Mesti ada audit terperinci terhadap perbelanjaan Kerajaan berjumlah RM800 juta bagi mangsa bencana banjir kerana Kelantan berhak bertanya ke mana wang tersebut telah dibelanjakan memandangkan ia sepatutnya menerima antara RM500 ke RM600 juta, sebagai negeri yang paling teruk terjejas akibat banjir

Hari ini, misi bantuan mangsa banjir ketiga saya ditemani bekas pengerusi-bersama Bersih dan penaung Negara-Ku, Datuk Ambiga Sreenevasan, Ahli Parlimen Seremban Anthony Loke, Ahli Parlimen Kluang Liew Chin Tong, Adun Ketari Lee Chin Chen, Adun Pantai Remis Wong May Ing; beserta aktivis sosial daripada DAP dalam empat buah kenderaan pacuan empat roda dan sebuah kontena berisi bekalan bantuan untuk Manek Urai.

Kami bertolak dari Kuala Lumpur pada jam 5 pagi dan berhenti di Bentong untuk sarapan dan tiba di Gua Musang sebelum jam 10 pagi, di mana kami diberi taklimat oleh pemimpin DAP dan PAS dari Gua Musang mengenai kerosakan akibat banjir di daerah terbabit bermula sejak pesta Dongzhi (Winter Solstice) pada 22 Disember 2014.

Gua Musang adalah daerah terbesar antara sepuluh daerah di Kelantan, dan Gua Musang tidak pernah mengalami banjir yang serius sebelum ini.

Penduduk Gua Musang pastinya terkejut apabila daerah mereka, bersama-sama Kuala Krai (satu lagi daerah yang tidak pernah terjejas teruk sebelum ini) menjadi dua kawasan yang paling teruk terjejas akibat bencana banjir Disember 2014.

Ketika kami menziarahi pekan Gua Musang, orang ramai kelihatan bersemangat membersihkan rumah, kedai dan rumah tumpangan mereka – usaha yang kelihatan sangat kecil berbanding kerosakan akibat bencana banjir ini.

Sudah dua minggu sejak Gua Musang lumpuh akibat bencana yang tidak pernah berlaku ini, dengan paras air bah setinggi 10 ke 12 kaki, menenggelamkan seluruh pekan; namun sehingga kini Gua Masing masih kelihatan sunyi sepi.

Daripada rentak pemulihan yang perlahan di Gua Musang, ada benarnya kata-kata Menteri Besar Kelantan Datuk Ahmad Yaakob bahawa Kelantan akan memerlukan sekurang-kurangnya enam bulan untuk betul-betul pulih daripada kebinasaan akibat banjir terburuk yang melanda negeri itu dalam masa beberapa minggu lalu.

Namun jangka masa enam bulan untuk pulih daripada kerosakan akibat banjir ini adalah tempoh yang terlalu lama dan akan menimbulkan banyak masalah dan beban ke atas mangsa-mangsa banjir di Kelantan.

Inilah sebabnya mesti wujud perubahan pola fikiran pihak berkuasa fi peringkat Persekutuan, negeri dan tempatan; demi memastikan tempoh pemulihan dapat dikurangkan daripada ‘sekurang-kurangnya enam bulan’ menjadi dua bulan, dan kenapa perisytiharan darurat bencana bagi memusatkan dan memobilisasi semua sumber-sumber yang ada untuk membantu mangsa di Gua Musang dan lain-lain tempat di Kelantan untuk memulakan kehidupan baru adalah penting dan sangat mendesak.

Ketika bencana berada dalam keadaan terburuk, darurat diperlukan bagi menyelamatkan nyawa. Manakala dalam senario pasca bencana, darurat diperlukan bagi mengembalikan kehidupan seperti sediakala, untuk membantu mangsa banjir membina semula kehidupan dan perniagaan dalam masa yang paling singkat.

Dari Gua Musang, kami bergerak menuju Manek Urai di mana kontena berisi bekalan dipunggah ke pusat bantuan PAS Manek Urai, dan kami bertemu Ahli Parlimen PAS Kuala Krai Dr Mohd Hatta Ramli, Naib Presiden PAS yang juga Adun Salor Datuk Husam Musa serta bekas speaker DUN Kelantan dan Ahli Parlimen Kota Bharu Dato’ Wan Abdul Rahim Wan Abdullah.

Manek Urai adalah ‘Ground Zero’, di mana kehancuran akibat bencana banjir mengakibatkan suasana menjadi sunyi sepi seolah-olah dilanda tsunami, atau seperti kawasan yang dibedil dalam peperangan.

Kami menziarahi Kampung Manjor, di mana hanya 15 daripada 220 buah rumah dapat bertahan dan menjadi bukti kuasa alam semulajadi yang membalas perbuatan manusia mencabul alam sekitar.

Di mana-mana sahaja kami melihat rumah-rumah yang punah dibantai arus banjir yang deras, dengan kelihatan sebuah kerusi tersangkut di bumbung sebagai tanda paras air yang begitu tinggi, selain kenderaan yang bersepah-sepah, saling terbalik dan tertindih.

Penduduk Kampung Manjor bernasib baik kerana dapat melarikan diri ke tempat yang lebih tinggi, di mana mereka tinggal selama lima hari lima malam sehingga banjir surut – tanpa air, makanan, elektrik mahupun hubungan dengan dunia luar untuk dua hari pertama.

Banyak lagi kerosakan dahsyat akibat banjir ini, seperti di Manek Urai Lama, Kampung Karangan, Kampung Laloh, Kampung Dabong dan Kampung Kemubu.

Saya tidak maklum jika ada mana-mana Menteri Kabinet, termasuk Perdana Menteri ataupun Timbalan Perdana Menteri telah melawat kawasan-kawasan yang terjejas teruk di Kuala Krai ini.

Lawatan saya ke kawasan ‘Ground Zero’ ini memperkuatkan pendapat saya bahawa darurat mesti diisytihar bagi membantu mangsa banjir membina semula kehidupan yang baru; 150,000 anggota tentera mesti dikerah untuk membantu sejuta mangsa memulakan kehidupan, bukan sahaja untuk menjaga keselamatan dan mencegah wabak pasca banjir, tetapi juga untuk membaik pulih prasarana seperti bekalan air dan elektrik, serta mendirikan tempat perlindungan sementara bagi mangsa banjir demi membolehkan mereka memulakan kehidupan baru dalam tempoh yang paling singkat.

Saya terkejut dengan pengumuman Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Ahmad Maslan semalam bahawa kerajaan telah setakat ini membelanjakan RM800 juta melalui Majlis Keselamatan Negara untuk membantu mangsa di negeri-negeri yang dilanda banjir, dengan membekalkan makanan, logistik dan membersihkan rumah-rumah mangsa.

Memandangkan Kelantan adalah negeri yang paling teruk terjejas akibat banjir, sepatutnya sebahagian besar daripada perbelanjaan tersebut, katalah sekitar RM500 – RM600 juta, dibelanjakan untuk negeri Kelantan.

Tetapi ke mana perginya jumlah yang begitu besar ini memandangkan tidak ada sesiapa di Kelantan merasakan bahawa Kerajaan Persekutuan telah berbelanja antara RM500 ke RM600 juta di Kelantan dalam masa dua minggu lalu untuk membantu mangsa banjir.

Saya telah menziarahi Kota Bharu sebanyak tiga kali, telah ke Kuala Krai dua kali, malah telah pergi ke kawasan Ground Zero di Manek Urai dan juga Gua Musang; dan saya langsung tidak merasakan sejumlah RM500 ke RM600 juta telah dibelanjakan di Kelantan untuk membantu mangsa banjir.

Apa kata Maslan dedahkan jumlah RM800 juta ini, berapa banyak telah dibelanjakan di Kelantan, Terengganu, Pahang dan Perak – negeri-negeri yang terjejas akibat banjir.

Seharusnya wujud pengauditan rapi terhadap peruntukan RM800 juta ini yang telah dibelanjakan untuk membantu mangsa banjir, selain perbelanjaan lain yang akan dibuat, bagi memastikan tidak ada hal-hal yang meragukan.

Kita tidak boleh terlalu berjimat dalam usaha membantu mangsa banjir, namun kita juga tidak boleh membazir walau satu sen pun.

Kesemua perbelanjaan kerajaan dalam menangani bencana banjir ini mestilah memberi manfaat langsung kepada mangsa dan bukannya usahawan, kroni dan pihak-pihak yang cuba membuat untung daripada bencana ini.

Sebagai permulaan, saya mohon Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Pendidikan, Tan Sri Muhyiddin untuk mengumumkan bahawa semua murid yang terjejas akibat banjir akan dibekalkan dengan dua set pakaian seragam sekolah, buku teks, buku latihan dan semua keperluan persekolahan yang lain, yang akan menjadi bukti bahawa perbelanjaan yang begitu besar benar-benar memberi manfaat kepada mangsa banjir dan bukannya satu angka fantasi 800 juta yang dikatakan akan dibelanjakan untuk mangsa banjir, tetapi mereka tidak mendapat manfaat secara terus.

Tidak seharusnya ada peraturan keras yang mewajibkan pelajar memakai seragam sekolah sekurang-kurangnya untuk bulan pertama persekolahan bagi kawasan-kawasan yang terjejas banjir, sehinggalah setiap pelajar dibekalkan dua set pakaian seragam percuma.

Pada hari Ahad malam, saya telah mengutus sepucuk email kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mengenai pelan tindakan lima perkara untuk mengatasi bencana banjir ini yang telah mengakibatkan 23 terkorban, selain pemindahan suku juta mangsa, dengan sejuta orang awam terjejas akibat banjir, ditambah kerugian berjumlah berbilion ringgit.

Saya juga telah meminta diadakan pertemuan segera bersama Perdana Menteri sebelum Mesyuarat Kabinet pada hari Rabu, memandangkan rakyat Malaysia mengharapkan Kabinet membuat keputusan-keputusan penting mengenai bencana banjir ini, terutamanya setelah ramai menteri bercuti di luar negara dan Kabinet pun tidak bermesyuarat selama 20 hari – termasuklah sewaktu bencana banjir Disember 2014 sedang berlaku.

Memandangkan Perdana Menteri telah dijangkiti E Coli selepas lawatan banjir, saya tidak mahu mendesak untuk bertemu Najib sebelum mesyuarat Kabinet esok.

Saya harapkan beliau cepat sembuh supaya dapat mempengerusikan mesyuarat Kabinet esok bagi memastikan Menteri-menteri dapat membuat keputusan secara kolektif terhadap pelan tindakan lima perkara yang telah saya gariskan untuknya di dalam email saya, iaitu:

  1. Perisytiharan darurat bencana bagi kawasan-kawasan yang terjejas teruk akibat banjir;
  2. Penubuhan Majlis Bertindak rentas-parti antara BN dan Pakatan Rakyat bagi menangani bencana banjir di Pantai Timur;
  3. Mengadakan sidang Parlimen khas pada bulan ini juga untuk membahaskan bencana banjir selain membahaskan penangguhan pelaksanaan GST supaya tidak menambah beban mangsa banjir;
  4. Menggandakan bantuan kewangan kepada mangsa-mangsa bencana banjir supaya genap RM1 bilion; dan menawarkan pinjaman tanpa faedah bagi mereka yang bekerja sendiri dan terpaksa bermula semula, antara RM1,000 sehingga RM250,000; dan
  5. Menubuhkan sebuah Suruhanjaya Siasatan Diraja bagi menyiasat kelemahan pihak berkuasa dari aspek kesiapsiagaan pengurusan bencana banjir.

Saya harap mesyuarat Kabinet esok akan memberi berita gembira buat sejuta mangsa banjir, terutamanya mereka yang berada di kawasan paling teruk terjejas di Gua Musang dan Kuala Krai di Kelantan, serta Temerloh dan Mentakab di Pahang.

Malah sebenarnya, adalah lebih baik jika mesyuarat Kabinet mewajibkan setiap Menteri, termasuk Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri, untuk melawat kawasan-kawasan Ground Zero di Manek Urai, terutamanya tempat paling teruk seperti di Kampung Manjor dan Kampung Manek Urai Lama, kerana lawatan tersebut pastinya membuat para menteri bukan sahaja lebih faham, malah lebih merendah diri dan komited untuk memastikan perbelanjaan mega bagi membantu mangsa banjir benar-benar memberi faedah secara terus kepada mangsa, dan bukannya usahawan, kroni dan pihak-pihak yang cuba membuat untung daripada bencana ini.

Lim Kit Siang Ketua Parlimen DAP & Ahli Parlimen Gelang Patah