen

Saya berhasrat menampilkan beberapa isu yang menurut kata Ahli Parlimen veteran Gua Musang Tengku Razaleigh pada hari Isnin lalu, telah membawa negara ke satu persimpangan bersejarah, sambil situasi ekonomi dan politik negara kelihatan begitu beku dan berada di ambang krisis.

Pertamanya tangkapan oleh pihak polis terhadap dua orang Ahli Parlimen, iaitu Ahli Parlimen DAP Rasah Teo Kok Seong pada hari Sabtu dan Ahli Parlimen PKR Lembah Pantai Nurul Izzah Anwar pada hari Isnin, dan tahanan reman semalaman terhadap mereka di balai polis Jinjang. Dalam kes Kok Seong, pihak polis cuba mendapatkan perintah reman selama empat hari, tetapi majistret hanya membenarkan tambahan satu hari sahaja.

Pihak polis sudah sedia maklum bahawa Kok Seong dan Nurul akan hadir ke balai polis Dang Wangi, namun pada hari berkenaan pihak polis langsung tidak melakukan apa-apa untuk merakamkan percakapan mereka selepas kedua-duanya ditahan, bagi mewajarkan tahanan reman satu malam bagi kedua-duanya di balai polis Jinjang.

Ini tidak memperlihatkan kecekapan dan profesionalisme polis, tetapi sikap pendendam dan remeh pihak polis yang sangat buruk.

Tiada sesiapa yang menyalahkan anggota polis di Dang Wangi untuk salahguna kuasa yang begitu remeh dan penuh dendam, dan memperlihatkan rasa tidak hormat dan hina terhadap Kok Seong, Nurul malah kepada institusi Parlimen sendiri.

Tidak ada sesiapa yang percaya bahawa pegawai polis biasa mampu berkelakuan remeh dan penuh dendam terhadap Ahli-ahli Parlimen. Saya tidak percaya bahawa pegawai polis yang lebih senior mahu memperlihatkan sikap demikian yang tidak mencerminkan kecekapan dan profesionalisme pihak polis - dan penyalahgunaan kuasa serta rasa benci terhadap Ahli Parlimen, terutamanya dari Pakatan Rakyat, hanya boleh hadir daripada arahan seorang individu, iaitu Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar.

Khalid telah menyalahgunakan kuasa serta jawatannya sebagai Ketua Polis Negara untuk menjalankan peperangan yang tidak terarah terhadap pemimpin Pakatan Rakyat serta aktivis NGO yang tidak lain merupakan patriot yang menggunakan hak demokratik untuk menjadikan Malaysia sebuah negara yang lebih baik, sedangkan sepatutnya beliau mengisytiharkan perang terhadap kumpulan pengganas IS, yang sedang menggunakan Malaysia sebagai pusat untuk mengumpan rekrut yang mudah terpengaruh dengan tujuan keganasannya yang tidak berperikemanusiaan, yang dapat dilihat melalui tindakan memotong kepala, hukuman rejam secara terbuka serta pembunuhan beramai-ramai.

Namun penangkapan polis terhadap Nurul berikutan ucapannya di Parlimen ketika perbahasan Titah Diraja pada 10 Mac, bagi pihak ayahnya Datuk Seri Anwar Ibrahim, Ketua Pembangkang dan Ahli Parlimen Permatang Pauh, adalah lebih tercela lagi.

Adakah Ketua Polis Negara begitu jahil sehinggakan beliau tidak tahu bahawa Ahli Parlimen menikmati kekebalan parlimen untuk apa yang mereka ucapkan di dalam Dewan, kecuali empat perkara sensitif yang tidak boleh dipersoalkan lantaran Pindaan Perlembagaan pada tahun 1971 yang dikira menghasut; iaitu peruntukan kedaulatan Raja-raja Melayu, kewarganegaraan, Perkara 152 mengenai Bahasa Kebangsaan dan kedudukan bahasa-bahasa komuniti lain serta Perkara 153 mengenai kedudukan istimewa orang Melayu serta penduduk asal Sabah dan Sarawak dan kepentingan sah komuniti yang lainnya?

Adakah Ketua Polis Negara tidak tahu bahawa ucapan Nurul tidak menyentuh mana-mana daripada empat perkara ini, dan mempersoalkan keputusan Mahkamah Persekutuan dalam kes Liwat II Anwar Ibrahim langsung bukan menghasut?

Dengan menangkap Nurul Izzah atas alasan hasutan berkenaan apa yang beliau ucapkan tentang keputusan Mahkamah Persekutuan dalam kes Liwat II Anwar Ibrahim, pihak polis sendiri telah melanggar undang-undang - Seksyen 7 Akta Majlis Parlimen (Keistimewaan dan Kuasa) 1952, yang menyebut: “Tiada ahli boleh dikenakan apa-apa prosiding sivil atau jenayah, ditangkap, dipenjarakan, atau bertanggungan atas ganti rugi disebabkan oleh apa-apa perkara atau benda yang dikemukakan olehnya melalui petisyen, rang undang-undang, ketetapan, usul, atau selainnya atau dikatakan olehnya di hadapan Majlis atau mana-mana jawatankuasa.”

Pihak polis sepatutnya mendaulatkan undang-undang, tetapi dalam hal ini pihak polis telah melanggar undang-undang, iaitu Seksyen 7 Akta Majlis Parlimen (Keistimewaan dan Kuasa) 1952.

Dewan ini telah menubuhkan Jawatankuasa Keistimewaan di bawah Peraturan 80 untuk melindungi kuasa dan keistimewaan Dewan yang mulia ini, tetapi di sini kita dapati wujud satu kes pelanggaran keistimewaan Ahli Parlimen seperti yang termaktub dalam Seksyen 7 Akta Majlis Parlimen (Keistimewaan dan Kuasa) 1952.

Saya ingin bertanya apa yang mahu dilakukan oleh Speaker, yang juga Pengerusi Jawatankuasa Keistimewaan, bersama enam orang ahlinya, terhadap serangan ke atas keistimewaan Ahli-ahli Parlimen; dan saya meminta Perdana Menteri sebagai Ketua Dewan Rakyat sama ada beliau bercadang mengusulkan supaya Ketua Polis Negara dihadapkan kepada Jawatankuasa Keistimewaan kerana telah melanggar keistimewaan parlimen dalam kes tangkapan terhadap Nurul Izzah, supaya Jawatankuasa Keistimewaan dapat memanggil Ketua Polis Negara bagi menjelaskan pelanggaran pihak polis terhadap keistimewaan parlimen.

Saya masih ingat satu masa dahulu sekitar tahun 80’an atau 90’an, apabila pihak polis mahu menyiasat saya tentang apa yang telah saya ucapkan di Parlimen, saya beritahu mereka bahawa mereka telah melanggar undang-undang Akta Majlis Parlimen (Keistimewaan dan Kuasa) 1952, dan saya suruh mereka pulang dan dapatkan nasihat daripada Peguam Negara. Pegawai-pegawai polis itu pergi dan tidak kembali lagi.

Dalam hal ini, Jawatankuasa Keistimewaan patut memanggil Khalid untuk meminta Ketua Polis Negara itu menjelaskan kenapa pihak polis boleh melakukan sebuah pelanggaran terhadap keistimewaan parlimen dan menahan Nurul Izzah secara salah berikutan ucapannya di Parlimen, yang tidak menyentuh pun mana-mana empat isu sensitif, dan kemudian memutuskan bagaimana Ketua Polis Negara dapat membersihkan pasukan polis daripada kesalahan menghina Parlimen.

Kedua, serangan tidak terarah oleh Ketua Polis Negara terhadap pemimpin Pakatan Rakyat dan aktivis NGO di saat beliau sepatutnya mengisytiharkan perang terhadap kumpulan pengganas IS, yang sedang mengelirukan umat Islam Malaysia untuk menyertai mereka di Iraq dan Suria untuk melakukan kegiatan kejam seperti memenggal kepala, hukuman rejam secara terbuka dan pembunuhan beramai-ramai.

Pada hari Isnin, Wall Street Journal dalam rencananya bertajuk “Malaysia’s Creeping Authoritarianism” berikutan galaknya tindakan polis yang dilihat melalui tangkapan dua Ahli Parlimen, telah merujuk kepada 19 penyokong IS yang telah ditangkap kerana merancang serangan sekitar Kuala Lumpur tahun lalu.

Sehingga sekarang, rakyat Malaysia tidak dimaklumkan tentang kisah sebenarnya 19 orang penyokong IS yang telah diberkas kerana merancang serangan sekitar Kuala Lumpur tahun lalu, tetapi Ketua Polis Negara yang ber-twitter-ria nampaknya lebih asyik dengan ‘perangnya’ ke atas pimpinan Pakatan Rakyat dan aktivis NGO, yang hanya mahu melebarkan ruang demokrasi demi rakyat Malaysia supaya mencapai tahap negara maju pada tahun 2020; berbanding rancangan serangan serius kumpulan IS di Malaysia.

Awal bulan ini, pihak polis telah mengumumkan bahawa seorang penjawat awam yang dikatakan merupakan anggota IS paling senior di Malaysia bersama seorang suri rumah berusia 29 tahun yang telah merekrut seorang gadis berusia 14 tahun untuk menyertai pergerakan militan itu adalah antara tiga orang individu yang ditahan oleh Bukit Aman.

Penjawat awam berusia 39 tahun itu ditahan oleh Bahagian Anti Pengganas Cawangan Khas Bukit Aman di Kuala Lumpur manakala suri rumah tersebut diberkas di Muar.

Suspek ketiga, seorang peniaga berusia 22 tahun, turut ditahan di Perak pada waktu yang sama.

Penjawat awam tersebut, yang disifatkan oleh pihak polis sebagai ‘anggota senior IS yang mempunyai hubungan langsung dengan warga Malaysia di Syria’ dipercayai telah menyalahgunakan kedudukannya untuk merekrut anggota bagi memastikan rangkaian pengganas tempatan berjalan lancar.

Berita ini amat mengejutkan. Setakat mana senioriti penjawat awam yang ditangkap itu, dan siapakah pula pemimpin IS yang lebih senior di Malaysia?

Rakyat Malaysia berhak bertanya: Kenapa pihak polis terus tewas dalam usahanya membanteras kumpulan militan IS - Adakah IS telah berjaya membangunkan struktur kepimpinan di Malaysia dengan perekrut sepenuh masa untuk mencari laskar baru bagi menyertai kumpulan pengganas di Syria dan Iraq?

Nampaknya sementara Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar sibuk melawan bayang-bayang musuh dengan menyisir media sosial memberikan arahan melalui Twitter kepada anggota polis Unit Hasutannya untuk mengganggu dan menyiasat pemimpin Pakatan Rakyat dan aktivis NGO, beliau nampaknya membiarkan musuh-musuh nyata, pemimpin IS dan aktivisnya di Malaysia bebas merekrut laskar pengganas bagi melanjutkan aktiviti ganas IS di Syria dan Iraq.

Adakah pihak polis mengetahui bilangan rakyat Malaysia yang telah terlepas daripada pemantauan pihak polis dan meninggalkan negara untuk menyertai IS di Syria dan Iraq?

Pada bulan Julai tahun lalu, Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi telah memberi jaminan kepada rakyat Malaysia bahawa ancaman IS terkawal.

Beliau berkata bahawa kumpulan-kumpulan militan sedang cuba untuk berpadu tenaga membentuk pakatan pengganas namun mereka tidak akan berjaya di Malaysia kerana pihak berkuasa tidak akan membenarkan kumpulan-kumpulan ini bertapak di Malaysia.

Pada Ogos tahun lalu, pihak polis berkata bahawa antara Januari dan Jun mereka telah menahan 19 individu termasuk dua orang wanita kerana terlibat dalam aktiviti militan, dan bahawa sekurang-kurangnya 50 orang rakyat Malaysia dipercayai sedang berada di Syria, berperang bersama-sama pengganas IS.

Bagaimanapun, menjelang penghujung Januari tahun ini, sokongan bagi pengganas IS kian meningkat, dengan sejumlah 120 orang yang menyokong IS ditahan di penjara Tapah dan Bentong, dan terpaksa ditahan dalam sel khas bagi menghalang mereka daripada menyebarkan ideologi mereka dan melatih yang lain untuk menjadi pengganas. Pihak berkuasa percaya 67 orang rakyat Malaysia telah menyertai perjuangan IS di Syria dan Iraq.

Bulan lalu, Zahid ada memberi isyarat bahawa IS begitu tersusun di Malaysia sehinggakan ia boleh berkomplot untuk menculik hartawan dan melakukan rompakan bank bagi mendapatkan dana, dan kini pendedahan terbaru menunjukkan bahawa IS telah mendapat kelebihan baru dalam struktur dan organisasinya di Malaysia dengan penangkapan seorang penjawat awam yang merupakan seorang anggota senior IS.

Semua ini tanda-tanda kegagalan operasi polis untuk membanteras IS daripada menyebarkan jaringan pengganasnya di Malaysia.

Apa yang paling memalukan bagi seluruh rakyat Malaysia ialah kegagalan dan prestasi menyedihkan pasukan polis dalam memastikan keselamatan negara ini terjadi ketika Ketua Polis Negara sedang bersenang-senang hati bermain Twitter dan mengganggu pemimpin Pakatan Rakyat dan aktivis NGO yang sedang melaksanakan hak mereka untuk berhimpun dan memberikan pendapat secara aman, demokratik dan mematuhi undang-undang - sambil membiarkan sahaja mereka yang berpotensi menjadi pengganas; yang tidak ada masalah melibatkan diri dalam perbuatan memenggal kepala, menyalib dan merejam pesalah dengan batu secara terbuka.

Ketua Polis Negara seharusnya lebih profesional dan berhenti bermain Twitter serta mengganggu pemimpin Pakatan Rakyat, aktivis NGO malah kartunis seperti Zunar, dan menumpukan kepada ancaman keselamatan oleh IS di Malaysia.

Amat menyedihkan sekali apabila Zahid telah mengambil sikap bahawa Ahli Parlimen bukan sahaja perlu menerima tetapi menyokong cadangan Akta Pencegahan Pengganas (PoTA), “kecuali kalau mereka mahu melihat aktiviti pengganas berlaku di sini.”

Zahid tidak berhak menuntut kebebasan mutlak dalam menangani IS, dan beliau tidak patut meragui patriotisme mana-mana Ahli Parlimen atau rakyat Malaysia yang mungkin tidak bersetuju dengan cadangan PoTA sebagai cara paling berkesan untuk menangani ancaman keganasan IS.

Amat dikesalkan apabila walaupun Parlimen telah bersidang selama dua minggu, Ahli Parlimen dan orang awam belum menerima salinan rang undang-undang PoTA yang dicadangkan itu, mahupun rang undang-undang baru mengenai Pejuang Asing.

Menteri Dalam Negeri mungkin boleh mengambil mudah para Ahli Parlimen BN, tetapi beliau tidak boleh berharap Ahli Parlimen Pakatan Rakyat juga akan menyokong sahaja PoTA dan rang undang-undang Pejuang Asing itu secara buta tuli, tanpa mendapat taklimat penuh mengenai ancaman pengganas IS serta jaminan bahawa cadangan legislatif ini akan berkesan dalam menentang ancaman IS dan juga organisasi pengganas yang lain.

Apa yang wajar dilakukan oleh Parlimen hari ini ialah menubuhkan sebuah Jawatankuasa Pilihan Khas mengenai keganasan, yang bukan sahaja wajar memantau usaha-usaha polis untuk membanteras keganasan, tetapi juga membincangkan secara mendalam cadangan PoTA dan rang undang-undang Pejuang Asing tersebut dan memberikan laporan dan cadangannya sebelum kedua-dua rang undang-undang ini dibahas di Parlimen.

Ketiga, pada hari Isnin, Ahli Parlimen DAP Petaling Jaya Utara, Tony Pua, telah menulis di Twitter ketika sedang marah apabila mendapat berita penangkapan Nurul Izzah di bawah Akta Hasutan berikutan ucapannya di Parlimen minggu lalu, sedangkan beliau telah menepati temu janjinya untuk ke balai polis Dang Wangi bagi merakamkan kenyataannya berkenaan perhimpunan Kita Lawan di Kuala Lumpur pada 7 Mac.

Ini mengundang arahan twitter daripada Ketua Polis Negara berbunyi: "@PDRMsia akan panggil YB ini menjelaskan apa maksud beliau dgn 'Royal my foot'. Adakah ditujukan kepada Raja2 Melayu?"

Khalid merujuk kepada tweet Pua berbunyi "Bastards. Real bastards. Royal my foot".

Saya setuju bahawa tweet Pua itu buruk bunyinya, namun ia bukanlah satu jenayah. Adakah tweet Pua ditujukan kepada Raja-raja Melayu?

Tidak payah sebut pegawai polis, saya percaya majoriti murid sekolah dengan penguasaan bahasa Inggeris yang baik pun akan memberi jawapan yang jelas kepada Ketua Polis Negara bahawa tweet Pua tidak ditujukan kepada Raja-raja Melayu tetapi kepada Polis Diraja Malaysia.

Ada sesuatu yang tidak kena dengan sistem pendidikan di negara ini, terutamanya standard bahasa Inggeris di Malaysia yang kian jatuh, sehinggakan ketua polis pun boleh bertanya sama ada tweet ‘Royal my foot’ oleh Pua ditujukan kepada Raja-raja Melayu, sedangkan manusia dengan IQ sederhana pun sedar bahawa ia tidak ditujukan kepada Raja-raja Melayu.

Hasilnya, Ketua Polis Negara telah mengerahkan lebih ramai lagi pegawai polis dalam satu usaha sia-sia untuk menentukan sama ada tweet Pua itu ditujukan kepada Raja-raja Melayu, sedangkan pihak polis sepatutnya menumpukan kepada usaha menjadikan Malaysia selamat daripada jenayah dan ketakutan jenayah, dengan memastikan kadar jenayah sentiasa di tahap rendah dan terkawal, serta menumpaskan ancaman pengganas IS yang semakin merebak di negara ini.

Bila agaknya Ketua Polis Negara akan dapat memperbetulkan keutamaannya, iaitu untuk menjadikan rakyat Malaysia selamat daripada jenayah serta ketakutan terhadap jenayah?

Keempat, kita berhadapan tragedi di mana Menteri Dalam Negeri sendiri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi tidak dapat membetulkan jalan Ketua Polis Negara memandangkan beliau sendiri mempunyai masalah-masalah peribadi.

Kita masih lagi tidak hampir menemukan penyelesaian kepada misteri surat Zahid kepada FBI, untuk menjamin karakter seorang raja judi antarabangsa tanpa pengetahuan atau kebenaran pihak polis, Kementerian Luar, Kabinet mahupun Perdana Menteri.

Malah, seluruh episod ini menjadi bertambah kalut dengan satu lagi putar belit terbaru daripada Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Shahidan Kassim bahawa Kerajaan Persekutuan berpuas hati secara prinsip dengan penjelasan yang telah diberikan oleh Zahid mengenai suratnya kepada FBI tentang Paul Phua.

Negara dimaklumkan oleh Wisma Putra selepas mesyuarat Kabinet pada 14 Januari yang telah mendengar laporan daripada Zahid mengenai suratnya kepada FBI, bahawa Kabinet tidak menerima penjelasan Zahid, tetapi sekadar mendengarnya sahaja. Ini adalah penjelasan mengenai satu kenyataan sebelum itu oleh Menteri Luar, Datuk Anifah Aman bahawa Kabinet telah mendengar penjelasan Zahid dan bersetuju menerima penjelasan itu.

Shahidan kini telah muncul dengan versi ketiga pendirian Kabinet tentang surat Zahid kepada FBI. Mulanya, Kabinet pada 14 Januari telah mendengar penjelasan Zahid dan Kabinet telah menerima penjelasan itu, kemudian timbul pula klarfikasi pada hari yang sama bahawa Kabinet sekadar mendengar tetapi tidak menerima penjelasan Zahid.

Sekarang Shahidan berkata bahawa Kerajaan Persekutuan berpuas hati secara prinsip dengan penjelasan Zahid. Adakah Shahidan merujuk kepada Kabinet, jika ya, bila pula Kabinet bermesyuarat selepas 14 Januari untuk memutuskan bahawa ia berpuas hati secara prinsip dengan penjelasan Zahid? Jika ia bukan Kabinet, maka apakah ‘Kerajaan Persekutuan’ yang disebut oleh Shahidan?

Baru-baru ini, Zahid mengumumkan bahawa beliau mempunyai seberkas surat dan perjanjian yang pernah ditandatangani oleh Menteri Dalam Negeri sebelum beliau bersama Amerika Syarikat, yang hampir sama keadaannya dengan surat beliau kepada FBI untuk menjamin karakter seorang raja judi antarabangsa.

Ini sangat mengejutkan, terutamanya memandangkan dua pendahulunya, Datuk Seri Hishammuddin Hussein dan Tan Sri Syed Hamid Albar (Mac 2008 - Mei 2013) telah menafikan secara terbuka bahawa mereka pernah mengutus surat sokongan sedemikian secara unilateral kepada FBI.

Zahid pula bertegas bahawa Menteri Dalam Negeri sebelum beliau ada menulis kepada FBI sepertinya.

Adakah Zahid cuba mengatakan bahawa dua Menteri Dalam Negeri sebelum beliau telah berbohong kepada orang ramai?

Adakah kita mempunyai penipu sebagai menteri, dahulu dan sekarang?

Hal ini telah melangkaui garis perebutan kuasa dalaman sebuah parti, kerana ia kini turut melibatkan bukan sahaja keselamatan negara bahkan reputasi antarabangsa Malaysia juga.

Sekiranya Zahid merujuk salah satu Hishammuddin atau Syed Hamid Albar, maka hanya ada satu jalan penyelesaian - biarlah kebenaran diketahui dengan Zahid di satu pihak dan Hishammuddin bersama Syed Hamid Albar di pihak yang lain, sehingga salah satu pihak akhirnya akan terpaksa meninggalkan dunia politik.

Atau adakah Zahid merujuk kepada Menteri Dalam Negeri sebelum Hishammuddin dan Syed Hamid Albar?

Menteri-menteri Dalam Negeri sebelum Hishammuddin dan Syed Hamid adalah:: Datuk Seri Mohd Radzi Sheikh Ahmad (2006-2008), Datuk Azmi Khalid (2004 – 2006) dan Tun Abdullah Ahmad Badawi (1999 – 2004).

Atau haruskah kita pergi jauh lagi ke zaman Kementerian Dalam Negeri dipegang selama 13 tahun oleh seorang individu - Perdana Menteri keempat, Tun Dr Mahathir yang juga merupakan Menteri Dalam Negeri dari 1986 sehingga 1999.

Biarlah kita mengetahui kebenaran dari mulut Zahid sendiri, beserta enam Menteri Dalam Negeri sebelumnya, sehingga tiga dekad lampau pada tahun 1986.

Zahid telah membuat dakwaan yang mengejutkan mengenai surat dan perjanjian yang ditandatangani pendahulunya, terutama sekali selepas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Shahidan Kassim telah menambah kepada misteri ini dalam jawapan parlimennya kepada Ahli Parlimen DAP Segambut, Lim Lip Eng, dan enggan mendedahkan maklumat tentang raja judi Paul Phua, dan berkata bahawa ia merupakan sebuah rahsia besar di bawah Akta Rahsia Rasmi.

Sejak dipilih menjadi Ahli Parlimen pada tahun 1969, inilah kali pertama mana-mana menteri enggan mendedahkan maklumat di Parlimen dengan alasan ia sebuah rahsia besar di bawah OSA.

Apakah rahsia besar berkenaan projek keselamatan negara yang melibatkan Paul Phua ini, sedangkan maklumat tentang perolehan besar-besaran pun tidak pernah dinafikan dengan alasan ia ‘rahsia besar’ tetapi sekadar ‘rahsia’ di bawah OSA?

Namun, dengan kenyataan Zahid tentang surat dan perjanjian yang ditandatangani oleh Menteri Dalam Negeri sebelum ini dengan Amerika Syarikat akan mengakibatkan malu yang amat besar sekiranya didedahkan, hanya satu tindakan boleh dibuat demi kepentingan negara dan juga demi keadilan buat bekas-bekas Menteri Dalam Negeri daripada Mahathir sehinggalah Abdullah.

Saya menyeru Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak untuk menyahrahsiakan timbunan surat dan perjanjian yang telah ditandatangani bekas-bekas Menteri Dalam Negeri dengan Amerika Syarikat sepertimana surat Zahid kepada FBI untuk menjamin karakter seorang raja judi antarabangsa, dan supaya Perdana Menteri membentangkan satu Kertas Putih dan kenyataan menteri mengenai perkara ini di Parlimen.

Kelima, reputasi Malaysia sebagai sebuah negara yang selamat untuk para pelabur menerima tamparan hebat apabila suatu siri penghakiman menimbulkan persoalan di peringkat tempatan dan antarabangsa tentang sama ada Malaysia telah memulihkan reputasi antarabangsanya dahulu sebagai badan kehakiman yang bebas dan mendaulatkan undang-undang sewaktu tiga dekad pertama kemerdekaan negara di bawah tiga Perdana Menteri pertama, Tunku Abdul Rahman, Tun Razak dan Tun Hussein, sebelum serangan bekas Perdana Menteri Tun Mahathir ke atas badan kehakiman pada tahun 1988 berikutan pemecatan Ketua Hakim Negara Tun Salleh Abas dan lain-lain hakim Mahkamah Agung.

Badan kehakiman Malaysia pada tahun 2015 telah kembali ke kandang tertuduh untuk diadili pendapat orang ramai, di dalam dan luar negara, mengenai kebebasan, integriti dan profesionalismenya serta komitmen kepada kedaulatan undang-undang lantaran empat kes tahun ini, iaitu:

i. Keputusan 5-0 Mahkamah Persekutuan menolak rayuan Anwar Ibrahim ke atas hukuman lima tahun penjara dalam perbicaraan Liwat II;

ii. Keputusan Mahkamah Persekutuan untuk menyabitkan dan menjatuhkan hukuman mati ke atas bekas komando UTK Azilah Hadri dan Sirul Azhar Umar kerana membunuh warga Mongolia Altatuya Shaariibuu pada tahun 2006, sambil langsung tidak menjawab persoalan motif pembunuhan dan siapa yang mengarahkan Azilah dan Sirul membunuh Altantuya.

iii. Pendedahan bekas Hakim Mahkamah Rayuan KC Vohrah bahawa bekas Ketua Hakim Negara Eusoff Chin telah melakukan ketidakadilan dalam kes Ayer Molek Rubber Company vs Insas Bhd dua puluh tahun lalu - dia mana Hakim Mahkamah Rayuan NH Chan memetik baris “Something is rotten in the state of Denmark” dari tulisan Hamlet oleh Shakespeare.

iv. tindakan menyenarai hitam, mendiskriminasi dan menghalang Hakim Mahkamah Rayuan Mohamad Hishamudin Mohd Yunus daripada dinaikkan pangkat ke Mahkamah Persekutuan, walaupun beliau seorang hakim yang amat dihormati dan sama ada ini perbuatan bekas Ketua Hakim Eusoff Chin membalas dendam kerana Hishammuddin telah dengan beraninya menolak penghakiman Eusoff Chin dalam kes Ayer Molek.

Satu lagi kes ketidakadilan kini telah kembali dari hampir dua puluh tahun lalu, memohon supaya keadilan ditegakkan - iaitu tindakan memangsakan pemberi maklumat dari kalangan hakim yang pertama dalam negara, bekas Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Syed Ahmad Idid, yang dihukum dan tidak diberi pengiktirafan ke atas ketaatannya kepada ikrar dan sumpahnya sebagai seorang hakim.

Sekiranya maklumat yang didedahkan oleh Syed Ahmad Idid pada bulan Mac 1996, dengan pendedahan 33 muka surat dan 112 dakwaan rasuah dalam bidang kehakiman serta salahguna kuasa telah diambil peduli, dan disiasat serta diperbaiki 19 tahun lalu, hakim-hakim di Malaysia, peguam dan orang ramai hari ini pastinya boleh berbangga kerana kita mempunyai badan kehakiman yang dihormati kerana kualiti, integriti dan kebebasannya di dalam dan luar negara!

Pada bulan Mei 2008, Perdana Menteri waktu itu, Tun Abdullah Badawi telah memberi balasan berikutan krisis kehakiman 1988 yang didalangi oleh Perdana Menteri waktu itu Tun Dr Mahathir Mohamad melalui serangan-serangannya terhadap institusi dan kebebasan badan kehakiman, termasuk memecat Ketua Hakim Negara serta dua hakim Mahkamah Agung dan juga memangsakan tiga lagi hakim Mahkamah Agung; dengan memberi bayaran ex-gratia untuk nasib yang telah menimpa mereka sewaktu krisis kehakiman pada tahun 1988.

Negara wajar memperbaiki dan memulihkan kembali keadilan dan kehormatan kepada bekas Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Syed Ahmad Idid Syed Abdullah Idid, pemberi maklumat pertama dari kalangan hakim yang dihukum dan tidak diberi pengiktirafan atas tindakannya yang setia kepada ikrar sebagai seorang hakim.

Malah saya ingin menggesa supaya ditubuhkan sebuah Suruhanjaya Kebenaran dan Rekonsiliasi Badan Kehakiman untuk membuat permulaan baru dalam bidang kehakiman di Malaysia, dan berpaling daripada 27 tahun zaman gelap badan kehakiman serta mencari pengajaran yang dapat diambil daripada ibu segala krisis kehakiman tahun 1988 serta siri skandal kehakiman yang tidak putus-putus, yang telah membuat negara goyah sepanjang 27 tahun lalu, bukan berasaskan dendam, tetapi untuk menghalang sejarah berulang kembali pada masa akan datang.

Keenam, semalam kita melihat satu lagi ketidakadilan apabila 13 orang dijatuhkan hukuman penjara 10 bulan oleh Mahkamah Rayuan kerana kesalahan perhimpunan haram, apabila mereka telah berdemonstrasi menentang rampasan kuasa Kerajaan Negeri Pakatan Rakyat Perak pada Februari 2009 serta majlis angkat sumpah oleh Menteri Besar BN Zambry Abdul Kadir, setelah didenda RM5,000 setiap seorang untuk kesalahan itu.

Double standard dalam menghukum 13 demonstran ini adalah satu ketidakadilan yang sangat jelas, jika dibandingkan dengan layanan mesra yang diberikan terhadap 15 orang anggota Umno yang telah menceroboh bangunan Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang tahun lalu - hukuman berat dan tidak berpatutan berupa denda RM5,000 dan penjara 10 bulan bagi 13 individu di Perak dibanding dengan denda RM1,500 kepada 15 orang di Pulau Pinang - sedangkan yang di Perak itu sebuah perhimpunan aman dengan tujuan menghalang rampasan kuasa sebuah kerajaan negeri Pakatan Rakyat yang sah di Perak, manakala yang di Pulau Pinang pula begitu mengancam keselamatan, apabila 15 individu ini menceroboh masuk ke Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang, mengancam mereka yang berada di dalamnya serta merosakkan harta benda.

Ketujuh, satu lagi kes ketidakadilan ialah langkah pemangsaan oleh Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) ke atas seorang wanita yang tidak bersalah mahupun melakukan sebarang jenayah atau melanggar mana-mana rukun Islam, tetapi hanya seorang pengurus kedai buku Borders, Nik Raina Nik Abdul Aziz, yang telah pun dilepas bebas oleh Mahkamah Tinggi Syariah daripada pertuduhan syariah yang boleh mengakibatkan beliau dipenjara sehingga selama dua tahun dan didenda maksimum RM3,000.

Nik Raina didakwa kerana menjadi seorang pengurus beragama Islam di sebuah cawangan kedai buku Borders yang menjual buku “Allah, Kebebasan dan Cinta” yang telah diterjemah daripada tulisan asal dalam bahasa Inggeris oleh penulis Kanada, Irshad Manji.

JAWI telah menyerbu cawangan Borders di The Gardens di mana beliau merupakan pengurusnya pada 23 Mei 2012, sewaktu buku tersebut belum pun diharamkan oleh Kementerian Dalam Negeri, dan kemudian menahannya seminggu kemudian.

Pada 19 Jun 2012, beliau dituduh di bawah Seksyen 13(1) Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah Persekutuan) kerana didakwa menjual buku yang bertentangan dengan undang-undang Islam.

Pada 22 Mac 2013, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur telah memutuskan bahawa JAWI telah bertindak salah menyerbu Borders, merampas buku-buku tersebut serta mendakwa Nik Raina. JAWI kemudiannya diarah untuk menarik balik pertuduhan terhadapnya di Mahkamah Syariah.

Pada 30 Disember 2014, Mahkamah Rayuan juga telah membuat keputusan berpihak kepada Nik Raina, dan berkata bahawa pendakwaan terhadapnya adalah tidak berpatutan dan tidak rasional, dan telah dilakukan dengan niat jahat, dan bahawa ia bertentangan dengan prinsip keadilan dan kesaksamaan bagi JAWI untuk menuduh Nik Raina di bawah kesalahan di Mahkamah Syariah hanya kerana beliau beragama Islam, dan kerana ia JAWI tidak boleh mendakwa syarikatnya dan penyelianya yang bukan beragama Islam.

Pada 26 Februari Mahkamah Tinggi Syariah melepaskan Nik Raina, secara efektifnya melepaskan beliau daripada pertuduhan yang boleh memenjarakan beliau sehingga dua tahun dan didenda maksimum RM3,000.

Tetapi pada 9 Mac, Ketua Pendakwa Syariah Wilayah Persekutuan telah memfailkan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Syariah untuk melepaskan pengurus cawangan kedai buku Borders itu yang dituduh menjual buku yang didakwa tidak Islamik.

Adakah Putrajaya akan memberi perhatian kepada kumpulan Melayu moderat G25 bahawa rayuan JAWI terhadap kes Nik Raina berisiko menyebabkan konflik dan pertembungan kehakiman antara dua sistem undang-undang di Malaysia?

Saya menyokong penuh kenyataan G25, yang dianggotai bekas penjawat awam senior di kalangan mereka, dan juga bilangannya telah bertambah menjadi 44; yang menggesa pihak berkuasa Malaysia untuk mendaulatkan undang-undang dan keluhuran Perlembagaan.

Biar pemintaan G25, yang kini sepatutnya dipanggil G44 didengari dengan jelas, di dalam dan luar Parlimen, bahawa mereka memohon kerajaan persekutuan dan negeri, jabatan dan agensi mereka, Parlimen dan Ahli Parlimen, Jabatan Peguam Negara dan semua pihak berkuasa yang bertanggungjawab mentadbir negara seperti yang telah diamanahkan, untuk meletakkan jaminan undang-undang bagi menghalang ketidakadilan daripada berlaku, serta mendaulatkanprinsip keadilan dan kesaksamaan seperti yang diperintahkan di dalam Al-Quran dan termaktub di dalam Perlembagaan Persekutuan.

(“In conclusion, we, the G25, implore the federal and state governments, their departments and agencies, Parliament and Parliamentarians, the Attorney-General Chambers and all public authorities responsible for the administration of the country over which we Malaysians have entrusted upon them, to put in place the necessary legal safeguards to prevent miscarriages of justice and to uphold the principles of Justice and Equality as enjoined in the Holy Quran and enshrined in the Federal Constitution.”)

Nik Raina adalah seorang Melayu beragama Islam. Saya pula seorang Cina dan tidak beragama Islam. Tetapi kami kedua-duanya warga Malaysia, dan sebahagian daripada bangsa Manusia.

Negara Impian Malaysia yang dikongsi oleh semua rakyatnya, tanpa mengira kaum, agama, daerah atau kelas, adalah sebuah negara di mana ketidakadilan yang dialami seorang turut dirasakan oleh semua rakyat Malaysia, tanpa mengira kaum, agama, daerah dan kelas.

Dengan kata lain, suatu ketidakadilan yang dialami oleh seorang warganegara Muslim, turut dirasai oleh seorang warga Malaysia yang bukan Islam, dan begitulah sebaliknya.

Adakah kita semakin hampir ke tujuan ini sejak Merdeka 1957, atau penubuhan Malaysia pada tahun 1963 atau semakin jauh?

Ini adalah salah satu ujian paling penting untuk menentukan kejayaan atau kegagalan pembinaan negara Malaysia.

Kelapan, penurunan kualiti dan standard pendidikan di Malaysia. Pun begitu, negara bukan sahaja memerlukan Menteri Kewangan yang baru, tetapi juga Menteri Pendidikan yang baru, satu keperluan yang ditegaskan selepas ucapan Tan Sri Muhyiddin Yassin minggu lalu, mengakui terkejut dengan prestasi lemah pelajar Malaysia dalam penilaian antarabangsa, walaupun berjuta-juta ringgit telah dibelanjakan untuk menambahbaik sistem pendidikan.

Apa yang lebih memeranjatkan tentang rasa terkejut Muhyiddin itu ialah, hanya selepas 15 bulan beliau menjadi Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pendidikan baru beliau terkejut dengan prestasi menyedihkan anak-anak Malaysia berusia 15 tahun dalam tiga subjek matematik, sains dan pembacaan dalam penilaian PISA 2012, sedangkan hasil penilaian tersebut telah diterbitkan 15 bulan lalu, pada awal Disember 2013.

Ini merupakan kali pertama dalam tempoh 15 bulan Menteri Pendidikan menyatakan rasa terkejutnya atau pun memberikan ulasan terbuka mengenai hasil penilaian PISA 2012.

Sepanjang 15 bulan lalu, apa yang Muhyiddin buat?

Malah sehingga kini pun Muhyiddin nampaknya masih belum mampu memahami betapa seriusnya pencapaian menyedihkan pelajar Malaysia apabila dibandingkan dengan rakan-rakan seusia dari negara lain, sama ada dalam PISA atau TIMSS.

Bercakap dalam suatu majlis di Sekolah Kebangsaan Seksyen 7 Shah Alam, Muhyiddin berkata:

"Pandai, namun diletakkan dalam ujian antarabangsa seperti TIMSS dan Pisa, ia bukan satu rahsia dan kedudukan kita dikatakan satu pertiga di bawah dan bukan di atas.

"Saya selaku menteri pendidikan terperanjat dilapor begitu, namun saya perlu terima walaupun sudah dikatakan baik namun belum cukup baik."

Tidak ada pengakuan kegagalan yang lebih jelas di pihak sebagai Menteri Pendidikan sepanjang enam tahun lalu.

Kenapa Muhyiddin masih lagi menjadi Menteri Pendidikan?

Muhyiddin nampaknya tidak menyedari bahawa beliau sebenarnya telah mempengerusikan penyusutan standard pendidikan yang berpanjangan di kalangan pelajar Malaysia sepanjang enam tahun lalu, dan masalahnya bukan sekadar prestasi pelajar yang jatuh di kedudukan sepertiga terbawah berbanding di kedudukan sepertiga teratas dari segi pencapaian dalam penilaian pelajar antarabangsa, tetapi juga tiga masalah lain yang dihadapi oleh pelajar Malaysia.

Tiga masalah yang dihadapi oleh pelajar Malaysia, sebagaimana yang disebut oleh laporan PISA dan TIMMS adalah:

  1. Malaysia tersekat di kedudukan sepertiga terbawah dari kalangan negara yang terlibat dalam penilaian antarabangsa dan tidak membuat sebarang peningkatan menuju tingkat sepertiga teratas dari kalangan negara-negara yang dinilai.
  2. Walaupun berada di kedudukan sepertiga terbawah, Malaysia sedang dipintas oleh negara-negara lain dalam kumpulan tersebut, seperti Kazakhstan dan Thailand.
  3. Namun keputusan yang paling tidak menyenangkan dalam PISA 2012 ialah bertambahnya jurang antara Malaysia dan negara-negara berprestasi cemerlang. Kesenjangan dalam skor antara murid 15 tahun di Malaysia berbanding rakan seusianya di Singapura, Korea Selatan, Hong KOng dan Shanghai semakin melebar sejak penilaian PISA sebelum ini. Berasaskan perbezaan 38 markah di skala PISA bersamaan satu tahun persekolahan, kesenjangan tersebut kian melebar ke tahap di mana seorang murid 15 tahun di Shanghai, Singapura dan Korea Selatan menunjukkan prestasi seolah-olah mereka telah mendapat lebih empat ke lima tahun persekolahan berbanding rakan seusia mereka di Malaysia.

Berdasarkan rekod menyedihkan sepanjang sepuluh tahun Muhyiddin menjadi Menteri Pendidikan ini sahaja, beliau seharusnya meletakkan jawatan.

Tambahan lagi, rakyat Malaysia tidak akan lupa bahawa Muhyiddin lah yang mendakwa bahawa anak-anak Malaysia mendapat pendidikan yang lebih baik berbanding kanak-kanak di Amerika Syarikat, United Kingdom dan Jerman.

Tetapi Menteri Pendidikan II Datuk Seri Idris Jusoh bukanlah jawapan untuk menyelesaikan masalah pendidikan negara.

Idris baru-baru ini mendakwa bahawa pendidikan Malaysia ‘bertaraf dunia’, yang kemudiannya dinafikan oleh ranking Times Higher Education terbaru bagi tahun 2015 di mana sekali lagi, universiti Malaysia gagal tersenarai antara universiti terbaik dunia - walaupun senarai 100 universiti paling berprestij di dunia itu turut memuatkan dua universiti dari Singapura, 43 universiti dari Amerika Syarikat, 12 dari UK, 6 dari Jerman dan 5 dari Australia.

Malaysia tidak memiliki pendidikan bertaraf dunia, tidak kira pendidikan rendah, menengah mahupun peringkat tinggi.

Tetapi baiklah kita mulakan dahulu dengan Menteri Pendidikan bertaraf dunia - kedua-dua Muhyiddin dan Idris telah membuktikan bahawa mereka tidak mempunyai kebolehan untuk menjadi Menteri Pendidikan bertaraf dunia.

Daripada ucapan Muhyiddin, beliau jelas sekali menyalahkan masalah pendidikan hari ini kepada bekas-bekas Menteri pendidikan.

Dalam tempoh 20 tahun lalu kita telah mempunyai tiga Menteri Pendidikan sebelum Muhyiddin iaitu Datuk Seri Najib Razak (1995-1999); Tan Sri Musa Mohamad (1999 – 2004) dan Datuk Seri Hishammuddin Hussein (2004 – 2009).

Siapa di antara tiga pendahulu Muhyiddin sebagai Menteri Pendidikan yang mesti bertanggungjawab ke atas penurunan standard pendidikan di Malaysia, daripada peringkat rendah ke peringkat tinggi; atau adakah ketiga-tiganya mesti sama-sama bertanggungjawab dengan Muhyiddin?

Kesembilan, mimpi ngeri penduduk Sabah selama lebih empat dekad, atau sepanjang 45 tahun, iaitu masalah pendatang di negeri Sabah.

Empat bulan telah berlalu sejak RCIIIS membentangkan laporannya kepada Yang di Pertuan Agong dan Kerajaan Persekutuan. Lebih tiga bulan pula berlalu sejak laporan RCIIIS didedahkan kepada orang awam di Kota Kinabalu. Namun sehingga kini belum ada apa-apa dibuat untuk menamatkan mimpi ngeri masalah pendatang asing tanpa izin di Sabah yang telah berlarutan selama 45 tahun.

Malah, tidak salah jika disebut bahawa walaupun Kabinet telah membuat keputusan untuk membentuk RCIIIS lebih tiga tahun lalu, iaitu pada bulan Februari 2012, dan laporan RCIIIS pula telah dikemukakan kepada Putrajaya 10 bulan lalu, belum ada langkah konkrit untuk memecahkan permasalahan pendatang asing haram di Sabah selain daripada pembentukan ESSCOM dan ESSZONE berikuta pencerobohan ke atas Lahad Datu pada Februari/Mac 2013.

Nama Pairin sering muncul apabila kita memperkatakan tentang mimpi ngeri berkenaan pendatang haram sepanjang 45 tahun di Sabah, memandangkan beliau boleh dikatakan telah bergiat dalam politik di Sabah sejak awal isu pendatang haram muncul.

Malah, tidak berlebihan juga jika kita katakan bahawa jatuh-bangun Joseph Pairin dalam politik Sabah adalah berkaitan dengan mimpi ngeri pendatang haram di sana – beliau menjadi ketua menteri Sabah pada tahun 1985 ketika PBS yang sewaktu itu baru ditubuhkan telah membuat kejutan politik di Malaysia dengan menjatuhkan Parti Berjaya. Setelah sepuluh tahun, beliau pula dijatuhkan sebagai ketua menteri Sabah berikutan kejayaan Project IC dan bermacam tipu helah yang dibuat untuk memberikan status kewarganegaraan dan hak mengundi kepada pendatang asing yang sebahagian besar mereka baru saja tiba dari negara lain.

Boleh dikatakan Joseph Pairin adalah orang yang mempunyai pengalaman paling banyak menempuh mimpi ngeri pendatang asing di Sabah, tambahan pula jatuh-bangun beliau dalam politik berkait dengan isu ini – saya juga tidak merasa ada selain beliau ahli politik yang telah menandatangani dan menghantar lebih banyak memorandum dan laporan berkenaan penyelesaian masalah pendatang haram kepada Kerajaan Persekutuan sejak empat puluh tahun yang lalu.

Atas sebab inilah saya merasa amat terkejut apabila membaca dalam akhbar tentang ucapan yang dibuat oleh Joseph Pairin sewaktu sambutan Tahun Baru Cina di Parlimen Tawau pada 1 Mac lalu, apabila beliau mengatakan bahawa Jawatankuasa Kerja RCI yang dipengerusikannya mengalu-alukan cadangan daripada individu, NGO dan parti politik tentang cara-cara untuk menyelesaikan masalah pendatang haram di Sabah.

Cadangan apa yang dimahukan Joseph Pairin berkenaan mimpi ngeri pendatang asing tanpa izin di Sabah? Apakah masih ada cadangan yang belum beliau sendiri kemukakan sepanjang 40 tahun bergiat sebagai pemimpin politik, termasuk 30 tahun sebagai Presiden PBS, sebagai Huguan Siou atau pemimpin utama masyarakat KDM, sepuluh tahun sebagai Ketua Menteri Sabah, lapan tahun yang terakhir ini sebagai Timbalan Ketua Menteri, dan sejak tiga bulan lalu sebagai Pengerusi Jawatankuasa Kerja RCI, kedudukan yang membolehkannya menangani semua cadangan penyelesaian masalah pendatang haram di Sabah.

Tentu memalukan apabila dilaporkan kelmarin bahawa kawasan parlimen beliau sendiri, Keningau, mempunyai kadar pendatang asing yang memegang MyKad palsu paling tinggi.

Masalahnya bukan kekurangan cadangan penyelesaian tetapi kurang kemahuan politik untuk menguatkuasakan undang-undang negara dan membasmi masalah pendatang asing haram di Sabah secara tuntas.

Penduduk Sabah dan Malaysia mahu Joseph Pairin membuat satu bakti terakhir – menggunakan kedudukannya sebagai pengerusi Jawatankuasa Kerja RCI dan Timbalan Ketua Menteri untuk memastikan pihak berkuasa mempunyai kemahuan politik untuk menyelesaikan secara mutlak masalah pendatang asing di Sabah.

Jika tidak, RCIIIS dan pelantikannya sebagai pengerusi Jawatankuasa Kerja RCI boleh dianggap sebagai salah satu muslihat pihak berkuasa, sama ada pihak berkuasa di Putrajaya mahu pun Kota Kinabalu, untuk memperdayakan penduduk Sabah supaya mereka merasa masalah pendatang asing haram di Sabah telah diselesaikan, sedangkan masih belum ada apa-apa yang dibuat, seperti juga selama 40 tahun lalu.

Saya juga benar-benar terkejut mendengar jawapan parlimen daripada Menteri di Jabatan Perdana Menteri Shahidan Kassim yang menyebut bahawa Jawatankuasa Utama RCI yang dipengerusikan secara bersama oleh Menteri Dalam Negeri dan Ketua Menteri Sabah dan Jawatankuasa Kerja RCI yang dipengerusikan oleh Joseph Pairin baru sekali bermesyuarat sejak Laporan RCI terbit pada bulan Disember lalu.

Malaysia memerlukan RCI ke atas RCI – untuk memutuskan apa yang boleh dan apa yang tidak boleh dibuat oleh RCI dan untuk memastikan pihak berkuasa mengambil tindakan bersungguh-sungguh melaksanakan saranan RCI. Semua ini untuk memastikan RCI tidak digunakan sebagai alasan untuk melengahkan masa dan mengelak daripada tanggungjawab seperti yang sedang dilakukan kerajaan UMNO/BN.

Lim Kit Siang Ketua Parlimen DAP & Ahli Parlimen Gelang Patah