Maju terus, kita tidak boleh membuang masa dengan polemik, demi menghidupkan semula harapan rakyat Malaysia yang mahukan perubahan bahawasanya peluang itu masih wujud dalam PRU ke-14 melalui penyusunan semula kuasa-kuasa politik

Saya berkenan betul dengan cara Ahli Parlimen PAS Parit Buntar Mujahid Yusuf Rawa menggambarkan senario politik negara hari ini. Beliau menyebut: “We need to die to be reborn, to live anew.” (Malaysiakini)

Ini sangat hampir dengan pepatah Cina, 置之死地而后生 zhì zhī sǐ dì ér hòu sheng.

Inilah sebab di sebalik keputusan yang diambil Jawatankuasa Eksekutif Pusat DAP semalam, ekoran daripada usul Muktamar PAS supaya PAS memutuskan hubungan dengan DAP, selain pencabulan Dasar Bersama Pakatan dan prinsip konsensus secara berulang kali. Pakatan Rakyat tidak lagi wujud.

Keputusan untuk memuktamadkan bahawa Pakatan sudah tidak lagi wujud bukanlah langkah mengalah, bahkan satu tindakan untuk mengiktiraf realiti yang disokong dengan harapan dan keyakinan untuk masa akan datang.

Sepanjang beberapa bulan lalu, harapan rakyat Malaysia untuk melihat berakhirnya pemerintahan Umno/BN di Putrajaya, perubahan senario negara dan munculnya daya usaha bangsa hasil perubahan tersebut, telah direncatkan akibat daripada beberapa pertembungan dalam parti-parti Pakatan Rakyat.

Sepertimana rakyat Malaysia mahukan perubahan politik bagi menamatkan pemerintahan Umno/BN di Putrajaya, rakyat juga mahukan sebuah muafakat baru berasaskan prinsip dan kepentingan rakyat seperti Dasar Bersama Pakatan Rakyat, dan bukannya sikap suka mengambil peluang demi kepentingan kuasa, jabatan dan peluang memperkayakan diri.

Susulan usul Muktamar PAS untuk memutuskan hubungan dengan DAP, beserta pencabulan Dasar Bersama dan prinsip konsensus, rakyat Malaysia kini mesti terus melangkah maju kerana kita sudah tidak ada masa untuk melayan polemik, memandangkan kita harus mengusahakan supaya harapan rakyat Malaysia yang mahu melihat perubahan kembali menyala, dan memberi jaminan kepada mereka bahawa peluang dan kemungkinan itu berlaku masih wujud pada PRU ke-14.

Cabarannya kini ialah untuk menyusun semula kuasa-kuasa politik demi memastikan harapan dan impian rakyat Malaysia untuk menyaksikan berakhirnya pemerintahan Umno/BN kekal menyala, berasaskan idealisme Pakatan Rakyat ke arah perpaduan negara, keadilan, kebebasan dan kehidupan yang lebih bermaruah.

Tepat sekali kata-kata Mujahid dalam wawancara bersama Malaysiakini: “Pakatan is just a name. What is more important is the substance.” (Pakatan hanyalah nama, apa yang lebih penting ialah isinya.)

Cabaran terbesar bagi rakyat Malaysia yang mahukan perubahan politik berlaku pada PRU ke-14 ialah untuk menyalakan semula harapan rakyat bahawa perubahan boleh dicapai pada PRU akan datang dengan menyusun semula kuasa-kuasa politik, walaupun Pakatan Rakyat sudah tiada.

Lim Kit Siang DAP Parliamentary Leader & MP for Gelang Patah