Pintu DAP terbuka untuk semua orang Melayu yang mahu kepada Impian Malaysia yang bercita-cita untuk mewujudkan Malaysia yang bersatu, inklusif, progresif, adil dan makmur untuk semua rakyat Malaysia

DAP mempunyai lebih ramai Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri dari kaum India berbanding dengan MIC – sama ada pada hari ini atau pada tahun 1969 apabila DAP bertanding pilihanraya umum buat kali pertama.

Selepas PRU13, DAP mempunyai enam Ahli Parlimen dan 13 ADUN dari kaum India mewakili Pulau Pinang, Perak, Negeri Sembilan, Selangor dan Pahang.

Sebaliknya, MIC hanya mempunyai empat Ahli Parlimen dan lima ADUN walaupun tiada siapa akan tahu berapa ramai lagi Ahli Parlimen dan ADUN MIC yang akan tinggal selepas krisis dalaman yang sedang dialami oleh parti itu sekarang.

Tetapi DAP bukan parti kaum India.

Selepas PRU13, DAP mempunyai 30 Ahli Parlimen dan 89 ADUN dari kaum Cina yang mewakili 10 daripada 13 negeri di Malaysia – jauh lebih ramai daripada MCA yang hanya tinggal menjadi “parti 7-Eleven”, iaitu tujuh Ahli Parlimen dan 11 ADUN, manakala Gerakan cuma tinggal dua Ahli Parlimen dan tiga ADUN.

Tetapi DAP bukan parti kaum Cina.

Sejak awal lagi sewaktu penubuhan DAP hampir 50 tahun lalu, DAP telah berikrar untuk menjadi parti rakyat Malaysia yang bersungguh-sungguh mahu memenuhi perjuangan semua rakyat, tanpa mengira kaum, agama atau wilayah.

Inilah sebabnya DAP menjadi parti politik seMalaysia untuk semua rakyat Malaysia yang pertama, aktif dalam kerja-kerja politik di semua negeri sebelum parti-parti lain berbuat demikian, termasuk yang berada di pihak Barisan Nasional.

Inilah juga sebabnya mengapa sejak pilihanraya umum pertama yang ditandingi oleh DAP pada 1969, DAP telah meletakkan calon pelbagai kaum, dan sejak itu selama berdekad-dekad lamanya, kita telah mempunyai Ahli Parlimen dan ADUN dari kalangan orang Melayu.

Dalam masyarakat pelbagai kaum dan agama di Malaysia di mana mudah sekali orang memainkan serta mengapi-apikan sentimen kaum dan agama, dan apa yang berlaku kebelakangan ini adalah kesan daripada polarisasi kaum, jalan yang diambil oleh sesebuah parti pelbagai kaum adalah sukar lagi perit.

Namun, setelah hampir lima dekad, DAP tetap berpegang kepada matlamatnya untuk menjadi parti kepada semua rakyat Malaysia, dan bukan parti kepada kaum Cina atau India sahaja, walaupun DAP mempunyai lebih ramai wakil rakyat berbanding MCA atau MIC.

DAP perlu menggandakan usaha untuk menyambut kehadiran orang Melayu yang berjiwa demokrat menyertai perjuangan Malaysia untuk rakyat Malaysia.

Sebagaimana pintu DAP terbuka untuk kaum Cina, India, Kadazandusun dan Iban yang mahu kepada Impian Malaysia, pintu DAP juga sentiasa terbuka kepada orang Melayu yang mahu berkongsi Impian Malaysia; impian yang mahu melihat rakyat Malaysia bersatu, inklusif, progresif, adil dan makmur.

Saya berharap untuk melihat lebih ramai orang Melayu berjuang bersama DAP berganding tangan dengan orang Cina, India, Iban dan Kadazandusun, tanpa mengira kaum, agama atau wilayah, bagi mencapai cita-cita Malaysia di mana kita sama-sama boleh berbangga dengan pentadbiran baik yang mampu menjamin hak politik, ekonomi, pendidikan, sosial, budaya dan kerakyatan yang adil, dan di mana kebebasan demoktratik, kemajuan ekonomi, jaminan keselamatan peribadi, hak asasi dan penjagaan alam sekitar menjadi agenda utama kerajaan semasa.

Lim Kit Siang DAP Parliamentary Leader & MP for Gelang Patah