Jika PAS tidak lagi yakin Pakatan Rakyat akan mencapai kejayaan besar sekiranya pilihanraya kerajaan tempatan dikembalikan ke seluruh negara, Pakatan mesti duduk berbincang semula kerana ini bukan petanda baik bagi kerangka besar Pakatan dalam menuju Putrajaya menjelang PRU ke-14

Saya pun tak tahulah mahu ketawa atau menangis.

Semalam, The Malay Mail Online melaporkan berita bertajuk “DAP seeking full ‘control’ of country through third vote, Isma claims” memetik Naik Presiden Ikatan Muslimin Malaysia (Isma), Aminuddin Yahaya mendakwa bahawa usaha mengembalikan pilihanraya kerajaan tempatan adalah sebahagian daripada strategi DAP untuk mengambil alih Malaysia kerana ia telah pun mengawal hampir 60% kerusi Dewan Undangan Negeri dalam negara.

Beliau berkata bahawa wakil rakyat DAP membentuk 58% daripada jumlah DUN di Malaysia, dan angka tersebut boleh mencecah 60% dengan bantuan PKR di kawasan bandar.

Ini menyebabkan saya menulis di twitter bahawa beliau seorang yang bebal dan tidak mempunyai standard matematik murid darjah lima.

Sekiranya Aminuddin benar dan tidak merepek, maka DAP dengan sendirinya sudah pun boleh memenangi Putrajaya dan membentuk kerajaan Malaysia. Namun percakapan beliau itu mengarut belaka.

Kasihan Isma punya Naib Presiden yang begitu jahil matematik, ini tidak bagus untuk organisasi tersebut.

Daripada sejumlah 505 kerusi DUN (kecuali Sarawak) yang ditandingi dalam PRU kr-13 pada 5 Mei 2013, Barisan Nasional memenangi 4,515,228 atau 47.25% daripada jumlah undi seluruh negara, tetapi mempunyai 275 kerusi DUN atau 54% daripada 505 kerusi; manakala Pakatan Rakyat memenangi 4,879,295 undi atau 51.06% undi seluruh negara tetapi hanya mendapat 229 kerusi DUN atau 45% daripada 505 kerusi. Satu kerusi DUN di Sabah dimenangi oleh sebuah parti pembangkang yang bukan dari Pakatan Rakyat.

Angka-angka ini menjadi dalil ketidakadilan sistem pilihanraya, apabila Pakatan Rakyat meski memenangi banyak undi, memiliki kurang kerusi.

Ketidakadilan ini turut kelihatan dalam keputusan berasingan bagi kerusi DUN, contohnya di Johor, Barisan Nasional berjaya mendapat 53.98% undi tetapi 68% daripada 56 kerusi DUN (i.e. 38 daripada 56 kerusi, sedangkan pemakaian prinsip satu orang, satu undi, satu nilai secara tepat bermaksud 30 kerusi BN dan 26 kerusi PR di Johor).

BN juga memenangi bilangan kerusi yang tidak berkadaran dengan jumlah undi yang mereka terima di Melaka, Pahang, Perlis dan Sabah.

Naib Presiden Isma tersebut barangkali sedang khayal ketika mendakwa bahawa DAP memenangi 58% jumlah kerusi DUN, sedangkan jumlah kerusi DUN yang dimenangi Pakatan Rakyat hanyalah 229 kerusi, atay 45%.

Ini kemudiannya dipecahkan kepada 85 kerusi DUN bagi PAS, 95 kerusi bagi DAP dan 49 bagi PKR; atau 16.8% PAS, 18.8% DAP dan 9.7% PKR daripada jumlah besar 505 kerusi DUN.

Dari mana Naib Presiden Isma mendapatkan fakta bahawa DAP menang 58% kerusi DUN sewaktu PRU ke-13?

Saya tak tahu matematik jenis apa yang Aminuddin gunakan apabila beliau mendakwa DAP mempunyai 58% kerusi DUN, dan boleh mencecah 60% dengan bantuan PKR di kawasan bandar, kerana kiraan sedemikian tidak masuk akal sama sekali.

Pemimpin DAP sangat berbesar hati kerana Isma merasakan bahawa DAP dengan sendirinya pun sudah mampu memenangi kuasa melalui undi ketiga, kerana ini bermakna fitnah kononnya DAP ini anti-Melayu dan anti-Islam langsung tidak memberi kesan dan DAP pastinya telah melakukan sesuatu yang betul untuk mendapatkan sokongan yang kian bertambah daripada warga Melayu Islam, dalam menepati komitmen kami sebagai sebuah parti politik untuk kesemua rakyat Malaysia, tanpa mengira kaum, agama atau daerah, dan bukan menjadi parti politik untuk satu kaum atau satu agama sahaja.

Namun apa yang lebih penting ialah untuk berfikir secara realistik. Saya malah tidak berani berkata bahawa Pakatan Rakyat dengan tiga parti komponen DAP, PKR dan PAS pun tidak mampu mendapatkan kawalan penuh ke atas negara, bagi merintis jalan memenangi Putrajaya pada PRU ke-14, sekiranya pilihanraya kerajaan tempatan atau undi ketiga dikembalikan.

Keraguan saya itu diperkukuhkan oleh kenyataan penuh kontroversi oleh Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang mengenai pengembalian pilihanraya kerajaan tempatan, yang hanya bermakna Presiden PAS itu tidak optimistik terhadap peluang-peluang PAS sekiranya pilihanraya kerajaan tempatan dijalankan di seluruh negara.

Ini kerana kejayaan di pilihanraya kerajaan tempatan di negara-negara lain selalunya menjadi pelopor kejayaan di peringkat nasional, seperti yang dibuktikan oleh pelantikan Joko Widodo sebagai Presiden Indonesia selepas berjaya dalam pilihanraya dan prestasinya sebagai Gabenor Jakarta, serta jalan yang dipilih oleh Mahmoud Ahmadinejad dan Recep Tayyip Erdogan yang masing-masing merupakan Datuk Bandar Tehran dan Istanbul sebelum menjadi Presiden-presiden Iran dan Turki.

Fenomena ini tidak terhad kepada negara-negara Islam sahaja, kerana wujud juga harapan bahawa penyandang jawatan Datuk Bandar Seoul dan New Taipei, Park Won-Soon dan Eric juga akan menjadi Presiden bagi Korea Selatan dan Taiwan dalam pilihanraya presiden yang akan datang.

Inilah persoalan yang menjengkelkan saya satu dua hari ini, kenapa Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang tidak yakin PAS boleh cemerlang dalam pilihanraya kerajaan tempatan sekiranya undi ketiga itu dikembalikan.

Komposisi etnik pihak berkuasa tempatan juga telah berubah secara signifikan sepanjang beberapa dekad lalu hasil daripada proses urbanisasi Melayu.

Peratus populasi Melayu di kawasan bandar (di Semenanjung) telah bertambah daripada 21% pada 1957 menjadi 27.6% pada 1970 dan kemudian 37.9% pada 1980, 45.3% pada 1991 dan 48.3% pada tahun 2000. Dalam masa yang sama, peratus populasi Cina di kawasan bandar pula telah menurun daripada 62% pada tahun 1957 menjadi 34.8% pada tahun 2000.

Dianggarkan bahawa peratusan Melayu di kawasan bandar di Semenanjung kini menghampiri 60%.

Menurut bancian 2010, terdapat 148 pihak berkuasa tempatan di Malaysia yang terdiri daripada tiga Dewan Bandaraya, sembilan Majlis Bandaraya, 37 Majlis Perbandaran dan 99 Majlis Daerah.

Daripada 148 PBT ini, 132 mempunyai majoriti Melayu melebihi 50% daripada populasi, tiga mempunyai majoriti Cina, dan 13 lagi bercampur-campur dengan tujuh kawasan dominan Cina dan enam dominan Melayu.

Tiga kawasan PBT majoriti Cina daripada 148 hanyalah dua peratus daripada keseluruhan PBT, kalau mahu dikira tujuh tujuh lagi PBT bercampur-campur dominan Cina itu pun boleh, maka 10 daripada 143 PBT atau hanya 6.7%.

Dari mana datangnya dakwaan Cina cuba merampas kuasa politik sekiranya pilihanraya kerajaan tempatan dikembalikan?

Ini sebabnya kenapa Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, sambil bercakap secara samar-samar mengenai representasi ketika bingkas menyokong Hadi membangkitkan momok rusuhan kaum 13 Mei sekiranya pilihanraya kerajaan tempatan dikembalikan, juga cuba menimbulkan kekeliruan apabila bertanya sama ada pilihanraya kerajaan tempatan akan mengakibatkan meningkatnya cukai – yang pastinya tidak.

Muhyiddin wajar menjelaskan kenapa beliau bercakap tentang perwakilan kaum yang tidak seimbang sekiranya ada pilihanraya kerajaan tempatan, sedangkan 132 daripada 148 PBT mempunyai majoriti Melayu dengan enam lagi PBT bercampur-campur dominan Melayu, i.e. 132 daripada 148 PBT iaitu 93.2% ?

Sekiranya Pakatan Rakyat serius mahu menawan Putrajaya pada PRU ke-14 dalam masa dua atau tiga tahun lagi, Pakatan mesti mempunyai keyakinan mendapatkan majoriti 148 PBT jika pilihanraya kerajaan tempatan, atau undi ketiga dikembalikan.

Daripada 148 PBT, 95 daripadanya mempunyai populasi Melayu/Bumiputera melebihi 70%, termasuk 12 di Kelantan, 6 di Terengganu, 9 di Kedah dan 7 di Pahang.

Sekiranya PAS tidak yakin Pakatan Rakyat akan mencapai kejayaan besar sekiranya pilihanraya kerajaan tempatan dikembalikan ke seluruh negara, Pakatan mesti duduk berbincang semula kerana ini bukan petanda baik bagi kerangka besar Pakatan dalam menuju Putrajaya menjelang PRU ke-14.

Lim Kit Siang Ketua Parlimen DAP & Ahli Parlimen Gelang Patah