DAP terus komited menjadi parti politik inklusif yang mendakap hak dan kepentingan kesemua kaum dan agama di Malaysia, dan bukan sahaja sesebuah kaum atau agama

Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang telah melepaskan satu bom jangka dalam akhbar Harakah semalam, dan kesannya sedang dirasai di seluruh negara, menghasilkan rasa terkejut, sedih dan kecewa, bukan sahaja dari kalangan pemimpin serta ahli DAP dan PKR, malah juga majoriti rakyat Malaysia yang telah meletakkan kepercayaan dan harapan terhadap Pakatan Rakyat, malahan juga pemimpin dan ahli PAS pun turut merasainya juga.

Sepanjang 45 tahun yang lampau, momok 13 Mei telah menjadi senjata kegemaran pemimpin Umno yang tidak bertanggungjawab untuk menakut-nakutkan pengundi daripada melaksanakan hak mengundi seperti yang termaktub di dalam Perlembagaan secara bebas dan demokratik; tetapi saya tidak pernah menyangka satu hari nanti akan ada pemimpin pembangkang yang membangkitkan momok ini, dengan cara yang tidak pernah dilakukan mana-mana pemimpin Umno - kerana pemimpin Umno belum pernah lagi membangkitkan momok 13 Mei sebagai hujah sekiranya pilihanraya kerajaan tempatan dikembalikan, tetapi sekarang dengan tauladan Hadi, mereka mungkin akan bersedia menggunakannya.

Bukan sahaja salah untuk menyamakan pengembalian undi ketiga, yang dinikmati rakyat negara ini di tahun-tahun 50’an dan 60’an; Hadi juga telah membuat kesilapan besar apabila menambah elemen perkauman apabila mencadangkan bahawa pengembalian pilihanraya kerajaan tempatan adalah cubaan merampas kuasa politik oleh kaum Cina di kawasan bandar.

Ini mengesampingkan secara total proses urbanisasi warga Melayu dalam masa lima dekad yang lampau, kerana daripada 49 pihak berkuasa tempatan di kawasan bandar (yang terdiri daripada tiga Dewan Bandaraya Kuala Lumpur, Kota Kinabalu dan Kuching Utara; sembilan majlis perbandaran dan 37 majlis daerah), 39 darinya mempunyai majoriti warga Melayu melebihi 50% daripada populasi, tiga lagi mempunyai majoriti Cina, manakala tujuh mempunyai kemajmukan kaum dengan empat daripadanya dominan Cina dan tiga lagi dominan Melayu.

Dewan Bandaraya Kuala Lumpur mempunyai kemajmukan kaum, dengan populasi Melayu (45.9%) melebihi populasi Cina (43.2%) dan selebihnya India (10.3%) dan lain-lain 0.6%.

Terdapat dua pihak berkuasa tempatan dengan populasi Melayu dominan iaitu: Kluang Melayu 47.1%, Cina 42.6%, India 9.9%, Lain-lain 0.5% dan Petaling Jaya Melayu 46.2%, Cina 39.6%, India 13.3% dan Lain-lain 0.9%.

Empat pihak berkuasa tempatan dengan populasi dominan Cina:

Johor Bahru Tengah: Melayu (38.8%), Cina (47.2%), India (13.4%), Lain-lain (0.6%)

Ipoh: Melayu (39.8%), Cina (45.5%), India (14.5%) Lain-lain (0.2%).

Subang Jaya: Melayu (42.3%), Cina (44.7%), India (12.4%), Lain-lain (0.6%).

Teluk Intan: Melayu (38.8%), Cina (39%), India (22%), Lain-lain (0.2%)

Tiga pihak berkuasa tempatan dengan populasi majoriti Cina ialah Sibu (Cina 63.4%), Pulau Pinang (CIna 56.4%) dan Kuching Selatan (62.5%).

Kesemua 39 PBT yang lain, termasuk dua Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (Melayu 70.4%) dan Kuching Utara (Melayu 84.8%) dan enam daripada sembilan Majlis Perbandaran Johor Bahru (Melayu 54.1%), Alor Setar (Melayu 76.9%), Melaka (Melayu 60.6%), Shah Alam (Melayu 71.1%), Kuala Terengganu (Melayu 96.2%) dan 31 daripada 37 Majlis Daerah termasuk Batu Pahat (Melayu 53.4%), Pasir Gudang (Melayu 91.4%), Muar (Melayu 54%), Sungai Petani (Melayu 66.2%), Kulim (Melayu 63.6%) Kota Bharu (Melayu 93.1%), Seremban (Melayu 50.9%), Kuantan (Melayu 78.5%), Temerloh (Melayu 75.7%), Taiping (Melayu 53.4%), Kangar (Melayu 88.4%), Klang (Melayu 50.7%), Dungun (Melayu 97.3%) dan Kemaman (Melayu 95.2%).

Kesemua PBT di semua ibu negeri mempunyai majoriti Melayu.

Mengembalikan undi ketiga untuk memilih kerajaan tempatan adalah pengembalian semula hak demokratik rakyat Malaysia, terutamanya orang Melayu dan juga Cina, India, Kadazan dan Iban untuk sama-sama mengambil bahagian dan menentukan proses membuat keputusan kerajaan tempatan mereka.

Statistik ini adalah daripada data bancian 2010. Lima tahun sudah berlalu, dan dengan kadar pertumbuhan populasi Melayu yang tinggi, serta proses urbanisasi Melayu yang berterusan, pastinya terdapat lebih banyak perubahan dalam angka-angka ini di kesemua kawasan PBT berkadar dengan nisbah pertambahan Melayu berbanding nisbah bukan-Melayu.

Teluk Intan, yang mempunyai 38.8% Melayu 39.% Cina 22% India dan 0.2% Lain-lain pada tahun 2010 kini pastinya menjadi PBT yang majmuk dengan Melayu berbanding Cina sebagai kumpulan kaum yang dominan.

Kenapa ini mahu dijadikan satu isu perkauman?

Sukar untuk kita fahami apa maksud Hadi apabila beliau mengatakan bahawa kesungguhan DAP untuk mewujudkan semula pilihanraya kerajaan tempatan akan menyebabkan bertambahnya jurang dan ketegangan kaum, terutamanya di kawasan majoriti Cina - sedangkan menurut bancian 2010, hanya terdapat tiga kawasan PBT majoriti Cina, iaitu Sibu, Pulau Pinang dan Kuching Selatan!

Namun adalah penting bagi setiap peringkat pimpinan DAP untuk mempertegaskan bahawa DAP terus komited menjadi parti politik inklusif yang mendakap hak dan kepentingan kesemua kaum dan agama di Malaysia, dan bukan sahaja sesebuah kaum atau agama.

Sejak DAP ditubuhkan 49 tahun lalu, kita telah menjuarai hak dan kepentingan kesemua rakyat Malaysia, tanpa mengira kaum, agama mahupun daerah; dan kita akan meneruskan perjuangan ke arah sebuah negara yang berbilang kaum, berbilang agama dan berbilang budaya.

DAP bukan parti untuk orang Cina dan India sahaja tetapi semua rakyat Malaysia - tidak kira Melayu, Cina, India, Kadazan atau Iban.

Lima puluh tahun lalu, pilihanraya kerajaan tempatan digantung pelaksanaannya atas alasan ancaman Konfrontasi Indonesia, mengakibatkan penafian hak rakyat Malaysia terhadap undi ketiga dalam masa lima dekad yang lampau.

Malah, Suruhanjaya Siasatan Diraja Athi Nahappan yang ditubuhkan untuk membuat cadangan mengenai masa depan pilihanraya kerajaan tempatan turut mencadangkan pengembalian pilihanraya kerajaan tempatan.

Masanya telah tiba untuk mengembalikan hak demokratik rakyat Malaysia terhadap undi ketiga, yang pernah diiktiraf pada tahun 50’an dan 60’an, supaya Malaysia boleh berada di arus perdana perkembangan demokrasi dunia, berbanding terus terkebelakang dalam proses pendemokrasian global.

Isu mengembalikan undi ketiga mestilah dilihat dari semua aspek demokrasi, akauntabiliti dan urustadbir yang baik, dan bukan melalui kanta gelap perkauman.

Lim Kit Siang Ketua Parlimen DAP & Ahli Parlimen Gelang Patah