Kabinet wajar mengkaji semula persoalan kenapa darurat tidak diisytiharkan ke atas bencana banjir paling buruk dalam sejarah, yang melibatkan jutaan orang, memindahkan suku juta mangsa, mengorbankan 23 nyawa dan mengakibatkan kerugian berbilion ringgit; dan memberi jaminan bahawa darurat akan diisytihar untuk bencana-bencana akan datang

Rakyat Malaysia pastinya kecewa apabila walaupun begitu banyak desakan dari pelbagai pihak, Kerajaan Barisan Nasional telah gagal untuk mengisytiharkan darurat, yang terhad dari segi masa dan tempat, ke atas bencana banjir paling buruk dalam sejarah, yang melibatkan jutaan orang, memindahkan suku juta mangsa, mengorbankan 23 nyawa dan mengakibatkan kerugian berbilion ringgit.

Ia juga menjadi bencana banjir bersejarah, yang menjejaskan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, yang kemudiannya mendakwa bahawa beliau juga seorang mangsa banjir – sehinggakan terlantar sakit beberapa hari, akibat jangkitan E.Coli ketika melawat kawasan-kawasan yang terjejas banjir.

Sebenarnya Najib adalah mangsa yang sudah jatuh ditimpa tangga, kerana beliau terpaksa memendekkan percutiannya ke Hawaii sebelum itu, pulang ke tanah air dengan penerbangan komersial, dan menimbulkan misteri mengenai lokasi jet rasmi kerajaan yang telah menerbangkan Najib ke Hawaii.

Kabinet harus mengkaji semula persoalan kenapa darurat tidak diisytihar ke atas bencana banjir terburuk dalam sejarah, dan Perdana Menteri mesti memberi jaminan bahawa jika bencana seperti itu terjadi lagi, Kerajaan Persekutuan tidak akan gagal untuk mengisytiharkan darurat bagi memobilisasikan seluruh sumber-sumber negara, terutamanya angkatan tentera seramai 150,000 orang untuk memberikan bantuan pantas kepada mangsa.

Laporan dalam beberapa minggu kebelakangan ini mengenai keadaan selepas banjir terburuk dalam sejarah adalah peringatan penting terhadap peluang-peluang yang hilang untuk menyampaikan bantuan secepat mungkin kepada mangsa banjir, terutamanya di Kelantan dan juga di Terengganu, Pahang dan Perak, yang boleh dilakukan sekiranya darurat diisytiharkan dan semua sumber negara, negeri dan tempatan bersama-sama kekuatan 150,000 anggota tentera, dimobilisasikan dalam operasi bantuan dan mitigasi banjir.

Dalam keadaan sedemikian, kadar korban tidak akan mencapai angka 23, dan bilangan mangsa banjir tidak akan mencecah jutaan orang, serta kerugian tidak akan sampai berbilion ringgit.

Pada hari Ahad, Menteri Kesihatan Datuk S. Subramaniam telah bercakap mengenai keinginan Kementerian Kesihatan untuk memiliki angkatan udara dan lautnya sendiri demi berhadapan bencana banjir akan datang, memandangkan pihak Kementerian tidak mampu menyediakan perkhidmatan kesihatan yang baik sewaktu banjir melanda kerana aset seperti helikopter dan bot terpaksa dikongsi dengan agensi lain.

Beliau berkata bahawa Kementeriannya sedang mempertimbangkan cadangan untuk memiliki helikopter dan bot untuk kegunaan hospital dan klinik bagi mengalihkan pesakit di kawasan yang dilanda banjir.

Ini menimbulkan persoalan kenapa darurat tidak diisytihar untuk mengarahkan semua helikopter dan bot yang dimiliki setiap agensi dikerahkan ke kawasan-kawasan yang dilanda banjir untuk menyelamatkan nyawa, memindahkan mangsa dan menghantar bekalan dan perkhidmatan yang amat diperlukan?

Dalam masa beberapa hari ini, kita telah membaca kisah menyayat hati beberapa komuniti yang terkandas tanpa bekalan makanan, air dan keperluan lain selama beberapa hari, meskipun ada bantuan daripada kumpulan-kumpulan rakyat Malaysia yang telah memperlihatkan semangat kemanusiaan, kebimbangan dan perpaduan untuk cuba menyampaikan bantuan kepada komuniti yang terasing dan memerlukan bantuan ini, namun mereka tidak mendapat sebarang bantuan dan perhatian daripada pihak berwajib.

Namun apa yang terus menjadi keresahan semua mangsa banjir dan mereka yang terlibat dalam operasi bantuan adalah dakwaan Timbalan Menteri Kewangan Datuk Ahmad Maslan pada 5 Januari bahawa Kerajaan Persekutuan telah membelanjakan RM800 juta melalui Majlis Keselamatan Negara (MKN) untuk membantu mangsa di kawasan banjir dengan menyediakan bekalan makanan, logistik dan kerja-kerja membersihkan rumah mangsa.

Adakah mana-mana Menteri membangkitkan dalam Kabinet tentang dakwaan Maslan ini bahawa RM800 juta telah pun dibelanjakan oleh Kerajaan Persekutuan pada 5 Januari untuk bekalan makanan, logistik dan pembersihan rumah mangsa, memandangkan mangsa dan pekerja bantuan daripada organisasi-organisasi sivil dan parti politik tidak langsung merasakan perbelanjaan RM800 juta itu, tidak kira di Kelantan, Terengganu mahupun Pahang?

Jika bil Kerajaan Persekutuan sudah pun mencecah RM800 juta pada 5 Januari untuk menyediakan bekalan makanan, logistik dan kerja membersihkan rumah mangsa banjir, berapakah jumlah perbelanjaan kerajaan pada 14 Januari?

Lim Kit Siang Ketua Parlimen DAP & Ahli Parlimen Gelang Patah