Kabinet patut menegur dan menolak pendirian Abdul Rahman bahawa pilihanraya kerajaan tempatan akan memburukkan lagi polarisasi kaum kerana ia bukan sahaja tidak benar malah membuka ruang kepada penggantungan pilihanraya Dewan Negeri dan Parlimen pada masa akan datang

Mesyuarat Kabinet hari ini patut menegur dan menolak pendirian Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Abdul Rahman Dahlan bahawa pilihanraya kerajaan tempatan akan memburukkan lagi polarisasi kaum kerana ia bukan sahaja tidak benar malah membuka ruang kepada penggantungan pilihanraya Dewan Negeri dan Parlimen pada masa akan datang.

Ini merupakan kali pertama dalam masa 50 tahun bagi mana-mana menteri kerajaan Barisan Nasional mahupun Perikatan mengambil pendirian yang mengarut bahawa pelaksanaan pilihanraya kerajaan tempatan akan mengakibatkan polarisasi kaum yang lebih buruk - atau berkemungkinan mencetuskan semula rusuhan kaum 13 Mei seperti yang disebut oleh Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang telah mendapat sokongan daripada pimpinan tertinggi Umno.

Pada bulan Mac 2010 Kerajaan Negeri Pulau Pinang dan Selangor telah mengutus dua surat berasingan kepada Suruhanjaya Pilihanraya memohon supaya pilihanraya kerajaan tempatan dijalankan di negeri masing-masing.

Alasan mereka berbuat demikian adalah untuk mengukuhkan demokrasi dengan memilih ahli-ahli majlis tempatan melalui pilihanraya dan bukan lantikan, yang akan menambah akauntabiliti, ketelusan dan urustadbir yang baik.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dalam satu reaksi pantas menolak permintaan ini, sambil menyatakan bahawa mengembalikan pilihanraya kerajaan tempatan akan mengakibatkan politisasi di peringkat kerajaan tempatan dan tidak akan memperbaiki perkhidmatan kepada orang ramai.

Beliau berkata bahawa tumpuan seharusnya diberikan kepada usaha memperbaiki perkhidmatan kepada orang ramai dan bukannya proses yang terlibat dalam memilih ahli majlis.

Tidak pernah ada yang menyebut tentang polarisasi kaum atau representasi kaum yang tidak seimbang dalam masa 50 tahun lampau sebagai sebab kenapa undi ketiga tidak boleh dikembalikan.

Kabinet bukan sahaja harus mengambil perhatian terhadap garis bahaya yang diambil oleh Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan dengan mengaitkan pemansuhan pilihanraya kerajaan tempatan dengan masalah polarisasi kaum buat kali pertama dalam masa 50 tahun, ia mesti bertindak menegur Abdul Rahman atas kenyataan tersebut dan Kabinet yang menjauhkan diri daripada kenyataan tersebut.

Hujah Abdul Rahman bahawa pilihanraya kerajaan tempatan akan mengakibatkan rasa tidak senang dan kurang percaya antara kaum mesti ditegur dengan keras oleh Kabinet hari ini, kerana kerajaan tempatan bukanlah mengenai politik kaum tetapi mengenai kualiti hidup yang lebih baik untuk semua pembayar cukai dengan suasana kehidupan yang selamat, efisien dan sejahtera untuk semua tanpa mengira kaum atau agama.

Sebab kenapa pilihanraya kerajaan tempatan telah digantung selama 50 tahun adalah suatu rahsia terbuka, dan tidak ada kena mengena dengan akauntabiliti, kecekapan atau urustadbir kerajaan tempatan yang baik tetapi kerana ahli politik Barisan Nasional tidak yakin dengan pilihanraya secara demokratik, walaupun wujud banyak kelemahan dalam sistem pilihanraya, mereka masih boleh memenangi kepercayaan dan mandat para pengundi supaya terpilih menganggotai majlis-majlis kerajaan tempatan.

Amat memeranjatkan apabila selepas 50 tahun penggantungan/pemansuhan pilihanraya kerajaan tempatan, isu kaum kini mula disuntik sebagai satu faktor baru kenapa undi ketiga itu tidak boleh dikembalikan.

Jika alasan tersebut boleh diterima, maka ia juga boleh dipanjangkan sehingga memansuh/menggantung pilihanraya Dewan Negeri dan Parlimen, dan membunuh demokrasi di Malaysia.

Menteri de facto yang bertanggungjawab ke atas perpaduan negara, Tan Sri Joseph Kurup telah bertindak tepat dengan mengatakan bahawa para ekstremis yang telah memainkan isu kaum dan agama lah yang merupakan musuh negara nombor satu - petualang yang bertanggungjawab terhadap polarisasi kaum dan agama yang semakin buruk di negara ini.

Malangnya, dalam ucapannya di persidangan Malaysia Strategic Outlook ke-17 itu, Kurup tidak bersedia untuk menyebut nama-nama musuh negara nombor satu ini, justeru mengecilkan kesan pengakuannya mengenai golongan ekstremis ini - yang “menimbulkan ketakutan di dalam masyarakat, membahayakan perpaduan yang telah kita bina dan cuba merampas gaya hidup masyarakat Malaysia” serta “cuba melaksanakan agenda ekstremis dan sektarian mereka dengan berselindung di sebalik agama” yang boleh “mengakibatkan ekstremisme ganas”.

Momok 13 Mei dan politik perkauman terhadap pengembalian pilihanraya kerajaan tempatan tidak boleh dibenarkan timbul lagi.

Saya sesungguhnya percaya bahawa sekiranya Pakatan Rakyat tidak berkeyakinan ia boleh mencapai kejayaan besar sekiranya pilihanraya kerajaan tempatan dikembalikan, Pakatan harus berunding semula kerana ini bukan satu petanda baik bagi agenda besar untuk memenangi Putrajaya pada PRU ke-14 nanti.

Berdasarkan bancian 2010, daripada 148 pihak berkuasa tempatan di Malaysia (yang terdiri daripada tiga Dewan Bandaraya, sembilan Majlis Bandaraya, 37 Majlis Perbandaran dan 99 Majlis Daerah), hanya dua atau tiga peratus daripadanya mempunyai majoriti Cina, iaitu Sibu (Cina 63.4%, Melayu/Bumiputera 35.7%, India 0.4% dan lain-lain 0.5%); Kuching Selatan (Cina 62.5%, Melayu/Bumiputera 36.4%, India 0.6% dan lain-lain 0.5%) dan Pulau Pinang (Cina 56.4%, Melayu 33.7%, India 9.5% dan lain-lain 0.4%).

Pihak berkuasa tempatan dengan majoriti Melayu melebihi 50% populasi adalah pada kadar 89.2% atau 132 daripada 148 PBT, dengan baki 13 lagi dengan kaum bercampur-campur, yang tujuh daripadanya dominan Cina dan enam lagi dominan Melayu.

Biro Pilihanraya Pakatan Rakyat patut mengadakan kajian tentang berapa banyak daripada 148 PBT ini yang boleh dimenangi Pakatan sekiranya ada pilihanraya kerajaan tempatan.

148 PBT di Malaysia terdiri daripada:

Negeri Dewan Bandaraya Majlis Bandaraya Majlis Perbandaran Majlis Daerah Dimodifikasi
K’tan 1 11 -
T’gnu 1 2 4 -
Pahang 3 8 -
Kedah 1 3 7 -
Perlis 1 -
Perak 1 4 10 -
Selangor 2 6 4 -
N.Sembilan 3 5 -
Melaka 1 2 -
Johor 1 6 8 -
WP 1 2
Sabah 1 2 18 1
Sarawak 1 2 2 19 2
Jumlah 3 9 37 94 5

Sekiranya pilihanraya kerajaan tempatan diadakan, bolehkah Pakatan Rakyat mendapat majoriti besar dalam PBT di Kelantan, Terengganu, Pahang dan Kedah?

Terdapat 12 PBT di Kelantan dengan populasi Melayu terendah sebanyak 92% di Kuala Krai sehinggalah yang tertinggi 97% di Dabong.

Terengganu pula memiliki tujuh PBT, populasi Melayu paling rendah seramai 95.% di Kemaman, dan yang paling tinggi, 99.7% di Setiu.

Pahang mempunyai lapan PBT. Selain Cameron Highlands yang mempunyai komposisi kaum bercampur-campur dengan Cina 42.8%, Melayu 33.7%, India 22.8% dan lain-lain 0.6%, populasi Melayu di tujuh lagi PBT berbeza-beza dari 57.3% di Bentong, 63.1% di Raub, 67.2% di Bera, 75.7% di Temerloh, 78.5% di Kuantan, 84.7% di Jerantut, 85.3% di Lipis, 95.7% di Maran, 95.8% di Rompin dan 96.9% di Pekan.

Bagi Kedah, 11 buah PBT mempunyai populasi Melayu seramai 63.6% di Kulim, 66.2% di Sungai petani, 76.9% di Alor Setar, 82.1% di Bandar Baru, 88.3% di Kubang Pasu, 89.7% di Pendang, 90.9% di Baling, 92.5% di Padang Terap, 92.6% di Langkawi, 92.8% di Sik dan 93.2% di Yan.

Biro Pilihanraya Pakatan Rakyat mesti mengkaji sama ada Pakatan Rakyat boleh menang majoriti 41 PBT di Kelantan, Terengganu, Pahang dan Kedah di mana PBT dengan lebih 70% Melayu adalah 92% daripada jumlah PBT, manakala PBT dengan populasi lebih 90% Melayu adalah 67% daripada jumlah PBT.

Semua parti politik dan rakyat Malaysia wajar memberi perhatian terhadap deklarasi ke arah demokrasi dalam laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja Athi Nahappan pada tahun 1968 mengenai pihak berkuasa tempatan yang mencadangkan supaya pilihanraya kerajaan tempatan dikembalikan:

“Ahli majlis yang dilantik tidak boleh menyuarakan kepentingan pembayar cukai secara efektif kerana mereka tidak melapor kepada pembayar cukai. Lantikan bukan gantian sebenar kepada perwakilan melalui pilihanraya. Pelantikan adalah tinggalan kolonial, dan bertentangan dengan ide demokrasi.” (Athi Nahappan 1968:99)

Isu-isu yang dipertaruhkan dalam mengembalikan ketiga adalah demokrasi, akauntabiliti dan urustadbir yang baik, dan tidak ada kena mengena dengan kaum.

Lim Kit Siang Ketua Parlimen DAP & Ahli Parlimen Gelang Patah