Kabinet esok mesti memutuskan sama ada akan menubuhkan RCI yang diketuai Zaid Ibrahim bagi menyiasat skandal RM42 bilion 1MDB atau menyokong siasatan awam secara menyeluruh oleh PAC, yang mendahului semua agenda PAC

Adakah mesyuarat Kabinet esok akan menyembunyikan diri daripada skandal kewangan terbesar negara dan juga isu yang menimbulkan keraguan terhadap kredibiliti, integriti dan urustadbir baik Perdana Menteri Malaysia dan kerajaannya, di dalam dan luar negara iaitu skandal RM42 bilion 1MDB?

Kabinet esok mesti memberikan tumpuan khas kepada skandal 1MDB, dan memutuskan sama ada untuk menubuhkan RCI yang diketuai bekas menteri undang-undang Datuk Mohd Zaid Ibrahim bersama-sama warga Malaysia lain yang kredibel bagi menyiasat skandal RM42 bilion 1MDB, atau menyokong siasatan awam secara menyeluruh oleh PAC, yang mendahului semua agenda PAC.

Lima Ahli Parlimen Pakatan Rakyat yang menganggotai Jawatankuasa Kira-kira Wang Awam (PAC); Timbalan Pengerusi PAC Dr Tan Seng Giaw (Kepong – DAP), Kamarul Baharin Abbas (Telok Kemang – PKR), Kamaruddin Jaffar (Tumpat – PAS), William Leong Jee Keen (Selayang – PKR) dan Tony Pua (Petaling Jaya Utara – DAP) telah meminta supaya diadakan pendengaran PAC mengenai 1Malaysia Development Berhad supaya ketua pegawai eksekutif dan juruaudit syarikat milik Kementerian Kewangan itu dari dulu sehingga sekarang boleh dipertanggungjawabkan.

Malah Pengerusi PAC sendiri, Datuk Nur Jazlan Muhamad (Pulai) telah mengubah fikirannya mengenai skandal 1MDB dan mahu Jabatan Audit Negara melaksanakan audit segera ke atas urusan-urusan 1MDB sebelum PAC memanggil syarikat itu.

Tetapi ini semua berlaku sebelum pendedahan mengejutkan oleh laman web Sarawak Report dan akhbar London, Sunday Times setelah menjalankan siasatan terperinci terhadap jejak dana berbilion yang hilang di tengah-tengah skandal 1MDB, selain mendakwa telah mendapat akses kepada ribuan dokumen dan email berkaitan transaksi 1MDB yang telah cuba dipadamkan oleh syarikat tersebut pada penghujung tahun lalu.

Perkembangan terbaru ini telah mengubah senario secara keseluruhan.

Rakyat Malaysia bersetuju dengan lima Ahli Parlimen Pakatan Rakyat yang menganggotai PAC bahawa semua dokumen dan email berkaitan mesti dikemukakan dalam pendengaran PAC, dan ini mesti segera dilakukan sebelum sebarang bukti dilupuskan.

Soalnya sekarang ialah kenapa tujuh lagi anggota PAS daripada Barisan Nasional mengambil sikap ‘tidak apa’ terhadap skandal kewangan terbesar dalam negara dan gagal untuk mendesak pendirian pro-aktif oleh PAS untuk mempertanggungjawabkan pihak-pihak yang terlibat dalam skandal kewangan terbesar dalam sejarah negara.

Tujuh Ahli Parlimen BN yang menganggotai PAC tidak boleh terus berdiam diri dan mesti menyatakan pendirian mereka sama ada mahu menyokong siasatan PAC terhadap skandal 1MDB.

Tujuh anggota PAC dari BN adalah: Datuk Seri Reezal Merican (Kepala Batas), Datuk Abdul Aziz Sheikh Fadzir (Kulim Bandar Baru), Datuk Mas Ermieyati Samsudin (Masjid Tanah), Datuk Liang Teck Meng (Simpang Renggam), Datuk Madius Tangau (Tuaran), Haji Hasbi bin Habibollah (Limbang) dan Datuk Wee Jeck Seng (Tanjung Piai).

Tujuh Ahli Parlimen BN yang menganggotai PAC ini sewajarnya meletakkan jawatan daripada Jawantakusa Kira-kira Wang Awam sekiranya mereka takut untuk menyokong PAC menyiasat segera skandal 1MDB, dan memberikan tempat mereka kepada Ahli-ahli Parlimen BN yang tidak takut menyiasat skandal kewangan kerajaan – hatta yang berkait langsung dengan Perdana Menteri.

Sekiranya Kabinet memutuskan untuk membantah penubuhan RCI dan sebaliknya memilih siasatan PAC, Kabinet mesti bersetuju dalam mesyuarat esok untuk meminda Peraturan Mesyuarat Dewan Rakyat pada hari pertama Parlimen bersidang pada Selasa 10 Mac 2015, untuk membenarkan PAC mengadakan pendengaran awam.

Di pendengaran awam ini, bukan sahaja ketua pegawai eksekutif dan juruaudit 1MDB dari dulu sehingga sekarang boleh dipanggil memberi testimoni, malah Editor Sarawak Report, Claire Rewcastle Brown turut boleh dipanggil untuk memberi testimoninya, bersama-sama ribuan dokumen dan email urusniaga 1MDB yang kini berada dalam simpanan beliau, selain berkongsi dengan PAC penemuan siasatan beliau terhadap skandal 1MDB.

Lim Kit Siang Ketua Parlimen DAP & Ahli Parlimen Gelang Patah