Zahid Hamidi tertangkap berbohong lagi?

Saya ucapkan tahniah kepada Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Hussein atas respon pantas dan penjelasan bahawa beliau tidak pernah menulis surat sokongan untuk mana-mana individu kepada FBI, sama ada sekarang mahupun ketika menjadi Menteri Dalam Negeri.

Hishammuddin ditanya hal ini hari ini, setelah saya mengeluarkan kenyataan Jumaat lalu meminta mantan-mantan Menteri Dalam Negeri, terutamanya yang sebelum Zahid, iaitu Hishamuddin, dan juga mereka yang mandahului beliau termasuk Datuk Seri Syed Hamid Albar, Datuk Seri Mohd Radzi Sheikh Ahmad dan Datuk Azmi Khalid supaya bersuara dan membersihkan nama masing-masing bahawa mereka tidak pernah mengutus surat kepada FBI sepertimana yang dilakukan Zahid.

Ini kerana Zahid telah mendakwa dalam kenyataannya Khamis lalu ketika cuba melepaskan diri daripada sebarang kesalahan ekoran suratnya kepada FBI menjamin integriti karakter seorang individu yang didakwa raja judi, Paul Phua, yang sedang dibicarakan atas tuduhan judi haram di Las Vegas Nevada; bahawa kononnya mantan-mantan Menteri Dalam Negeri pun pernah menulis surat penjelasan sedemikian.

Adakah Zahid telah tertangkap berbohong, dan mengaitkan menteri-menteri lain dalam pentadbiran sekarang atau yang terdahulu secara tidak adil dan memalukan?

Sejujurnya, saya tidak pernah percaya bahawa mantan-mantan Menteri Dalam Negeri berkelakuan seperti Zahid, menulis surat secara unilateral kepada FBI, tanpa pengetahuan pihak polis ataupun Ketua Polis Negara, menyalahi laporan polis sebelumnya kepada FBI, dan juga tanpa pengetahuan dan izin daripada Kementerian Luar.

Ini adalah kelakuan sebuah kerajaan yang memalukan dan kucar-kacir, dengan menteri yang bertindak secara tidak berdisiplin, meliar dan secara sesuka hati, mengkhianati amanah negara terhadapnya dalam pelantikan sebagai Menteri Dalam Negeri.

Adalah penting untuk dinyatakan bahawa Zahid menggunakan kata jamak merujuk kepada Menteri-menteri Dalam Negeri dan bukan kata tunggal, yang bermakna lebih daripada satu menteri sebelumnya pernah menulis surat sepertimana yang beliau lakukan.

Hishammuddin telah menafikannya. Bagaimana pula yang lain – Hamid Albar, Mohd Radzi dan Azmi Khalid? Mungkin kita harus mengaitkan sekali mereka yang lebih dahulu termasuk Tun Abdullah Ahmad Badawi dan Tun Mahathir Mohamad yang juga mantan Menteri Dalam Negeri?

Zahid telah pun berbohong kononnya Kabinet telah mengesahkan suratnya kepada FBI, apabila Wisma Putra menjelaskan bahawa Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman mengeluarkan kenyataan bahawa Kabinet sekadar mendengar dan tidak menerima penjelasan Zahid.

Zahid harus diingatkan kepada aksiom bahawa apabila seseorang berbohong, dia akan terpaksa berbohong seribu kali lagi untuk menutup bohong yang pertama – yang nampaknya menjadi dilema Zahid sekarang ini.

Pun begitu, kepentingan negara menuntut kebenaran tentang surat Zahid kepada FBI untuk menjamin karakter seorang raja judi mesti didedahkan sepenuhnya, atau Zahid harus bersedia untuk diserang dengan isu ini ketika persidangan Parlimen bulan Mac akan datang.

Lim Kit Siang Ketua Parlimen DAP & Ahli Parlimen Gelang Patah