Gerakan dan MCA pula yang melebih-lebih memberi reaksi berbanding PAS dan Umno terhadap cadangan saya supaya rang undang-undang pelaksanaan hudud di sidang DUN Kelantan ditangguhkan, kerana mereka telah habis termakan dengan komplot Umno untuk menggunakan isu tersebut bagi memecahbelahkan Pakatan Rakyat

Semalam saya telah mencadangkan supaya rang undang-undang pindaan terhadap Kanun Jenayah Syariah Kelantan 1993 yang telah dijadual untuk dibentang dalam sidang Dewan Undangan Negeri Kelantan pada 18 Mac ditangguhkan, memandangkan sehingga hari ini rang undang-undang tersebut belum pun dibentangkan kepada Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat untuk dikaji, sepertimana yang telah diputuskan oleh semua pimpinan Pakatan Rakyat dari DAP, PKR dan PAS dalam mesyuarat pada 8 Februari lalu.

Ini adalah untuk memberi masa yang cukup bagi parti-parti komponen Pakatan Rakyat mengkaji cadangan rang undang-undang pindaan itu, bahkan lebih penting lagi untuk tidak memberi talian hayat kepada Perdana Menteri dan Presiden Umno, Datuk Seri Najib Razak serta juak-juaknya daripada mendapat peluang meneruskan agenda Kerajaan Perpaduan antara Umno dan PAS, serta permainan politik hudud mereka, yang bertujuan semata-mata hendak menyelamatkan diri dan juga menggugat, memecahbelah dan menghancurkan perpaduan Pakatan Rakyat demi mencantas satu-satunya cabaran yang boleh menggantikan Umno/BN di Putrajaya dalam Pilihanraya Umum ke-14.

Saya tidak begitu terkejut bahawa bantahan terhebat terhadap cadangan penangguhan saya itu tidak datang daripada PAS ataupun Umno, tetapi daripada Gerakan dan MCA. Dalam masa beberapa jam sahaja, Gerakan terus melompat terhadap cadangan tersebut.

Kenapa? Ini adalah kerana pimpinan MCA dan Gerakan telah lama meleleh air liur melihat prospek DUN Kelantan meluluskan pindaan oleh Kerajaan Negeri PAS Kelantan terhadap Kanun Jenayah Syariah Kelantan 1993 dengan sokongan ADUN Umno Kelantan, kerana mereka telah merancang untuk menggunakan tindakan DUN Kelantan meluluskan rang undang-undang hudud itu untuk melancarkan serangan publisiti ke atas DAP.

Pemimpin MCA dan Gerakan menyangkakan mereka boleh mengabaikan hakikat bahawa ADUN Umno Kelantan menyokong Kerajaan Negeri PAS di DUN Kelantan untuk melaksanakan hudud.

Mereka juga percaya bahawa mereka mampu membuat rakyat Malaysia terlepas pandang bahawa pimpinan Gerakan dan MCA turut bersetuju dengan tindakan Adun Umno Kelantan yang bercanggah dengan prinsip-prinsip asas Barisan Nasional, MCA dan juga Gerakan dengan menyokong pelaksanaan hudud oleh Kerajaan Negeri PAS Kelantan, walaupun Majlis Tertinggi BN tidak pernah bersetuju membenarkan ADUN Umno Kelantan bertindak secara bersendirian bertentangan dengan prinsip-prinsip asas Perlembagaan Persekutuan dan juga dasar-dasar Barisan Nasional.

Daripada mendesak Umno, sama ada di Kelantan atau di lain-lain tempat di negara ini, supaya berpegang kepada janjinya sebagai rakan kongsi BN bagi menjulang Perlembagaan Persekutuan dan tidak menyokong pelaksanaan hudud di Kelantan, MCA dan Gerakan telah melepaskan ‘trump card’ mereka bahawa kesemua parti komponen BN tidak bersetuju dengan pelaksanaan hudud bersesuaian dengan Perlembagaan Persekutuan; kerana pemimpin MCA dan Gerakan hanya mahu melihat DUN Kelantan meluluskan pindaan terbabit supaya MCA dan Gerakan boleh menumpukan serangan mereka terhadap DAP.

Ini adalah politik longkang yang paling tidak jujur sekali. Daripada mendesak komitmen ADUN Umno Kelantan supaya tidak menyokong rancangan pelaksanaan hudud oleh Kerajaan Negeri PAS Kelantan, MCA dan Gerakan hanya berminat untuk melihat undang-undang tersebut diluluskan supaya ia boleh melancarkan serangan ke aras DAP – kalau pun ADUN Umno Kelantan menyokong PAS Kelantan melaksanakan hudud di negeri itu.

Saya percaya bahawa pengasas MCA dan Gerakan, Tun Tan Cheng Lock, Tun Tan Siew Sin, Dr Lim Chong Eu pastinya berasa malu melihat generasi MCA dan Gerakan sekarang, dengan memperlihatkan bahawa mereka langsung tidak mempunyai prinsip politik.

Pendirian DAP terhadap pelaksanaan hudud adalah jelas, berterusan dan konsisten – bahawa pelaksanaan hudud adalah bertentangan dengan prinsip Perlembagaan Persekutuan dan tidak termasuk dalam Dasar Bersama Pakatan Rakyat.

MCA dan Gerakan telah bersetuju supaya ADUN Umno Kelantan menyokong pelaksanaan hudud di Kelantan, sebagai sebahagian daripada komplot Umno yang lebih besar untuk memecahkan PAS dan Pakatan Rakyat, tetapi DAP berbeza daripada MCA dan Gerakan dan akan terus konsisten dengan prinsip bahawa pelaksanaan hudud adalah bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan dan tidak termasuk dalam Dasar Bersama Pakatan Rakyat.

Kami justeru tidak boleh bersetuju dengan cadangan pelaksanaan hudud oleh Kerajaan Negeri PAS Kelantan di sidang DUN nanti.

Pada bulan Mei 2012, di Hulu Terengganu, Presiden PAS Datuk Seri Hadi Awang telah berkata hudud hanya boleh dilaksanakan dengan syarat-syarat yang mencukupi, sambil memberi contoh bahawa jika tidak ada peruntukan gaji minima atau penyelesaian kepada masalah pengangguran, syarat-syarat pelaksanaan hudud tidak wujud.

Inilah yang dipersetujui oleh parti-parti komponen Pakatan Rakyat di dalam Dasar Bersama, dan sebab kenapa DAP menggesa pimpinan Pakatan Rakyat dan penyokongnya kembali kepada asas-asas Pakatan serta mengukuhkan komitmen kita terhadap Dasar Bersama; serta mempersetujui sebuah Rancangan Lapan Tahun Pakatan Rakyat demi menawan Putrajaya pada PRU ke-14, dengan mengenepikan semua perbezaan termasuk isu kontroversi pelaksanaan hudud di Kelantan sehinggalah selepas 2018.

Lim Kit Siang Ketua Parlimen DAP & Ahli Parlimen Gelang Patah