Seruan kepada semua pemimpin dan penyokong Pakatan Rakyat untuk menyelamatkan Pakatan Rakyat daripada tipu muslihat terbaru Umno/BN dengan bersatu di belakang Rancangan Lapan Tahun Pakatan Rakyat untuk menyelamatkan Anwar

Saya menyeru semua pemimpin dan penyokong Pakatan Rakyat untuk bersatu padu demi menyelamatkan Pakatan daripada muslihat terbaru Umno/BN untuk menyemai perpecahan dan rasa tidak percaya di kalangan parti dan pemimpin Pakatan dengan agenda untuk memecahbelah dan menghancurkan cabaran yang paling menggerunkan mereka dalam sejarah.

Percaturan pertama Umno/BN ialah untuk mengeksploitasi sepenuhnya pemenjaraan lima tahun Datuk Seri Anwar Ibrahim dan kematian Tok Guru Nik Aziz yang membawa kepada dua pilihanraya kecil di Parlimen Permatang Pauh dan DUN Chempaka di Kelantan, di mana Umno tidak akan bertanding di PRK Chempaka, tetapi akan bersungguh-sungguh bertanding di PRK Permatang Pauh.

Ini akan menghidupkan semula rencana oleh beberapa perancang dan strategis Umno untuk mempromosi konsep Unity Government atau UG antara Umno dan PAS, yang tidak dapat dilaksanakan sehingga hari ini ekoran daripada bantahan keras tanpa kompromi oleh Nik Aziz.

Bagi perancang dan strategis Umno ini, kematian Nik Aziz memberi harapan baru kepada konspirasi UG yang telah lama tidur.

Saya bagaimana pun amat tertarik dengan apa yang sebenarnya dimahukan oleh para pendokong kerajaan UG ini, sedangkan adalah jelas bagi semua bahawa di dalam Umno sendiri pun tidak ada perpaduan, dengan mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir gigih mahu mengguling Datuk Seri Najib Razak daripada jawatan Presiden Umno dan Perdana Menteri Malaysia.

Pun begitu, kita tidak boleh menyembunyikan bahawa Pakatan Rakyat sedang berhadapan krisis terbesar sejak ia ditubuhkan tujuh tahun lalu, dan ramai yang bertanya sama ada Pakatan boleh bertahan atau akan berpecah dan ghaib daripada arena politik.

Saya menyeru pemimpin dan penyokong Pakatan untuk melakukan apa yang termampu demi menyelamatkan Pakatan Rakyat daripada berpecah kerana ia adalah manifestasi harapan rakyat Malaysia ke arah perubahan dan pembaikan kualiti hidup semua warga Malaysia – oleh sebab itu lah majoriti 52% pengundi memilih Pakatan Rakyat pada PRU ke-13 dan kenapa Datuk Seri Najib Razak adalah Perdana Menteri minoriti pertama di Malaysia.

Ketika saya melawat Alor Star pagi Khamis lalu, saya telah mencadangkan Rancangan Lapan Tahun Pakatan Rakyat, demi menyelamatkan Pakatan daripada kehancuran, dan komitmen-semula oleh ketiga-tiga parti komponen DAP, PKR dan PAS untuk mengukuhkan dua prinsip asas yang menjadi rahsia kejayaan Pakatan sepanjang enam tahun lalu – kepatuhan terhadap Dasar Bersama Pakatan Rakyat yang telah menjadi batu asas prinsip-prinsip bersama yang dikongsi ketiga-tiga parti, dan prinsip konsensus dalam beroperasi bagi Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat sebagai badan pembuat dasar tertinggi dalam Pakatan.

Sekiranya kita kekal setia kepada dua prinsip asas ini, saya yakin bahawa Pakatan akan mampu bertambah kuat bagi memenuhi harapan beberapa generasi rakyat Malaysia yang mahukan perubahan dan ingin melihat negara menjadi hebat, serta mengusung Pakatan ke Putrajaya bagi membentuk kerajaan baru bagi Malaysia pada PRU ke-14 akan datang.

Kini terdapat satu lagi sebab kenapa Pakatan Rakyat harus kekal kukuh – kerana inilah sahaja cara untuk menyelamatkan Anwar daripada dighaibkan daripada dunia politik selama 10 tahun sepertimana yang dirancangkan oleh para strategis Umno, i.e. lima tahun hukuman penjara ditambah lima tahun lagi pencabutan hak asasinya, di mana beliau tidak boleh bertanding dalam pilihanraya, mahupun melaksanakan tanggungjawab mengundi yang diperuntukkan oleh perlembagaan.

Anwar telah menghabiskan kesemua proses kehakiman yang ada dengan keputusan sebulat suara 5-0 oleh panel hakim Mahkamah Persekutuan menolak rayuannya dan menghantarnya ke penjara buat kali keempat dalam hidupnya.

Bagaimana pun, dalam sebuah demokrasi berparlimen, kuasa muktamad berada di tangan rakyat biasa melalui undian mereka dalam pilihanraya, dan di sinilah kuasa rakyat akan dizahirkan dalam PRU ke-14 untuk membebaskan Anwar lebih awal dari penjara, malah mungkin membenarkan beliau menjadi Perdana Menteri Malaysia – sekiranya pengundi Malaysia melaksanakan hak demokratik yang diberikan perlembagaan untuk menendang keluar Umno/BN melalui peti undi dan meletakkan Pakatan Rakyat sebagai kerajaan persekutuan Malaysia.

Cadangan saya untuk komitmen lapan tahun oleh ketiga-tiga parti komponen Pakatan untuk terus menjulang tinggi dua prinsip asas Dasar Bersama Pakatan Rakyat dan juga mekanisme konsensus dalam beroperasi adalah supaya Pakatan boleh kembali ke asasnya, dan mengenepikan sebarang perbezaan yang ada sepanjang lapan tahun akan datang, sepertimana yang telah kita lakukan sepanjang enam tahun sebelum ini.

Tempoh lapan tahun ini dikira daripada tiga tahun menuju PRU ke-14 bermula sekarang, dan lima tahun selepas PRU ke-14, kerana Pakatan perlu membuat komitmen kepada rakyat Malaysia tentang dasar-dasar yang mahu dilaksanakan sekiranya Pakatan Rakyat meraih kuasa di Putrajaya selepas PRU ke-14.

Amat malang sekali saya tidak berkesempatan untuk berbincang mengenai rancangan lapan tahun ini, yang bukan sahaja untuk menyelamatkan Pakatan tetapi juga menyelamatkan Anwar, bersama Nik Aziz memandangkan mantan menteri besar Kelantan itu meninggal dunia pada malam yang sama setelah uzur sekian lama.

Saya pasti bahawa Nik Aziz, sebagai arkitek Pakatan yang sokongan tidak berbelah baginya merupakan faktor utama kejayaan besar Pakatan pada PRU 2008 dan 2013, akan memberi sokongan kepada rancangan lapan tahun ini, walaupun beliau mempunyai beberapa bantahan mengenai parti politik mengenepikan perbezaan dasar dan isu yang tidak dipersetujui dalam Dasar Bersama sehingga selepas 2023.

Salah satu isu besar tersebut pastilah persoalan hudud.

Pada bulan Mei 2012 di Hulu Terengganu, Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang mengatakan bahawa hudud hanya dilaksana jika cukup syarat, di mana beliau memberikan contoh bahawa sekiranya tidak ada undang-undang gaji minima atau penyelesaian masalah pengangguran, syarat-syarat membolehkan pelaksanaan hudud tidak wujud.

Inilah yang dipersetujui oleh parti-parti Pakatan Rakyat dalam Dasar Bersama dan sebab kenapa pemimpin dan penyokong Pakatan patut kembali ke dasar dan memperkukuh komitmen kepada Dasar Bersama Pakatan Rakyat, bukan sahaja demi menyelamatkan Pakatan tetapi juga demi menyelamatkan Anwar.

Lim Kit Siang Ketua Parlimen DAP & Ahli Parlimen Gelang Patah