Najib harus datang sendiri ke Parlimen dan menjawab kritikan oleh Mahathir dan lain-lainnya secara peribadi, dan bukan dengan menggunakan proksi

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Shahidan Kassim memberitahu Malaysiakini bahawa beliau akan menjawab kritikan Tun Mahathir terhadap Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, terutamanya berkenaan skandal RM42 bilion 1MDB dan kekayaan keluarga Najib di Parlimen esok.

Najib harus datang sendiri ke Parlimen dan menjawab kritikan oleh Mahathir dan lain-lainnya secara peribadi, dan bukan dengan menggunakan proksi, walaupun seorang Menteri di Jabatan Perdana Menteri.

Saya tidak percaya bekas-bekas Perdana Menteri di Malaysia, atau ketua-ketua kerajaan di negara-negara lain, perlu bergantung kepada juak-juaknya untuk menjawab kritikan yang dihalakan terhadap mereka.

Kenapa Perdana Menteri tidak bersedia berhadapan sendiri dengan Ahli-ahli Parlimen untuk menjawab kritikan yang menggunung terhadapnya, dari dalam dan luar Umno?

Najib patut memberi makluman awal tentang kehadirannya ke Parlimen untuk menjawab sendiri kritikan terhadapnya supaya semua Ahli Parlimen yang berminat boleh turut hadir ke Parlimen.

Malah, saya mencadangkan supaya Peraturan Mesyuarat berkait waktu soalan ditangguhkan bagi memberi tambahan masa sejam kepada Perdana Menteri untuk menjawab kesemua kritikan dan soalan tambahan Ahli-ahli Parlimen berkenaan hal tersebut.

Dalam tempoh dua hari lalu, Setiausaha Agung PKR yang juga Ahli Parlimen Pandan Rafizi Ramli telah menggesa jawapan mengenai jet peribadi baru Airbus ACJ 320 berharga RM465 juta, yang dikomisyen oleh kerajaan untuk kegunaan Perdana Menteri.

Sekiranya Najib hadir ke Parlimen untuk menjawab kesemua kritikan terhadapnya sebagai Perdana Menteri, tidak kira oleh Mahathir atau yang lain-lainnya, ini akan menjadi masa yang sesuai untuk beliau memaklumkan kepada negara sama ada Kerajaan Persekutuan telah mengkomisyen sebuah Airbus ACJ 320 baru bernilai RM465 juta, untuk kegunaannya sendiri, di samping sebuah armada jet peribadi yang dimiliki serta dikendalikan oleh Putrajaya.

Lim Kit Siang Ketua Parlimen DAP & Ahli Parlimen Gelang Patah